Mesyuarat Mengenai Kedudukan Ekonomi dan Fiskal Negara serta Kedudukan Terkini COVID-19

PMO

KENYATAAN SIDANG MEDIA

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

Perdana Menteri hari ini telah mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara dan kedudukan terkini wabak novel coronavirus.

MESYUARAT MENGENAI KEDUDUKAN EKONOMI DAN FISKAL NEGARA

YAB Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan YBhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Pertemuan ini turut dihadiri oleh pegawai kanan daripada kementerian tersebut. Dalam sesi tersebut, YAB Perdana Menteri telah diberi penerangan tentang situasi ekonomi semasa, kedudukan fiskal dan hutang negara serta langkah-langkah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang baru diumumkan.

YAB Perdana Menteri turut menekankan pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh. Di samping itu, kedudukan hutang dan liabiliti Kerajaan juga diberi perhatian dan setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang Kerajaan. YAB Perdana Menteri juga berpandangan peruntukan Belanjawan tahunan seharusnya dapat mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi menjana pendapatan rakyat dan negara. Oleh yang demikian, keberkesanan program dan projek Kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri telah mengarahkan supaya jentera Kerajaan mengambil perhatian serius bagi melaksana dan mempercepatkan pelaksanaan langkah Belanjawan 2020 serta PRE ini. Perbincangan juga bertumpu kepada agenda untuk memperkasa aktiviti ekonomi domestik dan memastikan kesejahteraan rakyat, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih kompetitif.

Berhubung dengan langkah PRE, Kementerian Kewangan perlu memastikan pelaksanaan kesemua inisiatif berjalan dengan lancar dan segera serta memantau keseluruhan impak dan prestasi langkah PRE ini.

TAKLIMAT STATUS CORONAVIRUS OLEH PASUKAN PETUGAS KHAS KEMENTERIAN KESIHATAN

YAB Perdana Menteri kemudiannya telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mengenai status terkini wabak novel coronavirus.

Sehingga jam 8.00 pagi, 3 Mac 2020, jumlah keseluruhan kes COVID-19 adalah sebanyak 90,306 kes yang melibatkan 70 buah negara dilaporkan. Sebanyak 45,603 (50.5%) kes sembuh dan 3,084 (3.4%) kematian dicatatkan.

Terdapat tujuh (7) kes baharu dilaporkan di Malaysia pada hari ini, 3 Mac 2020. Oleh itu, kini terdapat 36 kes direkodkan di mana setakat ini jumlah kes sembuh adalah 22 (61.1%). Sebanyak 14 kes masih lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur. Kesemua kes yang dirawat di wad adalah dalam keadaan stabil.

Dimaklumkan bahawa, dua misi bantuan kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia bersama tanggungan (pasangan/anak) dari Wuhan, China telah dilaksanakan dan diselaraskan oleh NADMA bersama Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan. Dalam misi pertama, 107 warganegara Malaysia dan tanggungan telah di bawa pulang pada 4 Februari 2020 dan telah selesai menjalani saringan kesihatan selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Februari 2020. Kesemua 107 didapati negatif.

Dalam misi kedua, seramai 68 warganegara Malaysia dan tanggungan yang dibawa balik dari Wuhan sedang menjalani saringan kesihatan di AKEPT mulai 26 Februari hingga 11 Mac 2020.

Pada 22 Februari 2020, seramai 100 krew warganegara Malaysia dari World Dream Cruise telah menjalani saringan kesihatan di INTAN Wilayah Selatan (IKWAS). Kesemuanya didapati negatif dan sedang menjalani home-surveillance selama 14 hari di kediaman masing-masing.

Dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Mengenai COVID-19 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bermesyuarat secara berkala bagi meneliti status situasi terkini dan mengambil tindakan bagi mengekang penularan COVID-19.

YAB Perdana Menteri berpuas hati dengan Agensi Kerajaan yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan COVID-19 dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan. YAB Perdana Menteri juga mengarahkan agar Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha-usaha pencegahan penularan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

YAB Perdana Menteri menasihatkan seluruh rakyat agar tidak panik dengan melakukan panic-buying dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan sepertimana yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mereka yang berkunjung ke negara berisiko seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Itali hendaklah mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan yang dikeluarkan dan segera ke hospital/klinik sekiranya mempunyai simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas.

PEJABAT PERDANA MENTERI
3 Mac 2020

Similar Posts:

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top