Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan Dan Ketenteraman Awam

UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN DASAR KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM “KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM: TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

PADA 3 OKTOBER 2019 (KHAMIS), JAM 9.00 PAGI BERTEMPAT DI AUDITORIUM D8, KOMPLEKS D, PUTRAJAYA

PENGENALAN

1. Terlebih dahulu saya ingin ucap terima kasih kerana menjemput saya untuk bersama-sama ke Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam pada pagi ini.

2. Secara peribadi, Kementerian Dalam Negeri ini sangat dekat kepada saya kerana saya sendiri pernah menerajuinya dari tahun 1986 sehingga tahun 1999. Malahan, di dalam pentadbiran Kerajaan yang baharu ini, saya juga telah beberapa kali memberi khidmat di Kementerian ini.

3. Saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk ucap tahniah kepada Tan Sri Menteri dan warga Kementerian Dalam Negeri yang telah menghasilkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam ini. Ianya amat diperlukan di waktu kita berhadapan dengan ancaman keselamatan yang begitu kompleks dan sukar ditangani dengan cara-cara konvensional.


KEPENTINGAN HALA TUJU KESELAMATAN NEGARA

4. Kerajaan bertanggungjawab memasti aspek keselamatan Negara dan rakyat terjamin. Negara yang selamat dan aman akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan.

5. Kerajaan juga telah merangka Wawasan Kemakmuran Bersama dan ia dijadikan asas dalam membangunkan RMK-12. Maka adalah penting bagi semua dasar yang digubal, termasuk dasar keselamatan selari dengan hala tuju dan aspirasi utama Negara.

6. Pertumbuhan ekonomi memerlukan suasana yang stabil dan aman untuk berkembang kukuh. Ekonomi akan sukar untuk berkembang sekiranya keadaan Negara kucar-kacir atau bergolak.

7. Kita telah lihat bagaimana Negara-Negara yang bergolak akan rosak ekonominya dan rakyat hilang kesejahteraan kerana Kerajaan-Kerajaan ini tidak dapat memberi tumpuan kepada program pembangunan sosioekonomi mereka.

8. Kedudukan Malaysia di dalam Global Peace Index 2019, berada pada kedudukan ke-16 daripada 163 Negara dan ini satu peningkatan ketara dibanding dengan kedudukan ke-25 pada tahun 2018.

9. Kita boleh selesa dengan pencapaian tersebut tetapi masih banyak aspek yang perlu kita beri tumpuan dan ditambah baik. Walaupun kita bangga dengan pencapaian tersebut, yang lebih utama ialah pengurangan kes-kes jenayah serta berupaya membuat rakyat kita rasa selamat tinggal di dalam Negara.

10. Sejak PRU ke-14 banyak perubahan berlaku yang memerlukan strategi baharu dalam aspek keselamatan.

11. Beberapa perundangan berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam juga turut dikaji termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Kanun Keseksaan 1957 (Perhimpunan Aman).


MALAYSIA DAN CABARAN KESELAMATAN

12. Dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan yang kompleks. Ancaman ini memberikan satu cabaran yang besar kepada mana-mana Kerajaan di dunia bagi memastikan keselamatan Negara dan rakyatnya terjamin.

13. Ancaman luar seperti jenayah rentas sempadan khususnya ancaman ideologi dan fahaman yang bertentangan dengan agama, budaya dan perundangan Negara yang membawa kepada keganasan, penyeludupan barangan dan manusia, pelanunan atau piracy, pengubahan wang, budaya songsang dan jenayah terancang menyumbang kepada peningkatan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman Negara. Untuk menangani ancaman-ancaman ini, dasar yang bersifat holistik diperlukan termasuklah menjalin kerjasama strategik di peringkat global.

14. Media sosial misalnya menjadi platform utama memecah belahkan perpaduan kaum dan mewujudkan kebimbangan serta ketakutan kepada rakyat. Ini semua bertujuan untuk mewujudkan ketidakstabilan terhadap Kerajaan sedia ada dan perkara ini perlu ditangani sewajarnya.

15. Selain itu juga, aktiviti jenayah seperti pengedaran dan penagihan dadah, perjudian haram, gangsterisme, pemalsuan dokumen identiti serta perlakuan jenayah indeks telah menggunakan modus operandi yang lebih kompleks kesan penggunaan teknologi baharu ini.

16. Kekurangan aset dan kemampuan agensi keselamatan dalam mengawal sempadan Negara turut menyumbang kepada kemasukan atau peningkatan jenayah dalam Negara.

17. Cabaran dan isu-isu yang semakin kompleks ini memerlukan pendekatan baharu yang kreatif untuk menanganinya. Agensi keselamatan perlu berubah dari pendekatan tradisional kepada pendekatan yang berasaskan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0 untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan dalam sektor keselamatan.

18. Pendekatan ini termasuklah pembangunan sumber manusia yang lebih kompeten bagi menghadapi cabaran yang lebih kompleks ini. Selain itu, penggunaan artificial intelligence atau AI, penggunaan drone, automasi berasaskan robotik, cloud computing dan internet of things yang berupaya menggurangkan kos dan sumber manusia di samping meningkatkan kecekapan dalam menangani cabaran dan isu-isu keselamatan. Strategi ini juga adalah selaras dengan dasar pendigitalan Kerajaan.


DASAR KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM (DKKA)

19. Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam yang dilancarkan hari ini bermatlamat untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah Negara yang berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia dengan rakyatnya bersatu padu serta berupaya mempertahankan kepentingan Nasional. Dasar ini dirangka sebagai panduan dan rujukan bagi mendepani pelbagai isu dalam sektor keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar. Dasar ini juga akan melengkapi Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang merupakan satu dasar payung dalam aspek keselamatan Negara.

20. Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam ini merangkumi semua aspek dari pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air; pengukuhan keselamatan sempadan; menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi ancaman dadah; dan melindungi aset dan sasaran penting Negara.

21. Dengan adanya dasar ini juga, saya juga berharap agar isu yang melibatkan pertindihan dasar dan pelaksanaan dapat diselaraskan semula.


PENUTUP

22. Saya percaya Dasar ini dengan tema – “Keselamatan dan ketenteraman awam: Tanggungjawab Bersama” – secara jelas memerlukan kerjasama dan komitmen yang padu dari semua peringkat rakyat dari sektor swasta, komuniti hinggalah individu.

23. Dengan lafaz “Bismillahirahmanirrahim”, saya dengan rasminya melancarkan Dasar Keselamatan dan Kententeraman Awam.

Terima kasih.

Similar Posts:

471 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine − 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top