Ucapan Sempena Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2019

UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA PELANCARAN HARI PROFESION TEKNIKAL NEGARA 2019
3 DISEMBER 2019 (SELASA)

1. Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana saya dapat bersama meraikan Pelancaran Majlis Hari Profesion Teknikal Negara 2019.

2. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Baru Bian kerana telah menjemput saya untuk merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara pada hari yang berbahagia ini. Biarpun saya tidak dapat hadir secara fizikal di dewan ini, tetapi saya bersetuju untuk memberi ucapan secara rakaman video kerana majlis ini adalah sangat penting dan bersejarah kepada Negara.

3. Kejayaan sesebuah Negara tidak akan dapat dicapai tanpa adanya sumber tenaga kerja yang terlatih, kompetitif dan mempunyai kepakaran dan keupayaan terkini. Kita dapat lihat, dalam kalangan negara-negara maju pembangunan modal insan terutama dalam bidang teknikal amatlah dititik berat.

4. Saya amat berharap melalui platform sambutan Hari Profesion Teknikal Negara ini, masyarakat dapat diberi pendedahan dengan lebih luas dan terperinci berkaitan dengan bidang- bidang yang mempunyai potensi untuk diterokai, terutama bidang-bidang teknikal dan teknologi terkini.

5. Kerajaan baru-baru ini telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang membangun secara mampan. Salah satu daripada teras strategi ini adalah untuk memastikan transformasi modal insan yang berfokuskan kepada penyediaan sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi.

6. Negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman amat menekankan pendidikan Science, Technology, Engineering and Mathematics atau ringkasnya STEM dan Technical and Vocational Education and Training dengan singkatan TVET sebagai agenda utama pendidikan untuk menghasilkan lebih ramai profesion teknikal.

7. Kita juga tidak ketinggalan dalam memastikan STEM & TVET diutamakan. Statistik terkini menunjukkan 44% pelajar di Malaysia menjadikan bidang STEM pilihan mereka di mana kerajaan mensasarkan peratusan ini ditingkatkan kepada 60% pada masa akan datang.

8. Sejarah membuktikan Negara kita telah berjaya berubah daripada sebuah Negara yang bergantung kepada pertanian, kepada Negara yang berpaksikan kepada bidang perindustrian. Penyumbang utama kepada kejayaan ini adalah profesion teknikal.

9. Di negara-negara maju profesion teknikal memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara. Sebagai contoh, tujuh (7) daripada 10 syarikat-syarikat terbesar negara di Jerman yang bernilai 170 billion Euro merupakan syarikat berasaskan teknikal seperti ICT, telekomunikasi dan automotif.

10. Negara-negara maju berkenaan sentiasa menekankan inovasi dan penghasilan teknologi terkini, sehingga menjadi antara negara yang paling banyak mendaftar paten antarabangsa.

11. Kepakaran rakyat Malaysia juga diiktiraf oleh negara luar di mana ramai rakyat Malaysia yang bekerja di negara lain mempunyai ilmu yang tinggi terhadap pekerjaan masing-masing terutamanya di dalam profesion teknikal.

12. Ini terbukti melalui kejayaan PETRONAS yang kini beroperasi di merata dunia di mana kakitangan syarikat berkenaan menguasai ilmu dan kecekapan di dalam bidang teknikal industri minyak dan gas. Kejayaan ini sudah pasti menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.

13. Perkembangan global terkini khususnya Revolusi Industri 4.0 atau ringkasnya IR 4.0 berpaksikan kepada teknologi terkini yang mensasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik.

14. Selaras dengan itu, kita perlu memastikan para pekerja dalam bidang teknikal diperlengkapkan dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’ berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan. Usaha kita bersama ini dapat memastikan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dalam bidang teknikal dapat dikawal dan dikurangkan.

15. Kita tiada pilihan melainkan berusaha dengan lebih agresif untuk memartabatkan dan mengiktiraf Profesion Teknikal ke tahap yang lebih tinggi.

16. Maka pengisytiharan Hari Profesion Teknikal Negara pada setiap Sabtu pertama bulan Disember ini merupakan satu permulaan usaha kerajaan ke arah itu. Tema untuk tahun ini ialah “Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama”.

17. Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya merasmikan pelancaran Hari Profesional Teknikal Negara 2019. Terima kasih.

 

Similar Posts:

263 total views, 3 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − 13 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top