Lawatan YAB PM ke CPRC KKM dan Situasi Terkini COVID-19

PMO

KENYATAAN SIDANG MEDIA

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

Hari ini, YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Semasa lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri diberi taklimat mengenai status semasa wabak Coronavirus 2019 (COVID-19) oleh KKM. Turut hadir adalah YBhg Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara, dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Selepas lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri telah mempengerusikan satu mesyuarat koordinasi bagi membincangkan situasi semasa COVID-19 di Malaysia.

Kerajaan Malaysia sentiasa dalam keadaan berjaga dan mempunyai kaedah- kaedah untuk menangani situasi ini sekiranya kejadian COVID-19 di Malaysia menjadi lebih serius. Kerajaan Malaysia akan terus mempertingkatkan kapasiti sedia ada di pelbagai Kementerian dan agensi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan situasi kejadian COVID-19 yang lebih meruncing. Ini termasuk meningkatkan aspek sumber manusia, kemudahan makmal, klinik kesihatan dan hospital bagi merawat kes COVID-19. Kerajaan Malaysia juga dalam perancangan untuk menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital khusus untuk merawat kes COVID-19. Terkini, KKM juga menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menangani situasi COVID-19 ini.

SITUASI TERKINI JANGKITAN COVID-19

Adalah dimaklumkan bahawa terdapat 12 kes baharu jangkitan COVID-19 yang dilaporkan ke CPRC, KKM pada hari ini (10 Mac 2020). Dengan pertambahan 12 kes baharu, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 129 kes. Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient- Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan. Seorang kes, iaitu kes ke-87 telah pulih dan didiscaj daripada hospital. Ini menjadikan setakat ini seramai 25 orang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Rakyat Malaysia yang bergejala dinasihatkan agar tidak mengunjungi tempat- tempat yang padat dengan orang ramai. Jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

Begitu juga, rakyat Malaysia adalah diingatkan untuk menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:

  • Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser);

  • Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta;

  • Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan negara-negara yang terjejas. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan dari negara yang terlibat kepada doktor yang merawat.

Tahniah diucapkan kepada semua jentera dan anggota kerja Perkhidmatan Awam dan juga swasta yang terlibat secara langsung dan secara tidak langsung dalam menangani kejadian COVID-19 di Malaysia. Rakyat Malaysia diseru untuk tidak menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak sahih mengenai penularan COVID-19. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan kebimbangan dan kecelaruan di kalangan rakyat.

Perkembangan kejadian jangkitan ini akan terus dipantau oleh kerajaan Malaysia. Orang awam akan sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai sebarang perkembangan terkini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Perdana Menteri
10 Mac 2020

Similar Posts:

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + twelve =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top