PLUS Malaysia Berhad Kekal Milik Khazanah Nasional Dan KWSP

 

PLUS MALAYSIA BERHAD KEKAL MILIK KHAZANAH NASIONAL DAN KWSP
Pengurangan 18% Kadar Tol Untuk Pengguna Lebuhraya

Seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2020 berkaitan pengurangan kadar tol di lebuhraya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Jemaah Menteri pada 15 Januari 2020 telah membuat keputusan berikut:

  1. Kerajaan akan melaksanakan pengurangan 18% ke atas kadar tol bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuhraya milik PLUS bermula seawal 1 Februari 2020. Lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

  2. Sebagai contoh, kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km. Apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu ini lebih rendah daripada kadar tol pada tahun 1999 (11.24 sen/km). Ini bermakna kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47.00 sekarang ini.

  3. Sejajar dengan keputusan ini, tempoh konsesi untuk semua lebuhraya PLUS akan dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058. Ini bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuhraya mereka tanpa bergantung kepada Kerajaan.

  4. Walaupun sebelum ini perjanjian konsesi memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat, keputusan terbaru ini akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun (2020-2058). Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh Kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut.

  5. Kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, di mana Kerajaan bakal mendapat penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM42 billion sepanjang tempoh konsesi tersebut. PLUS juga kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

  6. Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kajian lebih setahun dan pertimbangan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi. Jemaah Menteri telah menyemak dan menimbang pelbagai cadangan yang telah dikemukakan, agar dapat memutuskan keputusan terbaik untuk semua pihak, terutamanya Rakyat.

Kerajaan yakin keputusan ini akan memberi manfaat yang banyak kepada Rakyat melalui pengurangan beban kadar tol, dan dalam masa yang sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

Penjimatan RM42 billion kini boleh digunakan oleh Kerajaan untuk inisiatif-inisiatif yang menguntungkan Rakyat.

Pelaksanaan pengurangan kadar tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham PLUS.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
17 JANUARI 2020

Similar Posts:

725 total views, 8 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen + 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top