Pelantikan Pengerusi Baharu MAB dan Presiden Baharu PETRONAS

PMO
KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

Dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa syarikat Kerajaan yang perlu diperkukuhkan lagi bagi menghadapi norma dunia yang baharu. Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik Kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara.

Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan pelantikan YBhg. Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Pengerusi baharu syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB). Saya juga ingin mengumumkan YM Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu di syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Kedua-dua pelantikan ini berkuat kuasa pada 1 Julai 2020.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama PETRONAS. Beliau telah berjaya mengekalkan PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat Kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang. PETRONAS juga adalah satu-satunya syarikat Kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500. Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik.

Industri minyak dan gas kini melalui cabaran yang hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merundum. Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh YM Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama Pengerusi sedia ada, YBhg. Datuk Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin PETRONAS ke mercu kecemerlangan.


Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin
Perdana Menteri
6 Jun 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top