Kenyataan Media berkenaan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963

PRIME MINISTER’S OFFICE

MEDIA STATEMENT

MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS KABINET
UNTUK MENYEMAK PELAKSANAAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang keempat telah diadakan pada 23 Julai 2019. Mesyuarat telah dipengerusikan YAB Perdana Menteri dan dihadiri 23 ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Rundingan ini adalah selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Jawatankuasa Khas Kabinet ini dibantu oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurus setiakan oleh pasukan petugas khas dikenali sebagai Taskforce MA63.

Mesyuarat pertama telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan 21 isu telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji. Tiga belas isu tuntutan dikenal pasti sebagai isu bersama melibatkan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain melibatkan tuntutan Kerajaan Negeri Sabah sahaja.

Sehingga 23 Julai 2019, tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama manakala empat belas isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangkakan akan diputuskan sebelum 31 Ogos 2019. Isu-isu yang telah mendapat persetujuan bersama adalah seperti berikut:

  1. Tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan
    Perkara ini telah dipersetujui sebagai selesai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 2/2019 berikutan persetujuan delegasi kuasa kepada Jabatan Perhutanan Sabah telah diberi sejak 1 Jun 2017.
  2. Pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas
    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia pengedaran gas di Sarawak mengikut Distribution Gas Ordinance (DGO) Sarawak 2016. Manakala Kerajaan Negeri Sabah pula bersetuju untuk melaksanakan Due Diligence sebelum penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik dilakukan.
  3. Pelaksanaan Kerja raya Persekutuan dan Negeri
    Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan mengambil maklum cadangan di dalam Jawatankuasa Antara-Kerajaan (Inter- Governmental Committee –IGC).
  4. Tenaga buruh
    Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya tiada halangan melaksanakan tuntutan berhubung penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing. Tindakan sedang diambil bagi meminda Ordinan Buruh negeri masing-masing.
  5. Kuasa negeri ke atas isu kesihatan
    Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sarawak dan Sabah.
  6. Pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan
    Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah telah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.
  7. Isu pertanian dan perhutanan
    Isu pertanian dan perhutanan digugurkan di dalam mesyuarat jawatankuasa ini kerana kedua-dua perkara ini sudah sememangnya di bawah Senarai Negeri.

Pasukan petugas khas (Taskforce MA63) diarahkan untuk menyediakan satu laporan akhir sebelum 31 Ogos 2019 untuk dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang akan datang.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
19 OGOS 2019

Similar Posts:

2,824 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − one =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top