Ucapan sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2019

TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD SEMPENA HARI RAYA DEEPAVALI PADA 27 OKTOBER 2019 DIRAKAMKAN DI PEJABAT PERDANA MENTERI, PUTRAJAYA

1. Saya dan isteri mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

2. Sebagai rakyat Malaysia, kita merasa syukur kerana dapat meraikan perayaan dalam suasana aman dan harmoni. Ini hanya dapat dikecapi kerana rakyat negara ini mengamalkan sikap toleransi dan menerima perbezaan antara kaum dan agama.

3. Perpaduan yang disemai di kalangan kita sejak kecil hingga dewasa sedikit sebanyak telah membolehkan kemakmuran negara tercapai dalam masa yang singkat sejak penubuhan Malaysia. Terdapat negara-negara di dunia yang masih bergelut dengan isu-isu perkauman dan pergolakan kuasa yang berpanjangan namun kita di negara ini menikmati pembangunan pesat dan hubungan antara kaum yang erat.

4. Jika diamati dengan teliti, tidak ada mana-mana negara di dunia yang mempunyai rakyat berbilang kaum, berbilang agama, berbilang bahasa dan berbilang budaya seperti Malaysia. Apatah lagi yang telah berkembang pesat, maju dan aman dalam jangkamasa yang pendek seperti negara kita ini.

5. Masyarakat kita telah belajar untuk hidup bersama dan bekerjasama ke arah kejayaan Malaysia. Sikap ini mesti dipupuk di kalangan generasi muda dan diteruskan ke atas generasi yang akan datang. Inilah asas kepada perpaduan nasional sejajar dengan cita-cita dan objektif yang disebut di dalam Rukunegara, antaranya; hasrat untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di seluruh

masyarakat, hasrat untuk mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama serta hasrat agar rakyat membentuk sikap yang terbuka dalam menerima kebudayaan yang pelbagai corak di Malaysia.

6. Kita sedar wujudnya anasir-anasir yang tidak sihat yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara. Namun kita percaya bahawa mereka ini hanyalah segelintir dan majoriti rakyat Malaysia adalah matang dan rasional, serta lebih cenderung kepada keamanan sejagat. Sikap ini terdorong dari perasaan sayangkan negara sendiri. Ini negara kita, tidak ada tempat lain se-unik Malaysia.

7. Saya berharap sempena hari yang memberi maksud unsur-unsur kebaikan mengalahkan kejahatan, kita membuang sifat-sifat yang tidak elok demi kebaikan kita bersama.

8. Sebagai tradisi berdekad lamanya, saya percaya semasa perayaan Deepavali tahun ini rumah-rumah terbuka tetap dianjurkan agar setiap lapisan masyarakat dapat bergaul antara satu sama lain dan menikmati juadah serta pergaulan yang sihat dalam suasana yang aman.

9. Gunakanlah hari yang istimewa ini untuk mengeratkan lagi hubungan sesama kita. Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

Similar Posts:

413 total views, 25 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top