Perutusan Perdana Menteri berkenaan COVID-19

PMO

PERUTUSAN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

BERKAITAN
PENULARAN JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

13 MAC 2020

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Wahai rakyat Malaysia yang saya hormati. 

Pada hari ini, kita semua sedang berhadapan dengan situasi yang agak membimbangkan berikutan penularan jangkitan COVID-19.

Di peringkat awal, jumlah yang terlibat adalah kecil iaitu 22 kes sahaja. Kebanyakan kes ini melibatkan warganegara asing, warganegara Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China dan warganegara Malaysia yang melawat negara yang dijangkiti COVID-19.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak ini, kita masih berdepan dengan peningkatan kes COVID-19. Pada waktu ini, gelombang kedua COVID-19 telah bermula dengan melibatkan 175 kes. Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan penularan wabak COVID-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang ketara di seluruh dunia.

Saya tahu saudara dan saudari pastinya risau akan keselamatan diri sendiri, anak-anak serta kaum keluarga. Anda juga pastinya mahu mendapatkan maklumat yang tepat mengenai langkah-langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan untuk menangani penularan wabak ini.

Oleh itu, saya ingin memaklumkan kepada anda semua situasi semasa gelombang kedua penularan COVID-19.

Sehingga hari ini, terdapat peningkatan kes positif COVID-19 yang baharu berikutan pengesanan dua (2) kejadian kluster utama yang kebanyakannya melibatkan rakyat Malaysia. Dengan trend kes sedia ada, wabak ini dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat.

Sebagai persediaan menghadapi situasi yang lebih serius, kerajaan akan terus mempertingkatkan pelaksanaan saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, menjalankan sekatan perjalanan dari negara terlibat dan menyediakan laluan khas untuk pelawat dari negara-negara terrsebut.

Kerajaan juga akan meningkatkan bilangan hospital yang boleh merawat kes-kes COVID-19. Sehingga kini, sebanyak 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes COVID-19.

Selain itu, kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti telah dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan kemasukan pesakit kes-kes COVID-19. Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit COVID-19.

Kerajaan juga telah mengenalpasti Hospital Sungai Buloh dan sebuah hospital di setiap negeri sebagai hospital khusus untuk merawat kes-kes COVID-19.

Kemampuan makmal untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 juga telah ditingkatkan. Ini termasuk 22 buah makmal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan makmal-makmal lain di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Kerajaan sedar bahawa antara langkah yang perlu diambil untuk mengekang penularan COVID-19 ialah sekatan perjalanan. Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk 3 wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Republik Korea. Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus COVID-19.

Di samping itu, kapal-kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan. Hanya kru warganegara Malaysia dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan.

Kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang terjejas teruk dengan wabak COVID-19 seperti

China, Iran, Itali dan Korea Selatan. Sehingga kini, kerajaan telah membawa pulang seramai 107 orang rakyat Malaysia dari sebahagian negara-negara ini. Seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang.

Berhadapan dengan situasi ini, saya menasihatkan saudara dan saudari mengambil langkah-langkah yang boleh menghindarkan diri sendiri, anak-anak serta keluarga daripada dijangkiti wabak ini. Yang paling utama ialah amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi. Sentiasa bersihkan diri. Gunakan topeng muka dan hand sanitizer. Kurangkan bersentuhan dan bersalaman. Elakkan daripada menghadiri sebarang bentuk perhimpunan yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan virus ini.

Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020. Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama telah mengeluarkan Garis Panduan bagi perhimpunan ibadat di masjid untuk mengelakkan penularan COVID-19. Saya berharap pihak berkuasa Agama Islam di negeri-negeri turut mengeluarkan garis panduan yang serupa dengan mengambil kira nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia.

Acara keagamaan bagi agama-agama lain yang melibatkan perhimpunan berskala besar juga mestilah mengambil kira nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa.

Saya sedar ada dalam kalangan saudara dan saudari terkesan dari segi ekonomi akibat penularan wabak ini. Ada yang diarah mengambil cuti, bekerja dari rumah, malah kehilangan pekerjaan. Dari segi ekonomi, sektor yang paling teruk terjejas ialah pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, dan industri pengangkutan.

Pakej-pakej pelancongan dibatalkan dan ini menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan. Anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 billion. Kerajaan menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 billion hingga RM17.3 billion.

Saya sedar bahawa langkah-langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat. Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera.

Saya sendiri diberikan laporan mengenai COVID 19 secara harian oleh Jawatankuasa Khas yang dipimpin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan ini membolehkan langkah-langkah terkini diambil untuk menghadapi

segala kemungkinan yang boleh berlaku. Saya juga telah diberi jaminan bahawa bekalan barang-barang keperluan adalah mencukupi.

Untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil langkah- langkah pencegahan termasuk membatalkan sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan penularan wabak ini

Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani wabak COVID-19.

Saya berdoa semoga wabak ini berjaya ditangani dengan segera dan kita semua dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan rasa selamat.

Semoga Allah s.w.t. sentiasa memberikan perlindungan kepada diri kita, keluarga kita dan negara kita.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top