Kenyataan Media MKN: Syarikat-Syarikat Yang Diluluskan Beroperasi

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS KESELAMATAN NEGARA,
JABATAN PERDANA MENTERI

18 MAC 2020

1. Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak Industri pada 17 Mac 2020, yang dihadiri oleh persatuan-persatuan industri dan dewan- dewan perniagaan antaranya Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM), American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) dan The Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM) yang mewakili industri pembuatan negara.

2. Kerajaan menyambut baik kefahaman pihak industri berkaitan kewajaran peraturan kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

3. Dalam hal ini, Kerajaan amat prihatin dan memandang serius akan cabaran yang dihadapi oleh pihak industri dan turut mengambil maklum akan kepentingan sektor industri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa. Kerajaan akan terus bekerjasama dengan komuniti industri khususnya dalam memastikan perkhidmatan bekalan penting tidak terputus.

4. Sehubungan itu, Kerajaan telah memberikan kelulusan untuk beroperasi dengan syarat-syarat tertentu kepada pihak industri pembuatan yang berkenaan, terutamanya yang mengeluarkan produk-produk yang ditakrifkan sebagai kritikal (seperti di Lampiran A), dengan operasi pekerja di tahap minima dan penggiliran pekerja dilaksanakan. Industri yang dipertimbangkan juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan langkah-langkah saringan dan pencegahan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan di peringkat syarikat demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

5. Syarikat-syarikat yang diluluskan untuk beroperasi WAJIB mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut:

i. Syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau sekurang-kurangnya sebanyak 50% daripada jumlah semasa atau yang berdaftar, bagi pengeluaran di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Syarikat hendaklah mewujudkan sistem bekerja dari rumah bagi pekerja yang tidak terlibat dengan aktiviti pengilangan yang kritikal.

ii. Syarikat dikehendaki untuk memenuhi permintaan dan keperluan produk keluaran atau perkhidmatan bagi pasaran tempatan sepenuhnya.

iii. Syarikat hendaklah mengemukakan kepada MITI senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis.

iv. Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan, dan mengambil bacaan suhu badan pekerja pada setiap hari di pintu masuk kilang/premis. Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk rujukan.

v. Sekiranya suhu badan didapati melebihi paras biasa, syarikat hendaklah menghubungi Pejabat Kesihatan atau Hospital Kerajaan terdekat.

vi. Semua pekerja hendaklah mematuhi prosedur pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh KKM yang dikeluarkan dari masa ke semasa.

vii. Syarikat hendaklah menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dan tempat-tempat lain yang berkaitan dalam kilang/premis, serta memastikan pemakaian face mask oleh setiap pekerja.

viii. Syarikat hendaklah menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman di kilang/premis sebelum setiap shift atau operasi bermula.

ix. Proses sanitasi dan pembersihan perlu dilaksanakan tiga (3) kali sehari terutamanya di kawasan umum (common spaces) seperti lobi, lif, cafeteria, bilik-bilik mesyuarat, surau, bas/pengangkutan pekerja dan pusat rekreasi tertutup.

x. Syarikat hendaklah memastikan kenderaan pekerja telah menjalani proses sanitasi dan pembasmian kuman setiap kali sebelum digunakan.

xi. Syarikat hendaklah memastikan garis panduan amalan terbaik social distancing disediakan dan dilaksanakan khususnya di kawasan-kawasan pengeluaran fasiliti (production floor); cafeteria/kantin; bilik-bilik mesyuarat; surau dan dewan serba guna (multipurpose hall).

xii. Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti COVID-19, syarikat adalah bertanggungjawab menanggung sepenuhnya semua kos perubatan, proses nyah cemar premis, dan lain-lain kos yang berkaitan.

xiii. Kerajaan ingin menegaskan bahawa kelulusan ini boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh pihak syarikat/industri.

xiv. Kerajaan berhak untuk meminda syarat-syarat di atas tertakluk kepada situasi semasa.

6. Kerajaan ingin menegaskan bahawa kelulusan ini boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan ditidak dipatuhi oleh pihak industri.

Sekian.

MAJLIS KESELAMATAN NEGARA
JABATAN PERDANA MENTERI
18 MAC 2020

 

Lampiran A adalah seperti di dalam dokumen di bawah:

Similar Posts:

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 + fifteen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top