Kenyataan Media – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 11 Bil 1/2020

PMO

KENYATAAN MEDIA
YAB TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD PERDANA MENTERI MALAYSIA
MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS KABINET MENGENAI ANTI RASUAH (JKKMAR) SIRI 11 BIL 1/2020

7 JANUARI 2020

1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Siri ke-11 Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Bilangan 1 tahun 2020 sebentar tadi.

2. Sejak penubuhan Jawatankuasa ini pada Mei 2018 sebanyak 182 kertas kerja berkaitan cadangan-cadangan dan isu governans, integriti dan antirasuah telah dibentangkan dan dimaklumkan dalam Mesyuarat ini, Daripada jumlah tersebut sebanyak 47 cadangan dan usul yang dikemukakan telah disempurnakan tindakannya.

3. Keputusan-keputusan penting yang telah dicapai dalam mesyuarat JKKMAR iaitu:

3.1 Mesyuarat dibentangkan mengenai pencapaian yang telah dilaksanakan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Setakat 31 Disember 2019, daripada 115 inisiatif di dalam Pelan tersebut, 22 inisiatif telah selesai dilaksanakan. Antaranya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran. Manakala sebanyak 93 inisiatif pula masih dalam tindakan. JKKMAR hari ini bersetuju untuk memberikan lanjutan tempoh masa setahun kepada agensi peneraju berkaitan untuk melaksanakan inisiatif yang masih belum selesai.

3.2 Kemasukan warga asing yang semakin meningkat akan meningkatkan lagi risiko kepada pengeluaran dokumen palsu dan yang paling dibimbangi iaitu penyelewengan oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri yang tulen kepada penyamar/individu yang tidak layak. Sehubungan itu, mesyuarat hari ini secara prinsip bersetuju dengan syor-syor penambahbaikan yang dibentangkan oleh JPN untuk memantap dan menambahbaik tadbir urus bagi menangani isu pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak teratur antaranya:-

3.2.1.1 Menaik taraf system ICT JPN dengan penggantian aplikasi, perisian, perkakasan dan peralatan.
3.2.1.2 Penarafan semula JPN sebagai agensi berisiko tinggi serta memperkasakan Unit Integriti di jabatan ini.
3.2.1.3 Memperkasakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN dengan meningkatkan peralatan operasi perisikan, infrastruktur, system perjawatan dan kemahiran.
3.2.1.4 Elemen biometrik dimasukkan ke dalam semua dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN.

3.3 Kerajaan mengambil maklum isu berbangkit berkaitan Pemantauan ke atas 20 Agensi Penguatkuasaan di Malaysia sekiranya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dinaiktaraf kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Sehubungan itu mesyuarat secara prinsip bersetuju dengan cadangan daripada SIAP bagi mengkaji keperluan menubuhkan satu Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memantau pengendalian aduan kes-kes salah laku bagi 20 agensi penguatkuasaan lain selain PDRM tersebut. Ini bagi memastikan pemantauan keatas 20 agensi penguatkuasaan berkenaan dapat terus dilakukan seiring dengan pemantauan PDRM.

3.4 Kerajaan serius untuk mengambil tindakan keatas Cadangan yang dikemukakan oleh Institutional Reforms Committee (IRC). JKKMAR hari ini dimaklumkan bahawa daripada 256 cadangan IRC, 190 adalah di bawah skop kerja governans, integriti dan pencegahan rasuah di mana 55 perkara membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, mereformasi sistem perundangan dan pilihan raya. Pemakluman berkaitan perkara ini akan dibuat kepada IRC.

3.5 JKKMAR secara prinsip bersetuju dengan cadangan SPRM supaya urusan penamatan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat melalui proses Perlembagaan dengan membuat pindaan Undang-undang berkaitan. JKMMAR memutuskan supaya satu kajian dibuat bagi mengkaji prosedur perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM turut dibuat melalui Perlembagaan. Ini bagi mengelakkan campurtangan kerajaan dalam urusan perlantikan serta menjamin ketelusan dan kebebasan Ketua Pesuruhjaya dari pengaruh mana-mana pihak. Begitu juga dengan tindakan pemecatan terhadap individu yang memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat melalui proses Perlembagaan.

3.6 Mesyuarat JKKMAR kali ini juga mengambil maklum akan penambahbaikan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan inisiatif- inisiatif NACP berkaitan pembangunan human governance dilakukan di peringkat pra sekolah sehingga ke peringkat tertinggi dalam melahirkan generasi yang berintegriti tinggi dan menolak rasuah.

4. Rang Undang-undang Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 19 Disember 2019 yang lalu dan telah mula berkuatkuasa mulai 2 Januari tahun ini. Sehubungan dengan itu, kita mensasarkan dengan penubuhan agensi ini dapat membantu mengekang ketirisan hasil kerajaan.

Sekian, Terima Kasih

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
7 Januari 2020

Similar Posts:

300 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − 7 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top