Ucapan di Majlis Perasmian Perjumpaan EX-KBTC Putrajaya 2019

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PERJUMPAAN EX-KBTC PUTRAJAYA 2019
PADA 1 OGOS 2019 (KHAMIS), JAM 8.30 MALAM
BERTEMPAT DI HOTEL EVERLY, PUTRAJAYA

PENGENALAN

1. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kerana menjemput saya ke Majlis Perjumpaan Ex- KBTC Putrajaya 2019 ini. Saya merasa amat berbesar hati dijemput untuk bersama-sama Tuan-tuan dan Puan-puan di majlis ini.

2. Perjumpaan ini sudah pasti amat bermakna kerana ia melibatkan pesara-pesara guru dan guru- guru yang menerima latihan di KBTC atau MPKB, salah satu institusi latihan perguruan yang unggul dan bersejarah.


GURU TONGGAK KEJAYAAN NEGARA

3. Malaysia berjaya membangun dengan pesat dan teratur setelah mencapai kemerdekaan sebahagian besar hasil dari sumbangan guru-guru.

4. Selepas ibu dan bapa, guru-guru adalah barisan paling hadapan di dalam membentuk masyarakat yang kemudian akan membimbing Negara.

5. Di dalam keadaan tertentu, terutama apabila kedua ibu bapa bekerja, guru-guru menjadi ibu bapa pengganti kepada pelajar-pelajar. Ini memperlihatkan betapa tanggungjawab dan peranan guru-guru itu amat dinamik dan memerlukan mereka bersifat versatile dan boleh menyesuaikan diri di dalam apa jua keadaan.

6. Saya mungkin memerlukan banyak masa untuk terus memperkatakan tentang betapa penting dan besarnya tanggungjawab serta peranan guru-guru di dalam pembentukan Negara bangsa.

7. Memadai jika saya katakan jatuh bangun sesebuah Negara dan bangsa itu terletak di tangan guru-guru.


MEMBENTUK HALA TUJU NEGARA

8. Selain menyalurkan ilmu pengetahuan kepada murid-murid, guru-guru turut diamanahkan untuk menerap nilai-nilai murni. Nilai-nilai inilah yang sebenarnya akan mengukur berjaya atau gagal murid-murid didikan mereka.

9. Nilai-nilai murni banyak tetapi yang terpenting ialah kerajinan, amanah dan kawalan diri atau disiplin.

10. Tidak semua murid akan berjaya dari segi akademik dan terus menjadi pemimpin, pentadbir dan teknokrat mahupun ahli perniagaan yang berjaya.

11. Ada yang cuma melengkap pengajian asas tanpa dapat ke menara gading. Tetapi mereka tetap berjaya sebagai seorang insan, ketua keluarga, pemimpin rumahtangga dan ahli masyarakat jika mereka mempunyai dan mempertahankan nilai yang baik.

12. Kita semua telah menjadi saksi bahawa akademik yang cemerlang, kedudukan tinggi dan kemewahan yang banyak tidak menjamin seseorang itu mempunyai nilai yang baik.

13. Namun itu tidak semestinya menyekat murid-murid dari berusaha untuk mencapai kesemua itu dan apabila berjaya mereka tidak melupakan nilai-nilai baik yang telah diterapkan oleh guru- guru mereka.

14. Berbekalkan nilai-nilai murni dan kejayaan akademik itu, mereka akan menjadi pemimpin yang baik dan mampu membawa Negara ke tahap yang lebih tinggi.


SEJARAH KBTC

15. KBTC atau MPKB yang sekarang dikenali sebagai IPG Kota Bharu merupakan antara salah sebuah institusi latihan guru yang tertua di Malaysia.

16. KBTC merupakan kolej latihan guru yang berasal dari England. Di awal penubuhannya dulu iaitu kira-kira pada tahun 1952 sebahagian besar pensyarah malah pengetuanya merupakan mereka yang diambil dari England. Ianya berkait terus dengan Pusat Latihan Guru ternama di England iaitu Brindsford Lodge dan Kirkby.

17. Apabila KBTC ditubuhkan di Kota Bharu, ia dikhususkan untuk melatih guru-guru sekolah rendah. Malah diawal penubuhannya, KBTC turut melatih guru-guru dari Brunei dan Singapura.

18. Kini, dibawah pentadbiran Kerajaan yang baharu, KBTC akan dikembalikan peranannya iaitu untuk melatih guru-guru bukan sahaja dari Malaysia malahan di rantau Asia Tenggara.

19. Saya amat berharap kegemilangan KBTC akan bertambah menyerlah selepas ini.


DANA JASAMU DIKENANG.

20. Saya dimaklumkan malam satu dana yang dikenali sebagai Dana Jasamu Dikenang turut dilancar.

21. Saya ucap terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini kerana sudi menghulurkan derma untuk mengisi tabung dirancang.

22. Kita sedar bahawa terdapat ramai guru-guru yang menghadapi penyakit kritikal. Dana ini diharap dapat meringan beban mereka.

23. Jika kita sering menyatakan betapa besar jasa guru-guru kepada masyarakat dan anak-anak kita sudah pasti kita mahu membantu dan melaku sesuatu untuk membalas jasa mereka.

24. Menyokong dan menderma kepada dana ini adalah salah satu cara untuk kita menyatakan penghargaan kita kepada pengorbanan mereka.

25. Sebagai penutup, sekali lagi saya ingin ucap terima kasih yang tidak terhingga kepada guru- guru di atas jasa mereka kepada Negara yang tidak mungkin akan dapat kita balas.

26. Dengan lafaz ‘Bismillahirahmanirrahim’, saya rasmikan Majlis Perjumpaan EX-KBTC Putrajaya 2019.


Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

166 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + 15 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top