Ucapan di Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-13

TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS ANUGERAH AKADEMIK NEGARA KE-13
29 OKTOBER 2019 (SELASA), JAM 8.30 MALAM BERTEMPAT DI HOTEL PALACE OF THE GOLDEN HORSES


1. Terima kasih kerana menjemput saya untuk bersama-sama meraikan penerima Anugerah Akademik Negara ke-13 pada malam ini.

2. Tahniah juga saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai penganjur majlis, ini kerana setiap tahun telah berusaha memberi pengiktirafan kepada ahli akademik yang menyumbang kepada kecemerlangan institusi pendidikan tinggi Negara.

3. Anugerah Akademik Negara (AAN) ini penting kerana ia memperlihat betapa Kerajaan mengiktiraf ahli-ahli akademik Negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di dalam pelbagai bidang ilmu.

4. Dengan pengiktirafan melalui anugerah ini, ia diharap akan menggalakkan kesarjanaan di kalangan ahli-ahli akademik kita dan seterusnya menjadi perangsang kepada mereka untuk memartabatkan pendidikan tinggi Negara.

5. Kerajaan Pakatan Harapan meletakkan bidang pendidikan sebagai teras utama dalam pembinaan Malaysia baharu yang inklusif, sederhana dan gemilang di persada dunia.

6. Ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

7. Pendidikan ialah penyumbang utama pembangunan modal insan dan sosio-ekonomi Negara. Dalam tempoh 62 tahun Negara mencapai kemerdekaan misalnya, kita telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam pendidikan tinggi Negara.

8. Walaupun masih banyak ruang untuk diperbaiki, kita masih boleh berbangga dengan kejayaan Negara yang menyediakan pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat global. Insititusi pendidikan tinggi di Malaysia telah mencapai kedudukan yang kukuh dikalangan penyedia pendidikan tinggi dunia. Malaysia kini merupakan antara destinasi pilihan utama untuk pelajar antarabangsa.

9. Sehubungan dengan itu, Kerajaan mengambil berat usaha-usaha meningkat kecemerlangan ahli akademik melalui aktiviti pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah, khidmat pakar dan perundingan.

10. Melalui usaha-usaha ini, bidang kepakaran masing-masing dapat diterjemahkan dengan lebih baik. Apabila ahli-ahli akademik kita terus berusaha untuk meningkat kemahiran dan penguasaan ilmu mereka sudah pasti, yang akan menerima hasilnya ialah pelajar dan juga Negara.

11. Semakin tinggi keupayaan dan kemahiran ahli-ahli akademik secara langsung pelajar yang dididik akan juga menjadi pelajar yang unggul dan berkemampuan. Dan pelajar ini sudah pasti juga akan

menyedari perlunya penguasaan bukan sekadar ilmu akademik malahan kebolehan untuk mampu bersaing, bijak dan cekal untuk berhadapan dengan permintaan pasaran serta cabaran-cabaran lain masakini.

12. Selain menyedia pelajar-pelajar yang berkeupayaan untuk menghadapi kehidupan luar kampus, ahli-ahli akademik yang mempunyai pencapaian yang tinggi perlu juga memperlengkap pelajar mereka dengan nilai-nilai yang baik dan mulia. Ini bersesuaian dengan falsafah pendidikan nasional.

13. Penerima-penerima Anugerah Akademik Negara yang diraikan malam ini patut dijadikan contoh kepada ahli-ahli akademik yang lain dimana usaha mempertingkatkan kepakaran dan tidak boleh berhenti setelah seseorang ahli akademik itu ijazah peringkat doktor falsafah atau PhD.

14. Pencarian ilmu tidak perlu ada penghujung ataupun kepuasan. Ia perlu menjadi satu pencarian sepanjang hayat dan ahli-ahli akademik mempunyai kedudukan yang paling baik untuk memimpin pencarian tersebut. Universiti-universiti juga harus berperanan sebagai pemangkin dan penggalak kepada pencarian ilmu atau digelar sebagai pemetaan bakat akademik dan pembangunan kesarjanaan.

15. Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menggalak budaya pengiktirafan kecemerlangan ini menerusi Anugerah Akademik Negara pada tahun-tahun akan datang.

16. Pendidikan tinggi juga merupakan landasan untuk mencetus kreativiti dan menjana inovasi untuk kelangsungan Negara. Kerana itu institusi pendidikan tinggi ditubuhkan di semua negeri supaya budaya ilmu ini dapat dikembang secara menyeluruh dan bersifat inklusif. Selain daripada mendidik anak bangsa, institusi pendidikan tinggi juga berperanan memberi khidmat kepada masyarakat setempat.

17. Keterlibatan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat dapat dilihat melalui sumbangan mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

18. Selain daripada sumbangan kepakaran dari kalangan ahli akademik, keterlibatan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat juga dapat dilihat daripada penglibatan pelajar dalam masyarakat. Inisiatif seperti Service Learning Malaysia – University For Society atau SULAM contohnya memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas untuk menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti.

19. Melalui iniasitif ini, pengetahuan, inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh pelajar, ahli akademik dan penyelidik di institusi pendidikan tinggi boleh dipindahkan kepada masyarakat. Pada masa yang sama ia perlu dikomersialkan agar dapat memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti dalam usaha menyokong pembangunan sosioekonomi Negara.

20. Era Revolusi Industri 4.0 mendedahkan bidang akademik kepada keadaan yang lebih mencabar. Kehadiran apa yang digelar sebagai “disruptive technology” memerlu kepada ahli-ahli akademik yang mempunyai wawasan, bersedia berubah bersesuaian dengan cabaran-cabaran baru serta mempunyai kebijaksanaan untuk kekal relevan.

21. Melihat kepada kepantasan perubahan-perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0, ahli- ahli akademik juga perlu cepat menangani perubahan serta mampu melakukan pendekatan- pendekatan yang memastikan pelajar kita tidak ketinggalan.

22. Yang pasti, kita tidak mempunyai banyak masa untuk membiarkan diri kita hilang fokus dari cabaran-cabaran yang berada di hadapan kita. Kita tidak ada pilihan melainkan memberi sepenuh perhatian terhadap perubahan-perubahan tersebut dan jika kita tidak mampu menangani mereka kita akan terpinggir.

23. Sebelum saya akhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin ucap terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Anugerah Akademik Negara pada tahun ini.

24. Kepada bakal penerima anugerah, saya ucap tahniah. Saya harap anugerah ini dapat menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan diri dan institusi masing-masing.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Similar Posts:

127 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − fifteen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top