Ucapan Sempena Sambutan Hari Malaysia 2019

TEKS UCAPAN OLEH YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2019
PADA 16 SEPTEMBER 2019 (ISNIN), JAM 8.30 MALAM BERTEMPAT
DI STADIUM PERPADUAN, PETRA JAYA, KUCHING, SARAWAK

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berkumpul di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching hari ini untuk merayakan Hari Malaysia 2019 dalam suasana meriah, aman dan penuh harmoni.

2. Sambutan hari ini dan kehadiran rakyat dari seluruh pelusuk Negara mencerminkan keinginan kita semua kepada penyatuan dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia walaupun berbeza etnik, agama, budaya, negeri dan wilayah.

3. Inilah yang menjadikan kita unik berbanding Negara-Negara lain, kerana kita terus hidup aman, damai dan harmoni setelah bersetuju bersatu dengan Pembentukan Malaysia sejak tahun 1963. Pembentukan ini menyelamat kita dari lain-lain tuntutan yang mengancam kita.

4. Saya harap kita semua tidak lupa bahawa kesepakatan penyatuan ini perlu difahami dan dihayati oleh segenap rakyat Malaysia. Perbezaan pendapat antara kita adalah perkara biasa terutama apabila kita tidak lagi terancam. Ia perlu dirai dan dihargai, dan bukan dijadikan faktor perpecahan. Perbezaan pendapat ini perlu dibincang untuk mencari penyelesaian yang terbaik bagi kita semua.


16 SEPTEMBER – HARI MALAYSIA

5. Seperti yang kita sedia maklum, 16 September adalah hari ulangtahun Sabah dan Sarawak beserta dengan Semenanjung Tanah Melayu untuk membentuk satu keluarga besar yang kita namakan Malaysia.

6. Sekarang Hari Malaysia disambut dengan matlamat untuk memperingati kita akan kepelbagaian kita, dengan menghormati dan gembira dengan keindahan berbagai-bagai etnik, agama dan budaya yang terdapat di Negara kita, yang menjadikan Malaysia truly Asia.

7. Pada Hari Malaysia ini, sebagai rakyat, kita perlu sedar akan tanggungjawab kita untuk mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian kita supaya kita mencerminkan kebolehan mencapai “unity in diversity” walaupun terbahagi kepada ramai bangsa dan suku-kaum.

8. Kita kenang dan hargai perjalanan berliku dan sukar yang ditempuhi rakyat terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan buat Persekutuan Tanah Melayu, disusuli pula usaha yang menyatukan di bawah Negara Malaysia.

9. Jika kita ingat apa yang mereka lalui, kita tidak akan mengambil ringan perpaduan dan kerjasama di antara rakyat, malahan kita akan bangkit mempertahankannya jika ada anasir yang mahu mengganggu gugat perpaduan tersebut.

10. Tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan di kalangan kita bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sabah dan Sarawak semata-mata tetapi tanggungjawab kesemua rakyat yang mengaku dirinya rakyat Negara ini.


TEMA HARI MALAYSIA 2019 – SAYANGI MALAYSIAKU: MALAYSIA BERSIH

11. Semangat perpaduan tetap akan mengalami pasang surutnya bergantung kepada keadaan dan suasana. Ianya tidak seharusnya merendahkan semangat kita secara berkekalan.

12. Kerana itu ada keperluan untuk kita berterusan menyemai semangat cintakan perpaduan. Kerana itu juga kita memilih tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi sambutan Hari Malaysia kali ini. Sudah pasti apabila kita menyayangi Negara kita, akan kita susuli dengan menyayangi rakyatnya. Dengan sendirinya perpaduan akan terjalin. Itulah yang menjadi harapan kita.

13. Mengapa perpaduan begitu penting? Apabila perpaduan tercapai pastinya kestabilan akan wujud. Kestabilan memberi kita ruang untuk mentadbir dan melaksanakan dasar dan program untuk pembangunan Negara dan kesejahteraan rakyat. Kestabilan ini juga akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan ini akan menjana kekayaan yang akan kita kongsi bersama.

14. Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kehancuran yang dialami oleh Negara-Negara luar akibat perpecahan hingga berlaku konflik dan peperangan. Kehancuran yang berlaku tidak dapat diperbaiki kadang-kala melangkaui satu generasi.

15. Terdapat usaha-usaha untuk melemahkan perpaduan kita dan ianya dilakukan oleh rakyat kita sendiri. Naratif yang diguna sering berkait dengan perkara-perkara emosional terutamanya melibatkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

16. Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu-isu ini kerana ianya dekat di hati kita. Tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri kita dipengaruhi.

17. Setelah bersama di dalam keluarga besar Malaysia lebih lima dekad, saya yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud ini dan akan terus bersama mempertahankan perpaduan kita.


MALAYSIA YANG BERSIH

18. Sambutan Hari Malaysia juga bertemakan Malaysia Bersih. Ia bertujuan untuk mengingatkan rakyat bahawa selain perpaduan yang rapuh, Negara yang tidak bersih dari gejala rasuah turut terdedah ke jalan kehancuran.

19. Kita telah menjadi saksi bagaimana Negara ini hampir hancur akibat amalan rasuah dan salah guna kuasa.

20. Benar kita telah berjaya menyingkirkan kepimpinan yang tidak bersih tetapi itu tidak bermakna ia sudah terhenti dan tidak akan berulang lagi.

21. Kerana itu kita perlu menekan pentingnya mengekal Malaysia yang bersih jika kita tidak mahu terjebak sekali lagi ke kancah rasuah skala kecil dan besar. Sebelum ia mencapai skala sehingga Negara di gelar sebuah kleptokrasi, ia pasti bermula secara kecil-kecilan.

22. Bila ia tidak di sekat semasa kecil, ia akan menjadi besar dan akan jadi satu cara hidup yang diamalkan oleh setiap yang menerima dan yang memberi. Apabila rasuah menjadi sebahagian dari cara hidup kita, maka akan sukarlah usaha membanterasnya.


KERTAS PUTIH PERTAHANAN – KEAMANAN SEJAGAT

23. Kita harus sedar bahawa kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Negara hanya boleh dicapai sekiranya rakyat di semua peringkat sedar akan peranan masing-masing.

24. Dalam memastikan hal ini, Kerajaan Pakatan Harapan melalui Kementerian Pertahanan sedang mempersiapkan Kertas Putih Pertahanan yang bakal menggariskan peranan yang boleh dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat agar pertahanan negara menjadi satu usahasama nasional.

25. Kertas Putih Pertahanan ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan terhadap keutamaan rancangan masa hadapan pertahanan Negara dengan mengambil kira trend-trend global yang terkini agar sejajar dengan realiti semasa serta cabaran yang menanti di masa depan.

26. Selain itu, keselamatan perairan dan lautannya memastikan kesejahteraan Negara. Malaysia, yang dikelilingi oleh tiga laluan utama – Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu secara langsung menjadikan kita sebuah Negara maritim.

27. Malaysia sebagai sebuah Negara maritim bukanlah satu konsep yang baharu bagi kita. Sejarah mencatat bagaimana kita menjadi laluan pilihan Timur ke Barat dan Barat ke Timur serta pada masa kini berpotensi menjadi pintu gerbang atau gateway di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

28. Jika kita berupaya memastikan keselamatan di perairan kita maka potensi ekonominya pasti dapat kita ceburi dan nikmati.


KEMAKMURAN BERSAMA (SHARED PROSPERITY)

29. Kerajaan juga memberi keutamaan kepada mengukuhkan dan mengembangkan lagi ekonomi Negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat dengan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama atau ‘shared prosperity’.

30. Kita mahu Kemakmuran Bersama ini disalurkan kepada semua rakyat termasuk meningkatkan kuasa beli mereka serta menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum. Apabila ini dapat dilakukan, kerajaan boleh memastikan kekayaan negara diagihkan dengan adil dan saksama sesama rakyat, dan ini sekaligus mewujudkan keharmonian dan kestabilan di kalangan mereka.

31. Kerajaan melihat penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil dan saksama amat penting untuk mewujudkan kemakmuran bersama yakni dalam semangat MALAYSIA BAHARU. Justeru itu, Kerajaan amat berharap agar semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak dapat membantu menjayakan usaha ini.


USAHA KERAJAAN PERSEKUTUAN – RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2019

32. Seperti yang kita semua maklum, Kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Tanah Melayu, di Dewan Rakyat pada April lalu.

33. Malangnya, Rang Undang-undang tersebut tidak mendapat sokongan majoriti dua-pertiga.

34. Walaubagaimanapun, Kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan usaha-usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk juga menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

35. Bagi melancarkan usaha ini, Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63 – Malaysia Agreement 1963. Kesemua 23 ahli jawatankuasa ini yang terdiri daripada menteri-menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah juga telah bermesyuarat beberapa kali untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.


USAHA KERAJAAN PERSEKUTUAN – PENYERAHAN KAWAL SELIA PULAU SIPADAN DAN PULAU LIGITAN KE KERAJAAN NEGERI SABAH

36. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

37. Penyerahan ini adalah salah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet MA 63 dan ia memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pakatan Harapan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.

38. Kita harap rakyat dan pemimpin dari kedua-dua Negeri ini dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia kita dibentuk bersama.

39. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin ucap syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus berusaha menjayakan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

40. Percayalah, rakyat Malaysia yang bersatu padu, dan hormat menghormati serta berpegang kepada Perlembagaan dan Rukunegara akan mampu membawa Negara kepada kemakmuran dan kejayaan.

41. Di atas kesedaran ini, Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini akan menjadi titik tolak untuk kita bertekad untuk berganding bahu mempertahankan Malaysia sebagai Negara Bangsa yang merdeka dan berdaulat.


Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih

Similar Posts:

197 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 + nine =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top