Transkrip Ucapan YAB PM di Perjumpaan bersama Warga JPM bagi bulan Disember 2019

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Amat Berhormat, Timbalan Perdana Menteri,
Yang Berhormat Menteri-Menteri,
Yang Berbahagia Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan dalam Jabatan Perdana Menteri, seterusnya hadirin sekalian.

Seperti mana mungkin kita semua tahu saya baru saja balik daripada Korea. Di Korea saya terlihat bagaimana jayanya negara Korea ini. Dahulu negara Korea ini adalah di belakang Malaysia daripada segi pembangunan. Mereka belajar daripada Malaysia. Tetapi hari ini mereka sudah jadi negara maju. Ukuran negara maju ini ialah pendapatan per kapita mereka dan Malaysia. Sementara di Malaysia, kita mempunyai per kapita income sebanyak $USD 10 ribu tetapi di Korea Selatan didapati bahawa pendapatan per kapita mereka ialah $USD 36 ribu.

Ini menunjuk betapa jauhnya mereka ke hadapan. Saya tertanya-tanya kenapakah ini berlaku. Selepas Perang Dunia Kedua ataupun sebelum daripada itu kita dapati bahawa negara-negara yang maju hanya terdapat di Eropah dan di Amerika. Negara-negara di Asia tidak ada satu pun yang maju. Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, walaupun Jepun mengalami kekalahan, kita lihat bagaimana Jepun dapat mengejar dan mendahului negara-negara Eropah dalam segi pembangunan dan kebolehan. Sekarang ini terdapat dua lagi negara Asia yang mencapai pembangunan ke taraf negara maju iaitu Korea Selatan dan negara China. Kenapakah Malaysia ini tidak dapat mencapai kemajuan yang sama?

Kita memang mempunyai banyak masalah. Di antaranya ialah negara kita ini adalah negara berbilang kaum. Malangnya pencapaian kaum-kaum tidaklah sama. Sementara ada satu kaum yang maju ke hadapan, satu kaum yang lain ketinggalan di belakang. Keadaan yang semacam ini tidak sihat bagi sesebuah negara. Kalau ada terpisahnya kaum-kaum kerana kemajuan mereka, dan kaum-kaum ini pula mencerminkan pencapaian mereka, maka negara kita tidak akan selamat kerana perpisahan, jarak perpisahan antara miskin dengan kaya memang pun menjadi satu masalah bagi mana-mana negara pun dan ini kita dapat lihat apa yang berlaku di Eropah apabila terdapat perpisahan ataupun jarak perpisahan kekayaan ataupun pendapatan antara yang miskin dengan kaya begitu ketara, maka berlakulah revolusi supaya pihak yang miskin ini dapat mengambil alih negara, supaya mereka dapat menolong diri mereka.

Inilah yang kita lihat berlaku dalam sejarah. Kita bernasib baik kerana di Malaysia ini tidak ada revolusi yang berlaku. Walaupun ada percubaan untuk menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat pada mulanya, tetapi selepas itu kita dapati negara kita ini aman dan tidak ada lagi usaha untuk menjatuhkan kerajaan secara ganas. Memang secara demokrasi, kita boleh menukar kerajaan, tetapi tidak berlaku keganasan untuk mendirikan kerajaan yang baru. Kita bersyukur kerana keamanan negara kita. Tetapi masalah perpisahan antara miskin dan kaya ini ditambah pula dengan perpisahan antara kaum, keadaan ini amat tidak sihat dan mungkin akan mencetuskan huru-hara dalam negara kita. Jika ini berlaku, maka akan lebih mundurlah Malaysia ini.

Sebab itu dalam Wawasan Kemakmuran Bersama ini kita telah tentukan bahawa semua pihak akan menikmati kekayaan negara kita ini. Sudah tentu akan ada yang miskin dan ada yang kaya, tetapi jarak antara mereka tentulah tidak begitu jauh kerana kalau jarak antara miskin dan kaya menjadi terlalu jauh, maka akan timbullah perasaan iri hati dengki dan sebagainya oleh yang miskin kepada yang kaya. Lama-kelamaan, mungkin mereka mengambil tindakan yang tidak mengikuti undang-undang negara. Sebab itu, Wawasan Kemakmuran Bersama ini menjadi satu dasar yang amat penting kerana tujuannya ialah untuk kita kurangkan jarak antara yang miskin dengan yang kaya antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Untuk ini, kerajaan akan berusaha. Tapi yang lebih utama ialah mereka yang miskin perlulah sambut cara-cara yang dijadualkan ataupun ditentukan oleh kerajaan untuk menolong pihak yang miskin. Kita tidak boleh mengatasi kemiskinan mereka dengan cara memberi wang kepada mereka. Ini tidak menjadikan mereka lebih kaya, sebaliknya selama mereka menerima wang bantuan mereka tetap berada di kalangan orang yang miskin. Cara untuk mengatasi kemiskinan ini ialah dengan cara si miskin perlu menerima cadangan-cadangan Kerajaan untuk berusaha supaya mereka dapat atasi kemiskinan mereka.

Sebenarnya, mereka yang miskin boleh diperkayakan, ditambahkan pendapatan mereka dengan cara mereka berusaha. Mereka mempunyai masa yang cukup untuk berusaha. Kalau daripada satu punca mereka tidak dapat mengatasi masalah mereka, kita perlu tentukan ada punca lain yang memberi pendapatan kepada mereka. Sesungguhnya mereka yang miskin, mempunyai masa yang panjang untuk melakukan lain-lain kerja. Pihak kerajaan akan mengenal pasti apakah kerja-kerja lain, perniagaan lain, perusahaan lain yang boleh diusahakan oleh pihak yang miskin. Walaupun kita ingin adakan perusahaan dan syarikat yang besar-besar yang memberi peluang pekerjaan kepada yang daif, tetapi tak semua daripada kilang-kilang ini boleh mengadakan cukup bilangan pekerjaan untuk menampung keperluan pihak yang miskin. Untuk mereka mencari pendapatan yang lebih, maka perlulah mereka berusaha sendiri dengan sedikit bantuan dan tunjuk ajar daripada kerajaan.

Kita lihat sekarang ini orang yang miskin yang berusaha sudah pun menjadi kaya bahkan ada yang jadi millionaire pun. Ini kita lihat daripada pengusaha membuat tudung kepala wanita umpamanya, mereka sudah jadi kaya kerana perusahaan ini. Dulu tidak ada sekarang ni sudah ada, kerana wanita kita semua memakai tudung kepala. Dengan itu pengusaha tudung kepala dapat menambah pendapatan mereka. Demikian juga mereka yang mengeluarkan barangan makanan yang dimasukan dalam botol yang boleh dijual dengan label-label yang terbaik. Mereka ini juga dapat menambah pendapatan mereka. Inilah caranya untuk mengatasi kemiskinan bukan dengan kerajaan memberi BR1M ataupun beri duit percuma. Sebaliknya kalau mereka berusaha sendiri dengan bantuan kemudahan oleh pihak kerajaan seperti memberi pinjam wang modal umpamanya dan mengadakan tunjuk ajar, mengadakan latihan-latihan berkenaan dengan perniagaan, saya yakin mereka yang miskin sekarang ini dapat menambah pendapatan mereka.

Sebab itulah kita bentuk dasar baru ni, Wawasan Kemakmuran Bersama. Selagi mereka yang ketinggalan tidak sambut baik cara-cara dan strategi ini, selama itulah mereka akan terus miskin dan ini tidak baik bagi pembangunan negara kita. Oleh itu saya rayu kepada semua, daripada pegawai kerajaan yang sudah pun mendapat pendapatan daripada pekerjaan, untuk memberi teguran dan tunjuk ajar kepada pihak-pihak yang miskin, bagaimana mereka boleh mengatasi kemiskinan mereka. Kalau mereka dapat mengatasi kemiskinan mereka, maka dapatlah negara kita bangun dengan pesatnya dan mungkin juga kita akan termasuk di kalangan negara yang maju, seperti yang kita lihat di timur ini iaitu negara Jepun, Korea Selatan dan juga negara China.

Tidak ada satu yang akan datang melayang. Tidak ada sesuatu yang akan datang bergolek. Semuanya memerlukan usaha daripada kita. Oleh itu tukarlah cara kita menerima masalah kita dan mengatasi masalah kita, khususnya berkenaan dengan kemiskinan. Janganlah tertunggu-tunggu supaya dapat diberi bantuan kewangan kerana ini menjadikan kita orang yang bergantung kepada kerajaan dan orang yang bergantung kepada kerajaan sudah tentu kedudukan mereka tidak selamat. Sebaliknya jika mereka dapat menambah pendapatan mereka dengan usaha mereka sendiri, maka terpulanglah kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui usaha mereka. Inilah yang pegawai-pegawai dalam Kerajaan perlu hebahkan kepada rakyat yang miskin kenapa mereka perlu berusaha, bekerja keras untuk mengatasi kemiskinan mereka dan jangan mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Sekian sahaja yang dapat saya sampaikan pada hari ini dan saya harap kita semua mengambil perhatian terhadap masalah kemiskinan di dalam negara kita yang menjadi batu penghalang terhadap kemajuan negara kita, terhadap usaha kita untuk menjadikan negara Malaysia yang kita cintai ini negara yang maju.

Sekian, Terima Kasih.

Similar Posts:

247 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty − one =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top