Ucapan di Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI, TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
DI MAJLIS PELANCARAN PENDIDIKAN SIVIK
13 OGOS 2019 | DEWAN SERI ENDON, PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
Selamat pagi, good morning, salam sejahtera,

Yang Berhormat,
Dr Maszlee Bin Malik
Menteri Pendidikan

Yang Berhormat,
Teoh Nie Ching
Timbalan Menteri Pendidikan.

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan,
Hadirin sekalian,

Alhamdulilah, bersyukur kita kerana diberikan kesempatan untuk bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan. Saya ucap terima kasih kerana diberi peluang, diberi penghormatan untuk melancarkan Pendidikan Sivik ini.

Saya sering berkata, bahawa maju mundurnya seseorang ataupun sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup yang dipegang oleh bangsa itu ataupun individu itu dan diamalkan. Bukan sahaja percaya tapi juga diamalkan. Sudah tentu kalau nilai hidup yang dipegang itu tidak baik, maka dia tidak akan berjaya. Bahkan dia akan menghadapi masalah sepanjang umurnya.

Inilah yang kita perlu ingat iaitu kita sama seperti orang lain daripada segi bentuk tubuh badan, keupayaan bercakap, berfikir dan sebaginya. Kelainan antara kaum-kaum, antara individu-individu, bangsa-bangsa, kelainannya datang daripada pegangan kita kepada nilai hidup. Ini amat penting bagi kita memahami bahawa yang menentukan jaya ataupun tidaknya seseorang, ataupun sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup bukan warna kulit, bukan kerana tinggal ditempat-tempat yang lebih nyaman cuacanya ataupun lain-lain. Sebenarnya yang menentukan ialah nilai hidup. Sudah tentu kalau kita, ambil satu contoh sahaja iaitu kita malas, kita tak nak bekerja, kalau kita malas kita tak nak bekerja, sudah tentu kita tidak akan berjaya. Sebaliknya kalau kita rajin, kita tumpukan kepada kerja kita dan lakukan kerja itu dengan baik, tentulah hasil kerja kita itu juga akan menjadi baik dan kita juga akan berjaya dalam kehidupan kita.

Biasanya, kita hidup bermasyarakat. Kita bukan hidup tunggal seorang diri sahaja, kita duduk bermasyarakat. Apabila kita hidup dalam masyarakat, maka reaksi kita antara masyarakat akan menjadi perkara yang penting. Kalau kita tidak tahu bagaimana, sifat apa yang perlu ada kepada kita, maka kita tidak dapat hidup sempurna dalam masyarakat dan masyarakat juga tidak akan jadi sempurna.

Kalau kita umpamanya, tidak berpegang kepada amanah dan tidak berpegang kepada nilai-nilai yang mulia, maka sudah tentu kita akan dapat kesannya daripada lain-lain anggota masyarakat. Umpamanya kalau kita pandai mengambil apa yang bukan hak kita itu adalah perkara biasa siapa sahaja boleh buat, dan kita berpendapat bahawa oleh kerana tidak ada siapa yang melihat, maka kita ambil barang yang bukan milik kita, kerana kita berpendapat bahawa tidak ada siapa yang akan bertindak terhadap kita.

Kalau kita mempunyai sifat seperti itu dan anggota-anggota lain dalam masyarakat juga begitu, maka kali ini kita mengambil harta orang lain, kali lain orang akan mengambil harta kita kerana mereka tidak mengawal diri, tidak berdisiplin, sanggup membuat sesuatu yang salah kerana berpendapat bahawa tidak akan ada tindakan yang diambil terhadap kita.

Masyarakat sudah tentu akan menjadi masyarakat yang kucar-kacir, tidak tersusun, tidak tenteram, tidak aman, tidak stabil kalau kita mempunyai nilai seperti itu. Sebab itu pegangan kepada nilai-nilai yang mulia menjadi amat penting untuk orang perseorangan ataupun untuk masyarakat. Biasanya kita dapat nilai-nilai murni ini daripada ibu bapa kita tetapi ibu bapa tidak lah tahu semua nilai-nilai yang baik bukan semua ibu bapa mempunyai pegangan kepada nilai-nilai yang mulia. Oleh kerana itu, mungkin apa yang diajar, disampai, disemai di dalam hati anak-anak mereka tidak begitu baik.

Oleh kerana itu, kita perlu susun nilai hidup yang terbaik, yang perlu diterapkan oleh anak-anak kita, oleh ahli masyarat kita. Ini menjadikan satu daripada tugas pendidikan dalam satu-satu masyarakat yang bertanggungjawab. Kita perlu tentukan apakah pegangan, apakah sifat yang perlu ada kepada anggota masyarakat kita supaya semua anggota akan menyumbang kepada kebaikan masyarakat bahkan kejayaan masyarakat. Inilah sebabnya yang saya berpendapat bahawa satu usaha mendidik dalam bidang sivik menjadi satu perkara yang penting.

Sivik bermakna kaitan dengan masyarakat. Kita hidup bermasyarakat dan kita perlu tentukan perbuatan kita, tindak-tanduk kita dan lain-lain hendaklah menyumbang kepada kebaikan masyarakat. Tetapi dalam masyarakat yang sudah utamakan kebebasan umpanya, kita dapati tindak-tanduk mereka tidaklah begitu baik untuk masyarakat mereka dan mereka juga akan merasai tekanan daripada tindakan orang lain dalam masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Umpamanya sekarang ini, kita sering lihat graffiti, conteng dinding-dinding di kawasan-kawasan luar. Kita conteng macam-macam, tak cantik pun. Kalau dia conteng dengan cara terbaik, tidak apa juga, tetapi ini cuma mencemarkan kebersihan tempat-tempat itu, dinding-dinding yang terdapat dekat dengan jalan-jalan dalam satu jalan bandar umpamanya.

Perbuatan ini bermakna kita tidak mengutamakan sifat sivik yang patut ada pada kita. Sebab itu kita mencontengkan segala yang cantik, segala yang bersih, segala yang tidak tercemar kita conteng ia menjadi pandangan yang tidak cemar dan tidak baik. Ini bermakna kita tidak mempunyai nilai sivik yang patut ada kepada kita. Bukan kerana undang-undang, tetapi kita sendiri mengawal diri, disiplinkan diri, benda yang tidak baik kita tidak akan lakukan.

Kalaulah pendidikan sivik ini, berjaya menanam perasaan ini di kalangan anak-anak kita apabila mereka membesar, mereka tidak akan lakukan apa yang memburukkan keadaan di sekeliling kita yang hidup dalam masyarakat dalam bandar-bandar. Kita sering menyuarakan perasaan tidak senang, kerana jika ada toilet untuk orang ramai, keadaan itu tidak baik sama sekali. Kalau kita pergi ke negara-negara tertentu, toilet mereka amat bersih untuk public. Amat bersih. Ianya bersih kerana penggunanya tidak mencemarkan, tidak mengotorkan keadaan itu. Kenapa tidak? kerana dia berasa bertanggungjawab dan dia menghargai pandangan masyarakat terhadap dirinya. Dengan itu, maka dia akan jaga supaya dirinya memang bersih dan tidak melakukan sesuatu yang mengotorkan toilet-toilet di Malaysia. Saya amat malu kerana saya seringkali membuat inspection toilet-toilet di Malaysia. Nak tengok bersih atau tidak. Biasanya tidak bersih dan busuk. Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita.  Sepatutnya kita berasa malu, tetapi kita berpendapat tidak ada orang akan tahu siapa yang buat. Ini disebabkan tidak ada perasaan sivic responsibility, tanggungjawab sivik dalam hati kita.

Sekarang ini kita juga lihat kekotoran sampah di sekeliling kita. Ini menjadi masalah kalau kawasan itu kecil penduduknya sepuluh orang, maka sampah yang dibuang adalah sedikit sahaja tetapi dalam satu bandar seperti Kuala Lumpur yang mempunyai 3 Bilion penduduk, apabila 3 Bilion penduduk buang puntung rokok sahaja dalam sedikit masa sahaja kita akan hidup diatas gunung rokok yang dibuang. Sekarang ini sampah dibuang di merata tempat, dan dengan itu kita tidak akan dapat kebersihan yang kita idami. Ya, kita nak supaya keadaan sekeliling kita bersih tapi kita yang mengotorkan dengan membuang sampah tanpa mengambil kira tempat dan cara yang sepautnya dilakukan. Sekarang ini kita dapati pula, barangan yang tidak boleh musnah walaupun terdedah kepada hujan dan panas seperti plastik. Dengan adanya plastik yang tidak boleh musnah apabila kita membuang plastik tanpa mengambil kira tempat dan cara, maka kita akan hidup dalam timbunan plastik yang kotor sekeliling kita. Inilah yang akan berlaku. Sebab itulah sekarang ini kita dinasihatkan supaya tidak menggunakan plastik seperti yang biasa supaya sampah-sarap disekeliling kita tidaklah berada berkekalan sehingga kita hidup tidak sempurna.

Banyak lagi perasaan sivik yang boleh menentukan keadaaan sekeliling kita nyaman dan lebih baik. Umapmanya ada pihak yang kalau melihat sesuatu yang boleh diambil mereka ambil. Lampu jalan juga kadang-kadang diambil oleh orang yang tidak mempunyai nilai sivik yang tinggi. Mereka akan curi lampu jalan bahkan ada yang mencuri paip dan sebagainya. Ataupun mencuri air ataupun mencuri elektrik. Ini semua adalah kerana kita tidak mempunyai nilai sivik yang tinggi. Kalau kita mempunyai nilai sivik yang tinggi maka kita akan tentukan segala perbuatan yang mencemarkan alam sekeliling, kita tidak akan dilakukan oleh kita. Dengan itu kita akan hidup dalam alam yang bersih, yang nyaman, dan kita boleh bangga kerana kebersihan kita.

Saya tertarik, seperti orang semua tahu dengan budaya orang Jepun. Mereka utamakan kebersihan sehingga anak mereka dari kecil lagi, apabila terdapat kertas yang dibuang, kertas balutan makanan umpamanya, mereka tidak membuangkan kertas itu dimana sahaja mereka berada. Sebaliknya mereka melipat kertas itu supaya menjadi kecil dan membuangkannya ke dalam waste basket ataupun ditepi jalan diletakkan tempat buang sampah mereka membuangkan didalam tempat itu sahaja. Dengan itu keadaan tidak dicemar dengan kertas koyak yang kotor, yang dibuang tanpa memikir pencemaran yang akan berlaku.

Ada negara-negara pula yang membekalkan tiga buah tong buang smpah. Satu untuk plastik, satu untuk glass dan satu untuk barangan yang mudah hancur. Dengan itu, usaha untuk kita melupuskan sampah ini menjadi lebih mudah dan sudah tentu dengan itu, keadaan di sekeliling kita juga akan menjadi lebih baik. Selain daripada itu, kita yang mempunyai nilai sivik yang tinggi akan menunjuk betapa kita bertanggungjawab terhadap keadaan sekeliling. Umpamanya kalaulah kita terlihat kereta yang pancit atau rodanya tak jalan lagi dan pemandu kereta itu adalah seorang yang lemah ataupun mungkin wanita, dan apabila kita lihat dia berhempas-pulas untuk memasang spare tayar dan kita berhenti untuk menolongnya, itu menunjukkan kita mempunyai nilai sivik yang cukup tinggi. Kita sedia menolong orang yang menghadapi masalah.

Hari ini kita dengar berkenaan dengan seorang wanita Inggeris yang telah hilang dan kita lihat ada orang yang sanggup ketepikan perayaan Raya Haji pun untuk mencari wanita yang hilang ini.  Ini sekali lagi menunjuk pegangan kepada nilai hidup, nilai sivik yang tinggi dalam kalangan kita. Kalau kita semua mempunyai nilai sivik yang tinggi maka keadaan di sekeliling kita menjadi amat baik. Tetapi mungkin kita perlu diperingati tentang apa itu nilai sivik ini. Dengan itu dengan adanya pendidikan sivik ini, ia akan menentukan bahawa kita akan sedar terhadap kita sebagai anggota masyarakat, apakah tanggungjawab kita kepada masyarakat. Dengan tiap-tiap kali mengingati diri bahawa kita adalah masyarakat dan orang lain adalah individu, anggota masyarakat. Seperti mana kita tidak suka orang lain melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan masyarakat, kita juga jangan buat sesuatu yang memburukkan keadaan masyarakat seperti membuang sampah, menconteng dinding, tidak hirau masalah orang lain, utamakan diri sendiri sahaja. Semua ini tergolong dalam nilai-nilai sivik yang perlu ada kepada manusia yang hidup dalam masyarakat. Kita semua hidup dalam masyarakat dan kita mesti ada nilai-nilai sivik yang tinggi.

Oleh kerana kita tidak boleh bergantung kepada ibu bapa, selain daripada sekarang ini ibu bapa bekerja dan tidak ada masa untuk mengajar anak-anak berkenaan dengan sivik dan tanggungjawab dalam hidup dan sebagainya, maka kita perlu pindahkan usaha mendidik ini kepada sistem pendidikan kita. Mungkin ini akan menambahkan beban kepada guru-guru tetapi setakat ini belum ada demonstrasi seperti demonstrasi kepada khat, jadi tanggungjawab yang lebih. Saya fikir walaupun akan ada didikan sivik ini, ia tidak akan menjadi beban kepad guru atau anak murid kita. Hanya untuk mengajar mereka kenapa mereka perlu selalunya tanggungjawab dan selalunya disiplin untuk menentukan alam sekitar mereka dibawah jagaan mereka, tidak dicemar dengan perbuatan-perbuatan yang memburukkan iklim ataupun alam sekitar mereka.

Saya berharap pendidikan sivik ini akan membentuk masyarakat dan individu di Malaysia ini menjadi masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak-pihak yang lain. Supaya mereka tidak lakukan sesuatu yang memburukkan keadaan disekeliling mereka. Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan kerana mengadakan pendidikan sivik ini. Dan saya percaya bukan sahaja anak-anak kita yang akan menjadi orang yang sivic minded, tetapi guru-guru semasa mereka mendidik tentulah akan serapkan nilai-nilai sivik yang sama. Dengan itu percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, yang bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.

Dengan itu saya dengan sukacitanya melancarkan Pendidikan Sivik oleh Kementerian Pendidikan.

Sekian. Terima Kasih.

 

 

Similar Posts:

86 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 + sixteen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top