Perutusan Perdana Menteri Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos 2019

PMO
TEKS PERUTUSAN
YAB TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 31 OGOS 2019

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

1. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita menyambut dan meraikan sekali lagi Hari Kebangsaan, bersempena dengan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-62 pada tahun ini.

2. Kita merayakan Hari Kebangsaan kerana ia menandakan permulaan satu kebebasan – bebas dari pemerintahan orang asing yang telah menjarah kekayaan Negara kita untuk kepentingan rakyat Negara mereka.

3. Ketika Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kita telah melihat sambutan serta laungan kegembiraan oleh ibu bapa dan datuk nenek kita meraikan saat itu.

4. Ia tidak memperlihatkan betapa berlikunya dan sukarnya jalan yang terpaksa mereka lalui untuk mencapai saat sambutan tersebut kecuali jika kita mengambil masa membaca dan menonton dokumentari-dokumentari berkenaan dengan sejarah Negara sebelum dan sehingga mencapai kemerdekaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MENDIRIKAN MALAYSIA

5. Sejarah Negara ini, seperti lain-lain Negara, penuh dengan keringat dan airmata, pertumpahan darah, kekejaman, penindasan, penipuan, pengkhianatan dan penghinaan terhadap bangsa dan Negara.

6. Sebelum wujudnya Malaysia, terdapat Persekutuan Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Ia menjadi Malaya sebelum akhirnya membesar menjadi Malaysia seperti yang kita kenali hari ini.

7. Sejarah juga memperlihat betapa Negara ini terbina di atas nilai-nilai tolak- ansur, ketinggian budi, hormat-menghormati, kesediaan memberi dan berkongsi, tidak mementing diri dan berkemahuan untuk berkorban demi kepentingan Negara.

8. Tanpa nilai-nilai tersebut Malaysia tidak akan membesar menjadi Negara maju yang berkeupayaan memberi kepada rakyatnya keselesaan dan kemajuan. Kemajuan ini tidak banyak kurangnya dari apa yang terdapat di Negara-Negara lain malahan, ada ketikanya, apa yang kita rasai di sini jauh lebih besar nikmatnya.

9. Tetapi nilai-nilai ini tidak seharusnya terhenti apabila kita mencapai kemerdekaan atau kemajuan seperti yang kita nikmati hari ini.

10. Seharusnya, semakin kita maju dan berjaya, semakin kita sedar betapa perlunya kita kepada nilai-nilai baik tersebut. Jika nilai-nilai tersebut yang dipegang oleh ibu bapa dan datuk nenek kita berjaya membentuk Negara ini, sudah pasti ia lebih penting apabila kita mengurus kemajuan yang tercapai.

11. Malangnya, jika kita lihat di sekeliling kita, di dalam kita hanyut dengan kemajuan komunikasi dan digitalisasi, nilai-nilai yang baik itu diketepi dan diganti dengan sifat buruk yang jelik dan menjijikkan.

12. Yang lebih merosakkan ialah apabila sifat buruk ini terserlah ketika berdepan dengan isu-isu sensitif mengenai bangsa dan agama.

13. Ketika mempertahan agama dan kaum masing-masing, penghinaan dilaku terhadap kaum dan agama lain sehingga mengguna kata-kata nista dan kesat, pasti menimbul kemarahan dan keresahan.

14. Amat menghairankan kerana jika kita mahu menegak agama dan bangsa kita, sudah tentu kita perlu memperlihat sifat dan penggunaan bahasa yang baik dan berbudaya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

HARAPAN HARI MERDEKA

15. Saya amat mengharapkan ketika kita menyambut kemerdekaan ini, kesemua rakyat Malaysia, tidak kira apa agama, bangsa dan budaya akan dapat medalami diri masing-masing dan mencari semangat setiakawan dan kenegaraan yang membantu kita capai kemerdekaan dan membangunkan Negara sehingga menjadi Negara yang berjaya.

16. Kita perlu bertanya apakah kita sudah tidak lagi peduli terhadap masa depan Negara di dalam mempertahan kepentingan sempit bangsa dan agama masing-masing.

17. Sesungguhnya, jika kita benar-benar ikhlas, kita akan sedar betapa besar nikmat yang ada di dalam Negara kita ini. Jika kita mempunyai kesedaran itu, kita akan mencari jalan dan berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankannya.

18. Jika itu tidak memadai, mungkin kita perlu lihat betapa negara-negara yang pada satu ketika, tidak begitu lama dahulu menikmati kekayaan dan kemakmuran yang menjadi impian Negara lain. Hari ini Negara-Negara itu musnah dan rakyat mereka menjadi pelarian di Negara lain.

19. Kerana itu kita perlu sedar apabila kita menuntut hak atau kepentingan kelompok kita dan kelompok yang satu lagi tidak mahu bertolak-ansur, bertimbang-rasa atau memberi kemaafan ia boleh membawa kepada konflik.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

UNTUK HARI DEPAN YANG LEBIH CEMERLANG

20. Dalam usaha memajukan Negara dan rakyat, Kerajaan sedang menumpukan usaha kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia. Ia sedang digerakkan dengan objektif menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia. Pada masa yang sama, usaha juga dipergiat untuk meningkat kuasa beli rakyat dan menghapus jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum dan wilayah.

21. Wawasan Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

22. Wawasan serta dasar-dasar yang dibentuk adalah untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang maju, bermaruah dan merdeka.

23. Apabila kita memperkenal wawasan dan dasar-dasar itu, kita sedar bahawa mereka tidak akan tercapai kecuali sistem pentadbiran kita bersama mendokong dan menyokong usaha-usaha ini.

24. Salah satu bencana paling besar kepada Negara ialah gejala rasuah dan ia turut membabitkan perkhidmatan awam. Untuk memastikan dasar-dasar kita tidak disabotaj oleh mereka yang menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah, maka kita telah meletakkan usaha membanteras rasuah salah satu objektif utama Kerajaan.

25. Kerana itu pada tahun ini Hari Kebangsaan disambut dengan tema: Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih. Yang kita harap adalah membersih Negara dari amalan rasuah yang mampu menggagalkan usaha untuk memberi kemakmuran bersama kepada semua rakyat.

26. Selamat menyambut Hari Kebangsaan dan selamat maju jaya rakyat Malaysia.

Sekian.wabillahhitaufik walhidayah wasalamualakan warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

169 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top