Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 12 – 25 Jun 2020

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS KABINET MENGENAI ANTI RASUAH (JKKMAR) SIRI 12 – 25 JUN 2020

1. Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 12 Bilangan 2 Tahun 2020 yang saya pengerusikan pada hari ini diadakan secara sidang video selaras Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

2. Mesyuarat ini telah mencapai beberapa keputusan penting iaitu:

2.1 Bersetuju meneruskan keputusan-keputusan dasar yang dicapai dalam mesyuarat JKKMAR sebelum ini antaranya;

i. Mengadakan mesyuarat JKKMAR dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan secara berkala selaras dengan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018;

ii. Memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti Ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah;

iii. Melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian / sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif;

iv. Memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swasta melalui Beneficiary Ownership dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi

v. Meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada
isu-isu ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat.

2.2 JKKMAR secara prinsipnya bersetuju dengan syor Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) supaya semua kementerian / agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan permit dan lesen menerbitkan Garis Panduan Permohonan Lesen yang akan dipaparkan secara dalam talian untuk makluman umum. Ini bertujuan mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lessen, meningkatkan integriti dan mengelak berlakunya rasuah.

2.3 Bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, mesyuarat secara prinsipnya bersetuju satu kajian komprehensif dilaksanakan bagi menambah baik pematuhan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

2.4 Menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integriti persekitaran digital, mesyuarat secara prinsipnya juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Cyber Security Malaysia supaya satu kajian dilaksanakan bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar antirasuah digital serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan.

3. JKKMAR hari ini turut dimaklumkan mengenai Status Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sepertimana yang dinyatakan di dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran, bahawa setiap anggota pentadbiran perlu membuat perisytiharan harta dalam tempoh 3 bulan dari tarikh mengangkat sumpah.

4. Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin
Perdana Menteri
25 Jun 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top