Ucapan di Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat, Parti Keadlian Rakyat

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS TEMURAPAT PIMPINAN KEADILAN PUSAT, PARTI KEADILAN RAKYAT
TAJUK: HALATUJU PAKATAN HARAPAN DAN MENCAPAI KEMAKMURAN BERSAMA
PADA 19 JULAI 2019 (JUMAAT), JAM 9.00 MALAM
BERTEMPAT DI JUNIOR BALLROOM, LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu saya ingin ucap berbanyak terima kasih kerana sudi menjemput saya hadir di Majlis Temurapat Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat.

2. Sudah pasti, ia merupakan satu penghargaan bagi seseorang pemimpin politik apabila dia dijemput dan diberi peluang untuk berucap di dalam sesuatu acara anjuran parti lain. Saya amat menghargainya.

3. Sudah lebih setahun Pakatan Harapan berjaya mengambil-alih kepimpinan Malaysia dan dalam tempoh tersebut kita telah diberi oleh rakyat untuk menentukan halatuju Negara.

4. Telah berkali-kali kita katakan, kita mewarisi sebuah Negara yang telah rosak dari pelbagai aspek – sistem politik, pentadbiran, kewangan, perundangan dan juga sistem nilai itu sendiri.

5. Ini membuat tanggungjawab kita lebih berat dan sukar. Kita juga berhadapan dengan harapan atau expectations yang amat tinggi dari rakyat kerana bagi mereka kejayaan menumbang sebuah Kerajaan yang korup dan gagal sudah pasti menjanjikan keadaan yang lebih baik dan selesa.

6. Di masa yang sama, apabila kita mengambil-alih Kerajaan, kita dapati apa yang kita takuti berkaitan kerosakan yang telah dilakukan itu memang benar telah berlaku. Lebih menekan ialah, kerosakan yang kita jangka itu sebenarnya jauh lebih buruk dan ini menambah tekanan kepada kita dalam usaha untuk memperbaikinya.

7. Alhamdulillah, di dalam tempoh setahun lalu, kita telah berjaya membawa Negara kembali ke landasan, walaupun masih belum sepenuhnya, kita telah dapat melihat dengan agak jelas apa yang perlu kita lakukan. Walaupun ada sesetengahnya dapat kita pulihkan dengan agak segera, banyak lagi yang masih memerlukan lebih masa sebelum kita dapat memperbetulkan sepenuhnya.


KEKUATAN KITA ADALAH PERPADUAN

8. Di dalam kesibukan kita untuk memperbetulkan halatuju Negara, ada kalanya kita lupa apakah faktor yang telah membawa kita ke peringkat yang kita berada sekarang.

9. Sebelum berkuasa, kita telah bersama-sama mengetepikan perbezaan-perbezaan kita, dendam, marah serta mungkin juga rasa benci yang wujud di antara kita sebelum ini.

10. Kenapa kita boleh mengetepikan itu semua? Kerana kita sedar dan nampak akan kerosakan yang telah dan sedang berlaku ketika itu dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Negara serta rakan-rakan seperjuangan mereka.

11. Kita juga sedar jika kita tidak lakukan sesuatu untuk menyekat mereka – masa depan Negara dan anak-anak cucu kita dan akan hancur berkecai.

12. Kita bertemu dan berbincang. Kita bertengkar dan kemudian berdamai. Kita bercanggah pendapat dan kita juga bertolak-ansur. Walaupun mungkin masih ada saki-baki rasa tidak puas hati terhadap beberapa perkara, kita ketepikan dan kita maju sebagai satu pasukan.

13. Untuk julung-julung kalinya, Pakatan Harapan sebagai gabungan pembangkang bersetuju untuk menggunakan satu simbol dan oleh kerana Pendaftar Pertubuhan tidak benar kita mengguna simbol Pakatan Harapan kita guna simbol parti Keadilan.

14. Semua ini kita lakukan kerana kita mengambil sikap bahawa menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang sayangkan Negara untuk bertindak untuk menyekat kerosakan-kerosakan yang sedang berlaku dan dilakukan.

15. Saya yakin, semasa kita mengambil tanggungjawab tersebut kita berpegang kepada prinsip jika bukan kita, siapa lagi.

16. Jelas keputusan yang kita ambil untuk bersama-sama di dalam Pakatan Harapan adalah keputusan yang tepat dan ini terbukti apabila majoriti rakyat mengundi kita memastikan kita menang di dalam PRU ke-14 dan menolak Barisan Nasional.


SETELAH KEMENANGAN TERCAPAI

17. Rumah siap pahat berbunyi. Itulah yang berlaku. Jika dulu tidak ramai yang yakin kita mampu berjaya, setelah kita menang ramai pula yang mempunyai pelbagai pendapat tentang bagaimana kita harus mentadbir dan ramai juga yang berpendapat setiap gerak tadbir yang kita lakukan itu salah.

18. Terkenang juga saya kepada satu peribahasa Inggeris yang berbunyi: “Success has many fathers, failure is an orphan” yang bermaksud apabila kita menang ramailah yang mendekati dan mengaku menyokong dan jika kita kalah, sudah pasti mereka menjauh.

19. Di dalam kemelut menangani kejayaan dan kemenangan itu, oportunis-oportunis mula mengerumuni kita dan kita pula kadang-kala terlalai dan mereka berjaya menyusup di kalangan kita.

20. Kemahuan mereka agak jelas – mencari kepentingan peribadi untuk kekayaan diri dan melaga-lagakan di antara kita jika kita menjadi halangan kepada agenda peribadi mereka.

21. Sehingga hari ini, kita masih lagi berusaha untuk menangani musuh-musuh dalam selimut dan kadang kala sabotaj yang dilaku oleh mereka mampu membawa kepada keruntuhan Kerajaan kita jika kita tidak dapat menanganinya.

22. Di masa yang sama, pihak yang kalah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka ditolak rakyat kerana mereka telah merompak harta rakyat dan apabila melihat kelemahan di pihak kita, mereka akan eksploit seberapa mungkin dan menampilkan diri mereka sebagai pejuang rakyat.

23. Sudah tentu, di antara strategi yang diguna ialah mengatakan mereka telah difitnah berkaitan skandal kewangan 1MDB, Felda dan Tabung Haji. Pendekatan yang diambil mereka agak mudah – perbesar-besarkan beberapa kesilapan dan kelemahan di pihak kita, dan jika rakyat marah maka rangkumkan sekali dengan cerita yang mereka telah difitnah semua skandal tersebut tidak benar.

24. Mungkin segelintir rakyat terutamanya yang menyokong mereka semasa pilihanraya yang lepas percaya tetapi majoriti rakyat boleh menilai sendiri kes-kes mahkamah yang sedang berlangsung di mana wang jutaan ringgit dari kad kredit peribadi diguna membeli hadiah dan sebagainya.

25. Yang paling jelas skandal kewangan itu berlaku ialah apabila beberapa Negara termasuk Amerika Syarikat dan Singapura telah memulangkan sejumlah wang hasil rampasan kes berkaitan 1MDB kepada Malaysia. Jumlah dipulang setakat ini yang mencapai RM1 billion itu pastinya bukan datang dari kemurahan hati Negara-Negara tersebut. Dan hasil rampasan yang kita jangka akan dipulangkan akan terus bertambah.


TANGGUNGJAWAB YANG BESAR DI HADAPAN KITA

26. Kita tidak ada masa yang banyak untuk melaksanakan janji-janji dan tanggungjawab kita kepada rakyat dan Negara.

27. Kerana itu kita tidak boleh membenar diri kita terganggu, hilang fokus ataupun distracted dengan perkara- perkara sampingan yang tidak ada nilai sama sekali dengan pembangunan dan hala tuju Negara.

28. Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetul apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

29. Kita juga perlu tanya kepada diri kita apakah kita akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa, tanpa sedar kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa.

30. Kepada kesemua ahli dan pemimpin-pemimpin parti komponen Pakatan Harapan – Keadilan, Bersatu, DAP dan Amanah – kita perlu bertekad untuk bekerja seberapa mampu yang boleh untuk memajukan Negara ini dan mempermudahkan hidup rakyat. Ini satu amanah dan apabila kita sudah tidak ada kuasa atau berhenti memegang kuasa, ukuran rakyat ialah samada kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah mereka serah kepada kita.


MENCAPAI KEMAKMURAN BERSAMA

31. Tugas kita bukan terhenti atau berakhir setiap kali pilihanraya umum diadakan.

32. Apabila kita merencana masa depan Negara, ia harus berupaya melakar satu halatuju melangkaui jangka masa yang panjang kerana ini akan memastikan kelestarian atau sustainability.

33. Kerana itu, setelah kita sedar bahawa Wawasan 2020 sudah agak tersasar, maka kita mula memikirkan tentang wawasan baru yang boleh membawa Negara dan rakyat kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik dari sekarang.

34. Ia memerlukan satu anjakan paradigma atau paradigm shift dan kita merasa perlu untuk memperkenal Wawasan Kemakmuran Bersama ataupun Shared Prosperity.

35. Secara ringkas, definisi Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

36. Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas kepada penyatuan negara bangsa.

37. Untuk mencapai Kemakmuran Bersama dan juga lain-lain agenda Negara yang telah kita janji dan tetapkan, keutuhan gabungan Pakatan Harapan merupakan kunci kejayaan mereka.

38. Saya tidak akan mampu melakukan ini secara sendirian. Tuan-tuan juga adalah pemegang amanah rakyat untuk memastikan mereka mampu mencapai cita-cita dan impian mereka.

39. Kerana itu, di dalam mengejar mimpi kita, memastikan impian rakyat tercapai adalah lebih murni dan terpuji.


Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

123 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top