Ucapan YAB PM Sempena Perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019

PMO
TEKS UCAPAN PERASMIAN OLEH YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA KONVENSYEN PADI KEBANGSAAN (KPK) 2019 “PEMBANGUNAN INDUSTRI PADI DAN BERAS SECARA KOMERSIL” PADA 10 SEPTEMBER 2019 (SELASA), JAM 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI TH HOTEL AND CONVENTION CENTRE, ALOR SETAR, KEDAH DARUL AMAN.

PENGENALAN

1. Terlebih dahulu saya ingin ucap tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman di atas kejayaan menganjurkan Konvensyen Padi Kebangsaan tahun ini. Program ini diadakan dengan kerjasama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi-agensi di bawah Kementerian.

2. Terima kasih juga kepada penaja-penaja. Sokongan tuan-tuan dan pihak berkepentingan dalam Industri Padi Negara amatlah diharapkan demi mengekalkan jaminan bekalan makanan Negara (food security).

3. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada para pembentang kertas kerja pada Konvensyen kali ini, termasuk yang datang dari Luar Negara untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran masing- masing dalam industri penanaman padi. “Welcome to Malaysia, in particular, to the State of Kedah which is dubbed as the Rice Bowl of Malaysia as it has the biggest area dedicated to paddy planting. I hope you will find our hospitality warm and comforting, enough for you to want to visit us again in the future.

4. Apart from that, it is my fervent hope that you would be able to share with our delegates your experiences and expertise in developing paddy planting and rice production in your respective countries. I am sure we will be able to learn a lot from you and use your insights for the betterment of our industry.”

5. Saya diberitahu sebahagian daripada peserta konvensyen ini terdiri daripada pesawah-pesawah tempatan. Saya harap tuan-tuan akan dapat memanfaatkan peluang ini dan menimba seberapa banyak ilmu serta pengalaman di dalam usaha-usaha memoden dan memajukan industri padi Negara.


OVERVIEW SEKTOR PADI

6. Kedah merupakan Jelapang Padi Negara yang menyumbang sebanyak 40 peratus bekalan padi Malaysia. Sumbangan ini perlu dikekalkan kerana Negara kita perlu menyelamatkan bekalan makanan untuk rakyat yang kian bertambah. Malangnya penanam padi adalah di antara rakyat yang termiskin di Negara kita. Tanpa subsidi mereka tetap akan kekal dalam kemiskinan.

7. Kenapakah ini berlaku di Negara yang terkenal sebagai pengeluar getah dan kelapa sawit yang terbesar di dunia. Pada pendapat saya yang kerdil ini, sebabnya mereka yang mengeluar padi, hampir semuanya memiliki kepingan tanah yang kecil-kecil belaka. Hasil dari penanaman padi, tidak mencukupi untuk menampung sara hidup di zaman ini. Ladang-ladang getah dan kelapa sawit hanya memberi keuntungan jika diusaha sebagai estet besar yang diurus oleh pengurus profesional yang berkemahiran.

8. Sawah padi yang kecil tidak dapat diurus dengan baik, dengan mengguna cara-cara moden, alatan moden dan baja yang terbaik yang diguna secara cekap, tanpa diseleweng atau amalan yang tidak baik. Lagipun penanaman padi sahaja tidak menjamin pulangan yang mencukupi atau tetap.

9. Mempelajari dari pengalaman industri getah dan kelapa sawit, ada baiknya jika penanaman padi juga dibuat secara besar-besaran. Ini boleh diadakan jika pemilik tanah yang berjiran sanggup cantumkan tanah mereka sehingga menjadi besar – mungkin 1000 atau 2000 hektar. Ladang yang luas ini perlu diurus oleh pengurus yang terlatih. Jentera-jentera yang sesuai boleh diguna secara lebih ekonomik. Demikian juga alatan seperti drone boleh menentukan tidak ada kawasan yang tertinggal.

10. Di masa yang sama sebahagian dari ladang boleh dikhaskan untuk tanaman sayuran, buah-buahan yang boleh memberi pulangan sepanjang tahun. Kawasan-kawasan tertentu boleh digunakan untuk ternakan itik dan lain-lain haiwan ternakan.

11. Perubahan dan pendekatan yang dicadang ini adalah radikal dan mungkin sukar diusahakan oleh penanam padi biasa. Pekerja upahan perlu diguna dan juga pekerja yang terlatih. Pemilik tanah boleh bekerja jika mereka masih bertenaga dan berminat. Mereka akan menerima upah yang setimpal. Tetapi hak mereka hendaklah mengikut keluasan tanah mereka dalam ladang gabungan. Saya yakin dengan cara ini pendapatan mereka akan meningkat dari penjualan padi dan juga sayur-sayuran dan buah-buahan.

HALA TUJU INDUSTRI PADI

12. Jika cara ini diterima, saya yakin pesawah tidak lagi akan kekal dalam kemiskinan. Hari ini kita import 60 billion Ringgit sayur-sayuran. Dengan mengguna teknik moden, tanah yang luas tidak diperlukan. Tanam sayur boleh dibuat bertingkat-tingkat. Tanah pun tidak diperlukan. Hasilnya tetap lebih banyak dan akan dapat menggantikan sayur-sayuran yang diimport. 60 billion Ringgit menunggu mereka yang berminat.

13. Hari ini kita dapati buah-buahan boleh memberi pulangan yang tinggi jika dieksport. Kita tahu cerita Musang King, durian yang amat diminati oleh orang Cina di Negara China. Katanya satu pokok sahaja boleh beri pulangan yang lumayan. Dengan itu ada orang yang membeli satu pokok.

14. Malangnya mereka yang memiliki tanah kecil tidak menanam pokok durian. Mereka tidak mendapat kekayaan seperti orang membuka kebun durian secara besar-besaran. Bukan banyak modal yang diperlukan. Di atas tanah satu ekar pun banyak pokok durian boleh ditanam. Jadi yang miskin akan terus miskin. Yang kaya menjadi lebih kaya. Siapakah yang salah. Pokok durian boleh tamatkan kemiskinan jika kita juga tanam durian. Tetapi sebenarnya banyak lagi buah-buahan yang jika ditanam di sebahagian dari bendang kita, kita juga boleh atasi kemiskinan kita. Bukan sahaja durian, tetapi nenas juga boleh mengurangkan kemiskinan. Demikian juga buah-buahan yang lain.

15. Jika kita fikir tanah yang subur, hujan, tenaga dibadan kita – semua ini kurniaan Allah SWT kepada kita. Juga akal fikiran. Tetapi kita tidak guna semua nikmat ini. Apakah ini tanda kesyukuran kita terhadap Allah SWT.

16. Saya harap selain mendengar syarahan berkenaan padi sebagai nikmat yang kita terima, yang penting ialah kesanggupan kita mengguna ilmu yang boleh menyelamat kita dari belenggu kemiskinan.

17. Menanam padi, membekal makanan, menyelamat kita dari bahaya kekurangan makanan adalah satu ibadat juga. Bagi orang Islam, inilah jenis ibadat yang perlu kita utamakan.

18. Saya membesar di Negeri Kedah, yang dikenali sebagai jelapang padi. Sahabat-sahabat emak saya ramai yang menanam padi. Mereka miskin. Di zaman kita merdeka mereka bergantung kepada subsidi oleh Kerajaan. Tanpa subsidi kemiskinan mereka akan jadi lebih teruk lagi. Sementara penjajah meraih keuntungan besar dari tanah milik kita, kita sendiri tidak dapat hasil yang setimpal dari tanah kita. Kita boleh salah orang lain kerana kemiskinan kita. Tetapi mereka tidak akan berusaha untuk mengubah nasib kita. Sebaliknya kita berkuasa ke atas diri kita. Dan kita boleh ubah cara kita dari yang buruk kepada yang baik. Dan kita sendiri dapat mengubah nasib kita.

19. Sebagai orang Islam kita berdoa meminta kepada Allah SWT supaya memperbaiki nasib kita. Kita boleh sembahyang hajat. Tetapi Al-Quran menjelaskan bahawa Tuhan tidak akan makbulkan permohonan kita melainkan kita sendiri berusaha mengubah nasib kita.

20. Sesungguhnya banyak ilmu telah diperolehi oleh kita. Anak muda kita lulus dalam bidang pertanian sehingga ke peringkat Doktor. Tetapi pemikiran dan cara kita masih cara lama. Mungkin ada tetapi belum bertemu dengan mereka yang pakar dalam bidang pertanian, menjadi petani – menanam padi.

21. Tetapi dengan pendekatan baru yang dicadang oleh Kerajaan, kita percaya tenaga mahir dan terlatih boleh sumbang kepada industri padi dan menghapuskan kemiskinan.

22. Ya, mengambil bahagian dan mendengar syarahan berkenaan pembangunan industri padi memang baik. Tetapi yang lebih baik ialah mengguna ilmu ini untuk meningkatkan tanaman padi kepada satu industri yang dapat mengatasi kemiskinan petani supaya kemajuan Negara dikongsi bersama oleh mereka juga.

23. Secara langsung, ini akan memastikan kebergantungan Negara kepada Negara luar untuk bekalan beras akan dapat dikurangkan.

24. Dengan lafaz “Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019.

Sekian, Terima kasih.

Similar Posts:

195 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7 − three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top