Ucapan Tahniah Sempena Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2019

SEMPENA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2019

Saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian semua calon yang memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019, hari ini.

Saya amat berbangga memaklumkan bahawa pencapaian calon bagi tahun 2019 adalah lebih baik berbanding tahun 2018. Saya dimaklumkan bahawa Gred Purata Nasional tahun 2019 adalah 4.86 berbanding 4.89 pada tahun 2018 iaitu perbezaan sebanyak 0.03. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Alhamdulillah, saya juga dimaklumkan bahawa pada tahun 2019 peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat berbanding pada tahun 2018. Selain itu, daripada 1,402 Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2019, 860 calon layak dianugerahkan sijil SPM.

Keputusan ini sudah semestinya membanggakan seluruh ahli keluarga, guru-guru dan masyarakat. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak. Sesungguhnya dorongan ahli keluarga memainkan peranan penting bagi melonjakkan prestasi murid. Kejayaan seorang murid juga amat berkait rapat dengan kesungguhan dan kegigihan guru-guru mendidik murid. Terima kasih cikgu. Tanpa pengorbanan guru, pencapaian cemerlang dan memberangsangkan ini tidak akan menjadi kenyataan.

Keputusan yang diperoleh hari ini menunjukkan bahawa banyak inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menampakkan hasilnya. Ia memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam hal ini, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Keputusan SPM 2019 adalah antara bukti usaha dan kesungguhan KPM dalam memberikan pendidikan terbaik untuk semua.

Saya juga berharap mereka yang kurang berjaya tidak berputus asa dengan keputusan hari ini. Saya percaya jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, insya-Allah kejayaan pasti dapat dikecapi. Bagi yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang hari ini, saya harap supaya mereka terus bekerja keras demi masa depan agar dapat menabur bakti kepada negara, bangsa dan agama.

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Perdana Menteri
5 Mac 2020

Similar Posts:

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top