Ucapan Di Majlis Perasmian PKPKM ke-22

TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG DWITAHUNAN PERSATUAN KEBANGSAAN PEKEBUN-PEKEBUN KECIL MALAYSIA (PKPKM) KE-22
17 OKTOBER 2019 (KHAMIS), JAM 10.30 PAGI
BERTEMPAT DI BALLROOM, TINGKAT 1, DE PALMA HOTEL AMPANG, JALAN AMPANG, SELANGOR

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat berkumpul pada pagi ini sempena Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM). Terima kasih kerana menjemput saya untuk merasmikan mesyuarat kali ini.

INDUSTRI PERTANIAN DI MALAYSIA
2. Pertanian di Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu pertanian secara besar-besaran dan pertanian kebun kecil. Pembahagian ini terjadi kerana industri getah dan kelapa sawit diperkenal oleh penjajah dahulu. Mereka mendapat kawasan besar-besaran dan mereka membuka ladang besar- besaran. Mereka maju.

3. Dilihat kemajuan mereka maka penduduk tempatan pun bermula memasuki bidang ini. Malangnya hampir semua mereka memiliki tanah yang kecil, biasanya dua hingga tiga ekar sahaja.

4. Di waktu harga getah dan kelapa sawit tinggi ladang kecil ini memberi keuntungan. Tetapi apabila harga jatuh pekebun kecil rugi.

5. Ladang besar diurus secara profesional dengan diurus oleh pegawai terlatih, mengguna cara pengurusan yang baik dan saintifik. Biasanya keluaran ladang tinggi pada satu ekar berbanding dengan kebun kecil. Sebab itu walaupun harga menurun ladang besar masih untung sementara kebun kecil mengalami kerugian. Selagi kita ada kebun kecil selama itulah kerugian akan dialami walaupun subsidi diberi.

6. Jika kita ingin mendapat untung dari perusahaan getah dan kelapa sawit, kita perlu ubah cara kita memasuki bidang ini. Tetapi kita memiliki tanah yang kecil kebanyakannya.

7. Untuk mengadakan ladang besar, kita perlu cantumkan ladang-ladang kecil ini supaya dapat diurus sebagai ladang besar. Pengurusan perlu dibuat oleh pengurus pakar dengan mengguna cara-cara pengurusan ladang besar.

8. Pemilik tanah akan kekal sebagai pemilik tetapi bahagian mereka akan mengikut saiz tanah mereka. Mereka boleh bekerja atau hanya menjadi tuan tanah sahaja. Keuntungan dari perladangan akan mengikut saiz tanah sumbangan mereka.

9. Pengurus mestilah mereka yang terlatih dalam bidang pengurusan ladang. Perbelanjaan mengurus ladang hendaklah diurus oleh pengurus. Segala perbelanjaan untuk mengurus ladang juga hendaklah diserah kepada pengurus.

10. Satu badan pengarah terdiri dari pemilik tanah dan pengarah bebas hendaklah diadakan. Pengarah akan bersidang untuk menyemak pengurusan ladang beberapa kali setahun. Pengarah akan tentukan keuntungan dan agihan kepada pemilik.

11. Apabila ladang menjadi besar, tanaman semula boleh dibuat di satu bahagian kecil dalam cantuman ladang. Dengan cara ini tanaman semula tidak melibat seluruh kawasan. Bahagian yang masih tidak dikena tanam semula boleh memberi pulangan sementara menanti kawasan tanaman semula berbuah. Keuntungan kawasan yang masih mengeluar hasil akan diagih mengikut besar tanah semua peserta. Ini juga adalah amalan ladang besar.

12. Pemasaran keluaran akan diurus oleh pengurus.


KEMPEN SAYANGI SAWITKU

13. Pada tahun ini Kerajaan telah melancarkan Kempen Sayangi Sawitku ataupun Love My Palm Oil Campaign dengan kerjasama pelbagai agensi dan pemain industri termasuklah PKPKM. Kempen ini dilaksana sebagai satu usaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tempatan mengenai pentingnya industri sawit kepada sektor pertanian dan Negara serta juga kepada pekebun-pekebun kecil. Ini diharap dapat meningkatkan penggunaan minyak sawit di dalam Negara.

14. Usaha ini juga akan membantu meningkatkan imej minyak sawit di peringkat antarabangsa, selari dengan usaha kerajaan dalam pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan kepada keseluruhan industri sawit.

15. Oleh itu, saya ucap tahniah kepada pemilik ladang PKPKM yang telah bekerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia untuk pelaksanaan Program Love My Palm Oil.

16. Saya juga ingin ambil kesempatan ini menyeru kepada semua pekebun kecil sawit di luar sana yang belum lagi mendaftar dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk mendaftarkan diri di mana-mana pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang terdekat.

MEMARTABATKAN INSTITUSI KOPERASI LUAR BANDAR

17. Saya juga ingin tekankan supaya fungsi institusi koperasi diperkukuhkan semula mengikut cara baru yang dicadang. Seperti yang kita sedia maklum, pembangunan koperasi di Malaysia masih lagi berada di tahap rendah berbanding Negara-Negara maju yang lain.

18. Pihak Kementerian dan Agensi memainkan peranan besar di dalam memartabatkan semula fungsi koperasi terutamanya koperasi luar bandar sebagai wadah pembangunan pekebun kecil. Oleh itu, langkah-langkah menyeluruh perlu diambil termasuklah:

a. Merancang strategi membangunkan koperasi;
b. Memantau koperasi secara berkala dengan mewujudkan Key Performance Indicator (KPI);
c. Menyediakan latihan kepada semua pengurusan koperasi dan ahli-ahlinya;
d. Merancang dan melaksanakan projek secara participative development;
e. Menggalakkan pelaksanaan projek berskala kecil secara gotong royong;
f. Melihat koperasi sebagai pencetus pembangunan minda pekebun kecil; dan
g. Membantu pelaksanaan integrasi koperasi-koperasi secara menegak dan melintang bagi mewujudkan koperasi yang berdaya saing.

19. InshaAllah, dengan pelan rancangan yang baik dan komitmen pelaksanaannya yang tinggi daripada semua pihak, saya yakin koperasi luar bandar mampu diperkasa dan menjadi institusi utama dalam membentuk pekebun kecil yang progresif dan berdaya saing.


PENUTUP

20. Akhir kata, saya ucap syabas dan terima kasih kepada Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) di atas segala usaha membantu merealisasikan sistem perladangan baru untuk pekebun kecil. Saya doakan Mesyuarat Agung Dwitahunan PKPKM yang akan diadakan sebentar lagi mencapai matlamatnya.

21. Dengan ini, saya merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun- pekebun Kecil Malaysia ke-22.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

160 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top