Lawatan Perdana Menteri ke Unit LAKSANA & Perasmian Digital Dashboard

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

LAWATAN PERDANA MENTERI KE UNIT PELAKSANAAN DAN KOORDINASI STIMULUS EKONOMI ANTARA AGENSI NASIONAL (LAKSANA) & PERASMIAN DIGITAL DASHBOARD

YAB Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Unit LAKSANA di Kementerian Kewangan hari ini. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau operasi serta status pelaksanaan langkah- langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020); Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion.

YAB Perdana Menteri telah diiringi oleh YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; YB Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan II; YBhg. Datuk Seri Mohd. Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Dato’ Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perdendaharaan serta YBhg. Dato’ Shahrul Nazri Dato’ Abdul Rahim, Pengarah LAKSANA. Turut hadir pada lawatan tersebut adalah pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan.

Antara agenda utama lawatan YAB Perdana Menteri adalah untuk melancarkan Papan Pemuka Digital (Digital Dashboard) yang telah dibangunkan oleh LAKSANA. Papan Pemuka Digital tersebut bertujuan untuk memastikan proses pemantauan dan pelaksanaan Pakej PRIHATIN dan PENJANA dibuat dengan telus, cepat dan tepat.

Papan Pemuka Digital tersebut berupaya menghubungkan data daripada 53 Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan langkah- langkah di bawah Pakej-Pakej PRE2020, PRIHATIN dan PENJANA. Pendekatan ini membolehkan Kerajaan bertindak secara dinamik dan segera berdasarkan data raya (big data) dalam membuat keputusan, memastikan keberkesanan penyampaian bantuan dan perkhidmatan, serta membuat penghalusan yang perlu bagi memastikan bantuan Kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan yang disasarkan.

Pengumpulan data secara berpusat dan hidup (centralised and live data collection) yang dipaparkan melalui Papan Pemuka Digital ini adalah hasil kerjasama Kementerian-kementerian dan agensi-agensi, selaras dengan usaha Kerajaan ke arah e-perkhidmataan, sebagai persediaan untuk Revolusi Industri 4.0, serta anjakan menghadapi norma baharu.

YAB Perdana Menteri juga telah meluangkan masa berinteraksi bersama beberapa penerima bantuan di bawah Pakej PRIHATIN melalui platform video maya. Ini termasuk:

  • Encik Michael Lo Vun Leong, 45, berasal dari Tamparuli Sabah. Beliau merupakan penerima BSN Micro/I Kredit Prihatin yang digunakan sebagai suntikan modal perniagaan dan bagi membayar gaji pekerja;

  • Encik Pajan Singh A/L Kirpal Singh, 55, seorang pemilik hotel bajet di Kuantan Pahang. Beliau merupakan penerima subsidi upah dan moratorium pinjaman bank. Walaupun perniagaan hotel terjejas, beliau masih menyediakan perkhidmatan percuma untuk barisan hadapan yang bertugas ketika tempoh PKP bagi menghargai pengorbanan mereka;

  • Encik M. Sugu, 29, pekerja ladang, dan isterinya, Puan S. Pavithra, 28, sensasi Youtube masakan ayam varuval yang berasal dari Sungai Siput Perak. Mereka merupakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN). YAB Perdana Menteri sebelum ini telah memberi sumbangan barang keperluan yang telah membolehkan mereka meneruskan minat memasak dan sehingga kini, saluran Youtube “Sugu-Pavithra” mereka mempunyai lebih 600,000 pengikut.

  • Encik Ahmad Rusdi bin Mat Daud, 52, seorang pemandu teksi di Lembah Klang. Selain daripada BPN, beliau juga telah menerima bantuan one-off RM600 untuk pemandu teksi.

  • Encik Rosnizam Bin Ishak, 43, berasal dari Bertam, Pulau Pinang. Beliau telah menerima BPN dan menggunakan duit bantuan tersebut sebagai modal untuk memulakan perniagaan kambing perap.

Selain daripada itu, YAB Perdana Menteri telah diberikan taklimat mengenai usaha- usaha LAKSANA. Ini termasuk laporan mingguan pencapaian Pakej PRIHATIN dan PENJANA oleh Menteri Kewangan yang bertujuan untuk memastikan ketelusan dalam penyampaian pakej berjumlah RM295 bilion ini kepada Rakyat dan syarikat- syarikat yang memerlukan. Tambahan pula, usaha LAKSANA dalam memantapkan jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta juga merupakan tunjang penting bagi menjayakan pelan pemulihan ekonomi negara.


Pejabat Perdana Menteri
16 Jun 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top