Ucapan Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019

TEKS UCAPAN PERASMIAN OLEH
TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA

KARNIVAL USAHAWAN DESA @KPLB PUTRAJAYA 2019
19 OKTOBER 2019 (SABTU)

PENDAHULUAN

1. Pertama sekali saya ingin ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk berkongsi sedikit pandangan sempena Majlis Karnival Usahawan Desa anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

2. Karnival ini bertujuan untuk memperkenal produk-produk industri desa yang pada masa sekarang telah mencapai mutu yang tinggi dan sepatutnya mendapat sokongan dari masyarakat umum.

MERAPAT JURANG PENDAPATAN

3. Kita sedia maklum bahawa perbezaan jurang pendapatan isi rumah di antara bandar dan luar bandar sangat ketara. Bagi merapatkan jurang ini, baru-baru ini Kerajaan telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama di mana prinsip panduan utama WKB adalah penekanan kepada kesaksamaan keberhasilan (equatability of outcomes).

4. Wawasan Kemakmuran Bersama memerlukan satu pendekatan ekonomi bagi menjamin kesaksamaan keberhasilan dari sesuatu inisiatif dengan mengambil kira kekangan terhadap pencapaian kumpulan/individu yang disebabkan oleh perbezaan latar belakang ekonomi dan persekitaran.

5. Beriringan dengan Wawasan itu, tindakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjadikan bidang keusahawanan antara salah satu teras dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 adalah satu langkah tepat bagi memupuk budaya keusahawanan di kalangan masyarakat luar bandar khususnya kepada wanita dan belia. Ini hanya akan berhasil jika usaha ini disambut baik oleh mereka yang menjadi sasar dasar ini.

6. Kerajaan melihat bahawa bidang keusahawanan terbukti berkesan untuk membangunkan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerja. Ini pasti pada akhirnya dapat menyumbang kepada usaha merapatkan jurang pendapatan isi rumah antara luar bandar dengan bandar.

7. Bagi memperluaskan pasaran produk keluaran usahawan luar bandar, beberapa strategi perlu dilaksanakan bagi menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global. Satu agensi pemasaran akan ditubuh untuk menasihat tunjuk ajar dan berusaha menolong pemasaran produk yang dihasilkan.

8. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membentuk perkongsian pintar antara komuniti usahawan luar bandar dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan pihak swasta bagi meningkatkan jaringan dan rantaian pemasaran pembekalan dan pengeksportan.

9. Usahawan luar bandar juga perlu meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing melalui penggunaan mesin dan teknologi. Penggunaan mesin dalam penghasilan produk mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta memastikan konsistensi kualiti produk.

MEMBENTUK BUDAYA KEUSAHAWANAN

10. Kerajaan mahu memupuk Budaya Keusahawanan melalui latihan dan apperintis dalam perniagaan dan perusahaan yang sedia ada. Jika layak baharulah mereka akan diberi peluang. Jika belum layak mereka akan diberi latihan lagi.

11. Kerajaan telah menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera.

12. Selain itu RM100 juta turut diperuntukkan untuk pinjaman oleh usahawan-usahawan kecil dan ini satu peluang yang wajar direbut oleh usahawan-usahawan muda terutamanya di luar bandar.

13. Dana berjumlah RM52 juta juga disediakan untuk pelaksanaan pelbagai program keusahawanan dan latihan industri tani supaya dapat menarik penglibatan golongan muda menceburkan diri dalam bidang agromakanan.

PENUTUP

14. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang berjaya pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, tanpa minat dan kesediaan untuk menyertai peluang-peluang yang akan diwujud, usaha ini tidak akan berjaya.

15. Para usahawan luar bandar perlu sedia bekerja keras untuk mencari dan meningkat pendapatan. Rezeki ini perlu diusahakan dan ianya tidak akan datang melayang atau bergolek kepada kita.

16. Kerajaan yakin sekiranya para usahawan luar bandar dapat terus berusaha memaju diri dan sentiasa mahu memperbaiki produk-produk yang dihasil, saya pasti mereka akan mampu mengeluar produk bermutu dan berdaya saing sehingga ke pasaran global.

17. Sekarang ini pun sudah ada yang mencapai tahap tersebut dan ini bermakna jika ada usaha sudah pasti yang lain juga akan turut berjaya.

18. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya rasmikan Karnival Usahawan Desa Putrajaya 2019.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

215 total views, 5 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 4 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top