Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bil. 1/2020

PMO

KENYATAAN SIDANG MEDIA

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

MESYUARAT MAJLIS TINDAKAN EKONOMI BIL. 1/2020

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin hari ini telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council (EAC) di Putrajaya.

Hasil daripada mesyuarat tersebut Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) seperti yang telah diumumkan 27 Februari 2020 serta meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian dan Kesalinghubungan Negara (NFCP). Kerajaan juga akan meneruskan dasar fiskal yang bertanggungjawab dan dasar mesra perniagaan bagi menarik pelaburan yang berkualiti.

Mesyuarat juga telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi memperkukuhkan PRE2020 seperti berikut:

1. Bantuan kewangan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji
i. Bantuan kewangan sebanyak RM600 setiap pekerja setiap bulan untuk tempoh maksimum 6 bulan;
ii. Layak untuk pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020;
iii. Layak untuk pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.
iv. Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta.
v. Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut.

2. Diskaun Caj Elektrik untuk Sektor Komersial, Perindustrian dan Pertanian
i. Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Februari 2020, kategori perniagaan yang terjejas berikutan COVID-19 terutamanya sektor pelancongan akan menerima diskaun 15% bagi penggunaan elektrik untuk tempoh 6 bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020.
ii. Mengambil kira penularan COVID-19 menyebabkan impak yang lebih meluas, Kerajaan sekarang memutuskan untuk memberi diskaun 2% bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September 2020.
iii. Langkah diskaun 2% ini dijangka melibatkan anggaran peruntukan RM500 juta.
iv. Diskaun ini akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri serta pertanian.

3. Pembayaran awal bagi Bantuan Sara Hidup (BSH)
i. Seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Februari 2020, pembayaran sebanyak RM200 kepada setiap penerima BSH pada 16 Mac 2020 (diawalkan daripada tarikh asal pada Mei 2020).
ii. Bayaran berjumlah RM760 juta ini akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah BSH.
iii. Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan dalam PRE2020 akan dibayar pada bulan Mei 2020; dan
iv. Bayaran tambahan bulan Mei ini melibatkan RM500 juta yang akan memanfaatkan 5 juta penerima BSH.

4. Pelaksanaan Projek-Projek Kecil PRE2020 (berjumlah RM2 bilion)
i. Projek-projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE2020 akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020.
ii. Pelaksanaan ini akan dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara dan laporan mingguan akan diberikan kepada YAB Perdana Menteri.
iii. Projek-projek ini akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil.
iv. Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Pekeliling berkuatkuasa 16 Mac 2020 untuk menaikkan siling cabut undi daripada RM50 ribu kepada RM100 ribu, dan sebut harga daripada RM500 ribu kepada RM800 ribu.

Selaras dengan fokus Kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan serta meningkat keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara, fungsi dan struktur EAC diperkukuhkan seperti berikut:

Fungsi Utama EAC

i. Mengenal pasti isu-isu semasa ekonomi dan memperakukan tindakan bagi memastikan ekonomi kekal mampan serta mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global;
ii. Mengenal pasti isu dan masalah yang mengekang pertumbuhan ekonomi serta langkah-langkah penyelesaian untuk merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi;
iii. Merangka pelan tindakan jangka pendek dan sederhana untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pelaburan asing dan tempatan serta memasti pembangunan sosioekonomi demi kesejahteraan rakyat; dan
iv. Memastikan keputusan-keputusan EAC dilaksanakan dengan segera.

Struktur dan Keahlian EAC

i. EAC dibantu oleh satu Jawatankuasa Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Teknikal dan beberapa Kumpulan Kerja.

ii. Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (EAC) adalah seperti berikut:
a. YAB Perdana Menteri – Pengerusi;
b. YB Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI);
c. YB Menteri Kewangan (MOF);
d. YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi);
e. Gabenor Bank Negara (BNM);
f. YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi;
g. YBhg. Dato’ Tong Kooi Ong, Pengerusi The Edge;
h. YBhg. Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Pengasas MERCY Malaysia;
i. YBhg. Tan Sri Jamaluddin Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan Celcom Axiata Berhad;
j. YBhg. Tan Sri Gnanalingam, Pengerusi Westports Malaysia; dan
k. YBhg. Tan Sri Jeffrey Cheah, Pengerusi Kumpulan Sunway.

iii. Ahli ex-officio yang dilantik adalah seperti berikut:
a. Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan
b. Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM).

iv. Jawatankuasa Peringkat Pegawai ditubuhkan bagi membantu Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (EAC) mengenal pasti isu-isu semasa. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan UPE JPM. Keahlian Jawatankuasa ini terdiri daripada pegawai-pegawai MOF, UPE JPM, BNM dan wakil-wakil sektor swasta.

v. EAC akan dibantu oleh satu Jawatankuasa Teknikal yang akan menyediakan laporan harian mengenai kedudukan ekonomi global dan domestik. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil daripada MOF, UPE JPM, BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

vi. Beberapa Kumpulan Kerja (Working Groups) ditubuhkan bagi memantau perkembangan dan cabaran yang dihadapi di peringkat sektoral dan memberi input serta cadangan penyelesaian. Antara sektor utama adalah pelancongan, pasaran buruh, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembinaan, peruncitan dan industri makanan. Bilangan Kumpulan Kerja ini boleh ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan. Setiap Kumpulan Kerja akan diketuai bersama oleh pihak kerajaan dan swasta.

Urus Setia EAC

i. MOF dan UPE, JPM akan menjadi Urus Setia Bersama EAC. Urus Setia ini akan bertindak sebagai focal point bagi menyelaras semua perbincangan yang berkaitan dan memantau pelaksanaan keputusan yang dibuat oleh EAC.
ii. Sebuah Pasukan Komunikasi akan diwujudkan di bawah Urus Setia ini bagi menyelaras semua pengumuman dan penyaluran maklumat yang berkaitan dengan EAC.
iii. Urus Setia ini akan diketuai oleh seorang Pengarah Eksekutif.

Kekerapan Mesyuarat EAC

Mesyuarat EAC diadakan seminggu sekali bagi membincangkan isu-isu semasa ekonomi serta meneliti cadangan yang memerlukan keputusan segera bagi merancak pertumbuhan ekonomi domestik.

Pejabat Perdana Menteri
16 Mac 2020

Similar Posts:

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × one =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top