Ucapan di Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2019

TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

BERSEMPENA MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK) TAHUN 2019

PADA 30 OKTOBER 2019 (RABU), JAM 3.00 PETANG
DEWAN PUTRA A2, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA

PENGENALAN

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat bertemu pada hari ini sempena Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan atau MPPK bagi tahun 2019.

2. Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir kerana dapat meluangkan masa bagi membincangkan isu-isu yang akan dibentangkan oleh perwakilan mahasiswa sebentar nanti.

3. Kerajaan sesungguhnya percaya bahawa sumbangan dan idea bernas dari kalangan mahasiswa mampu membantu memacu pembangunan dan kemajuan Negara. Tidak dilupakan juga sumbangan mahasiswa terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.

4. Komitmen untuk memacu Negara ke arah martabat yang lebih unggul perlu menjadi intipati perdana yang perlu ditanam kepada golongan mahasiswa pada zaman ini.

5. Kerajaan melihat Mesyuarat MPPK sebagai satu platform penting di dalam penglibatan secara langsung mahasiswa di dalam fungsi legislatif sesebuah Negara berdemokrasi.

 

MPPK: PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM SISTEM PENTADBIRAN NEGARA

6. Kerajaan percaya bahawa persoalan umum yang membabitkan pelbagai pihak tidak wajar diputuskan oleh beberapa orang individu sahaja. Oleh itu, mekanisma “Syura” ataupun perbincangan bersama menjadi pendekatan terbaik yang di ambil oleh Kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa dapat didengari melalui konsep bermusyawarah.

7. Keterbukaan Kerajaan dalam menerima cadangan dan mendengar suara mahasiswa hari ini merupakan peluang bagi mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sistem pentadbiran Negara.

8. Ini kerana Kerajaan percaya bahawa mahasiswa adalah pelapis yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi untuk mengemudi Negara pada masa akan datang. Kerajaan juga yakin bahawa berdasarkan sifat kepimpinan tersebut, mahasiswa sentiasa mempunyai idea segar yang selari dengan teknologi masa kini demi kepentingan dan pembangunan Negara.

9. Usaha sedang giat dijalankan oleh Kerajaan bagi memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa melalui pelbagai pendekatan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun ruang kebebasan yang lebih besar itu harus disertai dengan rasa tanggungjawab yang sewajarnya.

10. Setiap kebebasan yang kita mahukan harus kita semai dengan nilai-nilai yang baik dan diiringi dengan integriti yang tinggi. Kebebasan itu, seperti kemerdekaan, amat bernilai. Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna ataupun membawa erti yang besar.

11. Mahasiswa hendaklah meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan yang diambil atas prinsip kebebasan masih di bawah nilai-nilai kesopanan, kesusilaan dan norma-norma kebudayaan masyarakat kita.

12. Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikaikan.

13. Apabila mahasiswa dilihat sebagai kader atau tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan Negara masa depan akan tercalar.

 

MPPK MEMBENTUK PEMIMPIN MASA HADAPAN

14. Mesyuarat MPPK juga merupakan simulasi latihan yang terbaik kepada mahasiswa sebagai persiapan untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang. Pengalaman yang digarap dalam Mesyuarat MPPK tidak boleh diperolehi di tempat lain. Malah, peluang ini terhad kepada pemimpin mahasiswa yang dilantik melalui Pilihan Raya di setiap Institut Pengajian Tinggi.

15. Mesyuarat MPPK merupakan pendedahan awal di dalam menyerlahkan kewibawaan mahasiswa untuk mentafsir dan menilai sesuatu perkara dari pelbagai sudut.

16. Kekhilafan dalam membuat keputusan akan memberikan impak yang sangat besar terhadap kesejahteraan Negara. Oleh itu, Mesyuarat MPPK merupakan medium terbaik untuk mendidik mahasiswa daripada membuat keputusan terburu-buru dan tidak dicapai dengan kepanasan “darah muda”.

 

MEMBINA NEGARA KE ARAH YANG LEBIH BAIK

17. Pada tahun ini, Mesyuarat MPPK akan menyambut ulang tahun ke-20 tahun. Sepanjang dua dekad tersebut, MPPK yang kini bersidang buat kali ke-28 telah berjaya memperlihatkan pelbagai hasrat mahasiswa yang bermutu berkaitan isu semasa, daripada aspek ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan sebagainya.

18. Hasrat-hasrat tersebut diteliti oleh Kerajaan dan diusahakan supaya hasrat tersebut dapat dipenuhi.

19. Sehingga tahun 2018, sebanyak 86 Kertas Pertimbangan telah dibahaskan di dalam Mesyuarat MPPK. Antara gagasan yang berimpak tinggi pernah dihasilkan melalui Mesyuarat MPPK adalah cadangan untuk mewujudkan Kad Diskaun Siswa bertujuan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar-pelajar IPT seluruh negara.

20. Kad Diskaun Siswa pertama kali diedarkan pada September 2012 selepas idea dan cadangan diusulkan dalam Mesyuarat MPPK pada 21 November 2011.

21. Pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut telah berjaya membawa sentimen kebajikan mahasiswa ke tahap kualiti yang lebih tinggi sekaligus membuktikan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan dengan mahasiswa mampu mencorak hala tuju Negara ke arah yang lebih baik.

 

PENUTUP

22. Saya harap Mesyuarat MPPK pada tahun 2019 ini akan meneruskan tradisi mesyuarat-mesyuarat sebelumnya dan mampu membentangkan hasrat-hasrat yang akan mensejahterakan masyarakat mahasiswa. Ianya juga perlu beriringan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021 – 2031 yang telah dibentangkan Kerajaan baru-baru ini.

23. Saya juga menyeru agar perwakilan dan ahli mesyuarat yang hadir memanfaatkan platform pada hari ini dan melihat kebebasan bersuara itu sebagai satu anugerah masyarakat untuk digunakan secara matang, rasional dan beretika.

24. Kehadiran ramai wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan pada hari ini adalah bukti sokongan positif dan komitmen Kerajaan dalam usaha memartabatkan peranan mahasiswa melalui Mesyuarat MPPK.

25. Semoga Mesyuarat MPPK ini berlangsung dengan jayanya.

Sekian, Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Similar Posts:

192 total views, 9 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × two =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top