Ucaptama di Majlis Penutup TVET Conference 2019

TEKS UCAPTAMA PERASMIAN PENUTUP OLEH YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PENUTUP TVET CONFERENCE 2019
HUMAN CAPITAL DEVELOPMENT TO ENHANCE FUTURE SKILLS AGENDA

PADA 9 JULAI 2019 (SELASA) PADA JAM 9.00 PAGI BERTEMPAT DI HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita berhimpun dalam Majlis Penutup TVET Conference 2019 yang amat bererti buat Negara.

2. TVET, iaitu Technical and Vocational Educational and Training atau dalam Bahasa Melayunya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional merupakan persiapan masa depan Negara yang amat penting jika Malaysia dan rakyatnya mahu kekal maju serta kompetitif.

3. TVET memberi pelbagai kelebihan kepada rakyat yang mengikutinya kerana ia mendedahkan mereka kepada situasi kerja sebenar. Mereka mempelajari bidang mereka dengan penumpuan secara praktikal dan ini membolehkan mereka bersedia dan mampu sesuaikan diri dengan segera apabila memasuki alam pekerjaan.

4. Mereka akan secara langsung terdedah kepada peralatan dan mesin dan ini memastikan mereka mempunyai kemahiran yang sesuai dengan bidang pekerjaan yang ingin mereka ceburi.

5. Tahniah kepada jawatankuasa penganjur persidangan yang telah menjayakan penganjuran TVET Conference 2019 yang bertemakan “Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda”.

6. Usaha ini pastinya menjadi dorongan kepada semua pihak terbabit untuik terus memberi sokongan kepada usaha Kerajaan untuk memperkasakan agenda TVET Negara.

7. Ucapan terima kasih juga kepada Kementerian Sumber Manusia, kerana selaku penganjur telah memberi kesempatan untuk saya bertemu dan seterusnya berinteraksi dengan pihak-pihak berkepentingan dan peneraju industri yang penting dalam pembangunan ekonomi Negara.

TEMA: “HUMAN CAPITAL DEVELOPMENT TO ENHANCE FUTURE SKILLS AGENDA”

8. Dunia hari ini juga telah memperlihatkan bahawa kejayaan sebuah Negara bukan sahaja diukur dan didorong oleh prestasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, syarikat multinasional dan teknologi semata-mata. Pembangunan modal insan holistik yang disandarkan kepada pendidikan, latihan dan kemahiran menjadi sama penting di dalam ukuran kejayaan tersebut.

9. Pembangunan modal insan menjadi nadi dan penggerak pembentukan masyarakat untuk maju, proaktif dan berinovatif seterusnya berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Negara keseluruhannya.

10. Dengan memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional atau TVET, Kerajaan berkeyakinan Negara mampu menghasilkan modal insan berkemahiran yang diperlukan oleh industri.

11. TVET mempunyai peranan penting dalam membantu usaha kita untuk menjadi sebuah Negara maju yang setaraf dengan Negara-Negara maju yang lain. Tidak keterlaluan jika TVET kita anggap sebagai kunci kepada kemajuan Negara pada masa akan datang.

12. Kerana itu, Kerajaan menekankan TVET kerana kita sedar permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan untuk beriringan dengan peredaran teknologi yang begitu tinggi dan pantas.

13. TVET akan menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ dalam usaha Kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi. Ini secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing. Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan.

14. Ini juga secara langsung akan mengubah pasaran buruh Negara di mana menjadi keutamaan Kerajaan ialah untuk memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji yang tinggi dapat diwujudkan. Ini bersesuaian dengan usaha-usaha kita untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Negara ini.

MENGUPAYAKAN PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET) YANG DITERAJUI INDUSTRI

15. Matlamat Pembangunan Lestari dan Mampan atau Global Goals for Sustainable Development telah menjadi agenda global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua Negara menjelang tahun 2030.

16. Dalam konteks ini, matlamat Sustainable Development Goal 4 atau SDG 4 – Pendidikan Berkualiti (QualityEducation) dan SDG 8 – Decent Work and Economic Growth khususnya kelestarian pendidikan melalui TVET akan terus diberikan perhatian oleh Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia dan beberapa kementerian lain yang berkaitan.

17. Dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan menerusi program TVET, kita bukan sahaja menyediakan belia untuk pasaran kerja, tetapi juga menyediakan modal insan bagi pembangunan dan kemajuan Negara.

18. Lulusan daripada program TVET yang melibatkan usaha sama di antara institusi-institusi TVET awam dengan pelbagai syarikat multinasional berpandukan kepada kehendak dan keperluan industri terbukti berjaya di mana hampir 90 peratus daripada graduan TVET berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat latihan.

19. Kerana itu pemain-pemain utama institusi TVET awam dan swasta Negara harus keluar daripada comfort zone masing-masing dan mencari penyelesaian yang berkesan. Salah satu yang pendekatan pastinya kerjasama merentasi pelbagai pihak yang berkepentingan terutamanya dengan pihak industri.

20. Saya menyeru agar lebih ramai pemain industri utama yang hadir pada hari ini bergiat aktif dalam membangunkan modal insan dan menyokong dasar pelaksanaan TVET negara terutamanya dalam membantu graduan-graduan TVET tempatan dengan mengiktiraf kemahiran yang mereka miliki dan seterusnya turut berkongsi kepakaran yang ada.

TVET DAN REVOLUSI INDUSTRI 4.0

21. Era teknologi canggih masa kini menuntut perubahan yang cepat, pantas dan laju. Kita tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang. Kita perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan kepesatan teknologi semasa.

22. Dan pembangunan industri di Malaysia tidak boleh lari dari perkembangan global khususnya Revolusi Industri 4.0 di mana proses kerja dan kaedah perniagaan yang lebih pintar dipacu oleh people, process dan technology kepada tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai. Ini secara tidak langsung mengkehendaki sektor industri Negara bergerak seiring dengan transformasi digital jika kita mahu ekonomi Negara terus kekal berdaya saing.

23. Kerajaan Malaysia telah mengorak langkah yang lebih konkrit dalam mengatur strategi bagi menghadapi Industri 4.0 dengan merangka Dasar Negara mengenai Industri 4.0 dari 2018 – 2025 atau lebih kita kenali sebagai Industry Forward (Industry4WRD). Ia terletak di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

24. Bagi tujuan ini juga, Kerajaan telah pun menggariskan pelan tindakan Industri 4.0 untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pembuatan pada masa akan datang.

25. Pasaran kerja pada masa hadapan akan dipenuhi dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran yang kritis. Deskripsi dan skop pekerjaan dan pada masa akan datang akan mengalami perubahan yang signifikan. Future workers perlu memastikan mereka sentiasa melengkapkandiri mereka dengan kemahiran terkini (skills set) berdasarkan kepada keperluan industri masa hadapan.

26. Oleh itu pemain-pemain utama TVET dan industri disarankan untuk memanfaatkan Industry Forward dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing dengan bersedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir.

27. Jadi kita memerlukan institusi TVET yang lebih fleksibel dengan ketersediaan institusi TVET melalui proses perekayasaan (re-engineering) silibus dan kurikulum TVET, tenaga pengajar yang kompeten malah infrastruktur itu sendiri dalam mendepani cabaran ini.

MEMPERKUKUH JALINAN INDUSTRI-INSTITUSI TVET

28. Kerajaan percaya agenda pemerkasaan TVET bersama-sama dengan penggiat utama industri harus menjadi hala tuju strategik TVET Negara. Kerjasama pintar antara pihak industri dan institusi TVET akan membantu dalam penghasilan produk yang berkualiti dan perkhidmatan yang lebih efisien.

29. Kerajaan kekal komited dengan pendirian untuk memastikan perdagangan yang adil dan bebas dengan menekankan konsep business-friendly kepada pelaburan daripada dalam dan luar negara.

30. Kerjasama pihak industri dan institusi TVET yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan diantara penawaran dengan permintaan (demand and supply) dalam membantu institusi TVET tempatan menyediakan keperluan kursus-kursus berteras industri berteknologi tinggi berdasarkan kepada kehendak industri.

31. Kerajaan percaya kerjasama ini dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu dalam mempelajari teknologi terkini yang mempunyai spillover effect ataupun kesan limpahan yang akan mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor-sektor lain seperti pertanian, pembinaan, kesihatan, perkhidmatan dan lain-lain.

PENUTUP

32. Sebelum saya akhiri ucapan saya, ingin saya tekankan bahawa pembangunan modal insan amat kritikal bagi masa depan Negara. Mudahan-mudahan persidangan selama dua hari ini dapat mengukur dan menilai situasi semasa industri di Malaysia, sekaligus mampu menambah-baik hala tuju TVET dalam perancangan sumber dari segi knowledge, machineries and human capital development kepada semua pihak yang terlibat.

33. Saya yakin komitmen dan iltizam yang tinggi antara semua pihak yang berkepentingan berkaitan TVET dan sokongan pihak industri akan memastikan kejayaan agenda pemerkasaan TVET Negara.

34. Dengan lafaz kalimah Bismillah-hirrahman-nirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis penutup TVET Conference 2019 “Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda”.

Terima kasih.

Similar Posts:

883 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top