Ucapan Sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Ke-15

TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PENGANUGERAHAN IJAZAH KEHORMAT KEDOKTORAN SENI KREATIF SEMASA ISTIADAT KONVOKESYEN AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN
(ASWARA) KE-15 TAHUN 2019
PADA 7 NOVEMBER 2019 (KHAMIS), JAM 9.00 PAGI BERTEMPAT DI PANGGUNG EKSPERIMEN ASWARA

PENGENALAN

  1. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di atasanugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan)kepada saya dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif) kepada isteri saya.
  2. Saya diberitahu ini merupakan julung-julung kalinya Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif (Doctor of Creative Arts) diperkenalkan di Malaysia oleh ASWARA – sebuah institusi pendidikan tinggi seniyang mempunyai prasarana yang dinamik di Malaysia. Saya dan isteri berasa amat terharu menjadi penerima ulung anugerah ini.
  3. Penganugerahan ini sudah pasti sangat amat bermakna buat kami. Tetapi, yang lebih penting ialah, anugerah ini meletakkan seni dan budaya sebagai satu subjek yang perlu mendapat perhatian. Budaya terutamanya boleh menentu jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, bahkan seseorang individu. Ini disebab budaya merangkumi nilai hidup dan nilai hiduplah yang mempengaruhi gerak geri masyarakat manusia.
  4. Sekarang sudah sampai masanya Kerajaan dan rakyat Malaysia memberi perhatian kepada seni dan budaya Negara kita kerana ia adalah tunjang kepada identiti bangsa.

 

MEMARTABATKAN SENI DAN BUDAYA

  1. Kita kadangkala alpa malahan lupa bahawa sejarah ketamadunan dunia sejak ribuan tahun dahulu telah dibina dan menjadi gemilang kerana seni dan budayanya.
  2. Apabila kita mengagumi tinggalan-tinggalan sejarah dalam bentuk struktur-struktur dan bangunan-bangunan, setiap satu mempamerkan seni dan budaya masing-masing. Kita kenali tinggalan sejarah itu dan mengaitkan dengan mana-mana bangsa berdasarkan seni dan budaya yang disulam bersama struktur-struktur tersebut.
  3. Seni dan budaya itu berkait dengan nilai-nilai murni sesuatu bangsa dan semakin indah dan halus seni budayanya semakin tinggi letak tamadun bangsa itu.
  4. Dan seni serta budaya itu tidak berkembang secara sendirian melainkan beriringan dengan pembangunan sosial, ekonomi, politik serta lain-lain aspek kemanusiaan dan kehidupan sesuatu bangsa.
  5. Bagi saya, seni dan budaya mempunyai hubungan simbiotik dengan kemajuan tamadun sesuatu bangsa – tidak kira samada kemajuan tamadun itu tercapai kerana ketinggian seni dan budayanya ataupun kemajuan tamadun itu membentuk seni dan budaya yang tinggi.
  6. Secara mudah, kemajuan tamadun tidak akan tercapai tanpa seni dan budaya manakala seni dan budaya tidak akan dapat berkembang jika kemajuan tamadun tidak tercapai.
  7. Di atas kesedaran ini, saya amat berharap ASWARA akan dapat memainkan peranan besar didalam memperlihatkan kepentingan kesenian dan kebudayaan dalam pendidikan tinggi serta peranannya dalam kehidupan masyarakat seharian.

 

MALAYSIA YANG KAYA DENGAN KESENIAN DAN KEBUDAYAAN

  1. Malaysia mewarisi budaya, adat istiadat dan tradisi yang kaya kerana penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan dan agama. Kepelbagaian inilah yang menyumbang kearah kemajuan dan pembangunan Negara kita selama ini.
  2. Saya gembira melihat para mahasiswa ASWARA bukan sahaja datang dari Semenanjung,malahan juga dari Sabah dan Sarawak. Mereka ini akan perkayakan kebudayaan bangsa kita dan mempertahankannya supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
  3. Bagaimanapun, budaya kita yang kaya ini tidak cukup untuk berkembang di dalam Negara sahaja. Kita perlu membawa budaya kita ke peringkat antarabangsa, di samping mempelajari budaya orang lain.

 

SUMBANGAN KESENIAN DAN KEBUDAYAAN

  1. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, seni dan budaya menjadi manifestasi tamadun sesuatu bangsa dan seterusnya Negara bangsa. Peranannya amat besar di dalam pembangunan masyarakat. Negara-negara maju di dunia mengakui bahawa latihan dan galakan seni samaada melalui latihan formal mahupun galakan lain dalam kalangan masyarakat adalah suatu yang penting dalam pembinaan Negara.
  2. Pencapaian, kualiti dan kemudahan untuk kegiatan kesenian sering dikaitkan dengan taraf hidup dan turut dijadikan antara kayu ukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah Negara.
  3. Para pelajar dalam bidang seni dan budaya mampu memberi sumbangan dalam industri kreatif yang sedang berkembang pesat kini. Kandungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi mampu menjadi eksport yang boleh menguntungkan Negara jika produk yang dihasilkan berkualiti.
  4. Industri Kreatif merupakan sektor yang sedang berkembang maju di Malaysia. Sehingga 31Mac 2019, terdapat 345 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi daripada jumlah keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif.
  5. Pada tahun 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.69 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM1.40 bilion dan telah menyediakan sebanyak 11,471 peluang pekerjaan.
  6. Dengan wujudnya pelbagai fakulti di ASWARA, saya percaya ASWARA boleh menyediakan kandungan serta produk industri kreatif yang lebih berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

PERANAN PELAJAR DI BIDANG SENI DAN BUDAYA

  1. Peranan para pelajar dalam bidang seni sama pentingnya dengan peranan para pelajar dalam bidang-bidang yang lain seperti matematik, sains dan teknologi di universiti awam dan swasta.
  2. Adalah wajar sekiranya kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam yang lain seperti kemudahan pinjaman dan bantuan pendidikan dipertimbang untuk pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang seni, budaya dan warisan.
  3. Seiringan itu juga, tenaga akademik seni dan budaya termasuk di ASWARA harus mendapat galakan dan peruntukan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi jika kita mahu keupayaan mereka mencapai tahap pengajar luar Negara.

 

PERANAN TEKNOLOGI DALAM INDUSTRI KREATIF

  1. Ketika ini, perubahan teknologi yang pantas memerlukan kita bertindak pantas untuk kekal kompetitif terutamanya di dalam persaingan ekonomi.
  2. Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh kehilangan identitinya yang dibentuk menerusi kepelbagaian kebudayaan dan keseniannya. Kemajuan fizikal dan material perlu kita diimbangi dengan kemajuan kesenian dan kebudayaan kerana dengan cara ini sahaja kita dapat memperkukuh tamadun bangsa.
  3. ASWARA mempunyai tugas penting memastikan ini dicapai kerana ia salah satu institusi yang mendidik golongan muda untuk kenal seni, budaya dan warisan bangsa.
  4. Saya yakin industri kreatif negara ini akan memberi sumbangan yang positif terhadap Keluaran Negara Kasar (KNK) Malaysia.

 

PENUTUP

  1. Kebudayaan kita, seperti juga kebudayaan-kebudayaan negara lain, sentiasa mengalami perubahan akibat pengaruh luar, pengaruh perkembangan komunikasi, teknologi dan sebagainya.
  2. Dalam hubungan inilah pendidikan seni dan budaya amat penting, kerana kita tidak mahu berlaku kemerosotan dan kemiskinan budaya. Kemerosotan ini akan menghakis sistem nilai yang amat perlu untuk kelangsungan bangsa dan Negara.
  3. Jika seni dan budaya tidak diperjuangkan, masyarakat tidak lagi memahami fungsi dan kegunaan budaya teras yang menjadi identiti, sebaliknya, mereka lebih mengenali budaya asing. Dengan itu, nilai-nilai murni yang kita warisi akan turut hilang.
  4. Saya doakan ASWARA akan terus inovatif dan kreatif, menjadi institusi pendidikan seni yang ulung serta dipandang tinggi di peringkat rantau dan antarabangsa.
  5. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada ASWARA dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di atas penganugerahan kepada saya dan isteri.

 

Terima kasih.

Similar Posts:

284 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − eleven =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top