Kenyataan Media Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) 4/2019

PEJABAT PERDANA MENTERI

KENYATAAN MEDIA

1. Saya telah mempengerusikan mesyuarat siri yang ke-9 Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bilangan 4 tahun 2019 sebentar tadi. Suka untuk saya maklumkan bahawa, Jawatankuasa ini telah pun genap setahun bersidang dan banyak inisiatif-inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti rasuah yang telah dibentangkan dan mendapat keputusan dasar dalam mesyuarat ini. Tahniah kepada 38 ahli tetap mesyuarat, GIACC dan SPRM kerana dengan komitmen yang diberikan, sebanyak 45 kertas pertimbangan dan 24 kertas makluman telah dibincang dan diputuskan dalam 9 siri mesyuarat JKKMAR setakat ini.

2. Komitmen kerajaan hari ini dalam meletakkan agenda pencegahan rasuah sebagai salah satu keutamaan telah membuahkan hasil. Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang telah dilaksanakan selama hampir enam (6) bulan menunjukkan reaksi positif. Keyakinan masyarakat dan masyarakat antarabangsa terhadap keseriusan kerajaan hari ini dalam menangani permasalahan rasuah, integriti dan governans juga boleh dilihat dalam Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Siri 13/2018 dimana Jawatankuasa dimaklumkan pada hari ini bahawa persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam perkara ini telah meningkat sebanyak 11% daripada 59.8% pada tahun 2016 kepada 70.8% pada tahun lalu. Kita juga dimaklumkan beredasarkan indicator-indikator antarabangsa, Malaysia turut mencatatkan peningkatan seperti;

i. Edelsmann Trust Barometer Global – menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan meningkat kepada 60 pada tahun 2019 berbanding 46 pada tahun 2018.

ii. Asian Corporate Governance Association (ACGA) – Kedudukan Malaysia di dalam Corporate Governance Watch naik 3 anak tangga daripada tempat ke-7 pada tahun 2016 ke tangga ke-4 pada tahun 2018.

iii. Economist Intelligence Unit (EIU) – Indeks Demokrasi 2019 naik ke tempat 52 berbanding 59 (2018).

iv. Indeks Kebebasan Media 2019 – meletakkan Malaysia di tangga pertama di kalangan negara-negara Asia Tenggara dan berada di tangga 123 berbanding 145 negara di dunia.

v. World Bank Ease of Doing Business – Kedudukan Malaysia meningkat 9 tangga daripada tangga ke-24 pada tahun 2018 dan naik ke tangga 15 pada tahun 2019.

3. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa perkara dasar yang telah berjaya dilaksanakan antaranya ;

i. Tiada perlantikan Ahli Parlimen sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) kecuali membabitkan Khazanah Nasional Berhad. Berbanding sebelumnya dimana syarikat GLC utama Kerajaan seperti Tabung Haji, MARA dan Felda FGV diterajui oleh ahli parlimen sehingga mengakibatkan kerugian yang besar sehingga hari ini.

ii. Setakat ini tiada lagi perolehan secara rundingan terus dibuat bagi projek-projek pembangunan fizikal di bawah Jabatan Kerja Raya. Kini JKR melaksanakan kaedah tender terbuka 100% bagi semua projek pembangunan fizikal RMKe-11. Ini adalah jauh lebih baik dimana pada tahun 2017 hanya 30% sahaja yang dibuat melalui tender terbuka dan 58% tender terhad manakala 12% secara rundingan terus.

iii. Kewibawaan institusi Parlimen dapat dikembalikan, di mana Yang di Pertua Dewan Rakyat yang dilantik telah meletak jawatan daripada jawatan politik dalam parti dan Pengerusi PAC dilantik dari kalangan parti pembangkang. Pendedahan maklumat yang lebih telus kepada umum seperti laporan Kertas Putih FELDA, Tabung Haji dan laporan Siasatan Projek Land Swap Kementerian Pertahanan dibentangkan di Dewan Rakyat.

4. Sebanyak 8 kertas mesyuarat telah dibincangkan yang memberi fokus kepada inisiatif-inisiatif yang telah digariskan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 berkaitan dengan usaha untuk menambah baik governans dan integriti dalam memerangi rasuah.

5. Keputusan-keputusan penting yang telah dicapai dalam mesyuarat JKKMAR ini addalah:

i. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengemukakan lima syor bagi mengukuhkan amalan tadbir urus korporat dalam pasaran modal untuk mencegah salah laku rasuah dan penipuan. Mesyuarat secara prinsip telah bersetuju dengan beberapa syor yang dikemukakan oleh SC akaan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Hutang Negara.

ii. Mesyuarat hari ini bersetuju secara prinsip bahawa terdapat keperluan untuk kabinet membincangka fungsi tugas dan tangungjawab Setiausaha Politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas mereka di Kementerian.

iii. Mesyuarat hari ini secara prinsip juga telah bersetuju dengan beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara. Antaranya pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tindakan.

iv. Mesyuarat hari ini bersetuju untuk mewujudkan format dan gerak kerja atau prosedur bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam menjalankan peranannya dalam urusan perlantikan calon-calon ke jawatan penting kerajaan. Kerajaan bersetuju bahawa terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa (fit and proper) untuk jawatan ini dapat dikemukakan. Sepertimana perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lalu, saya menggunakan prosedur sedia ada sepertimana yang telah termaktub di dalam akta. Selepas ini, terdapat empat (4) jawatan penting yang tersenarai di dalam Akta yang akan menggunakan prosedur lantikan ini. (Rujuk Lampiran 1)

v. Mesyuarat dimaklumkan bahawa satu Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi. Jawatankuasa ini bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses gubalan undang-undang ini dengan memfokus kepada sesi libat urus dan outreach yang mencukupi dengan masyarakat.

vi. JKKMAR hari ini telah dibentangkan cadangan skop Akta Perolehan Kerajaan yang akan digubal oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Rang Undang-Undang ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun 2020.

vii. Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa hasil Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah Kebangsaan terdapat keperluan untuk mempertingkatkan program kesedaran dan latihan antirasuah kepada penjawat awam. Ini termasuk mewujudkan semula Modul Pengurusan Integriti (MPI) dan pemerkasaan Unit Integriti di agensi awam.

viii. Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) turut memaklumkan mesyuarat hari ini bahawa daripada 115 inisiatif yang digariskan dalam NACP, 15% bersamaan 17 inisiatif daripadanya telah selesai dilaksanakan. Ia termasuk sembilan (9) inisiatif bagi bidang Tadbir Urus Politik, dua (2) untuk Pentadbiran Sektor Awam, tiga (3) untuk Perundangan dan kehakiman, satu (1) untuk Penguatkuasaan Undang-undang dan dua (2) untuk Tadbir Urus Korporat. Daripada 22 inisiatif keutamaan dalam NACP sebanyak 32% bersamaan enam (6) inisiatif telah diselesaikan membabitkan tiga (3) bidang Tadbir Urus, satu (1) untuk Pentadbiran, dua (2) untuk Perolehan Awam dan satu (1) untuk Tadbir Urus Korporat .

 

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
18 Julai 2019

LAMPIRAN 1

SENARAI JAWATAN PENTING YANG TERSENARAI DALAM
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

  1. Pengerusi & Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
  2. Ketua Pesuruhjaya SPRM
  3. Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman
  4. Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Similar Posts:

505 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 − 4 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top