Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019

RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2019
Bacaan Kali Yang Kedua
oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Julai 2019 (Selasa), jam 12.30 tengah hari

SETIAUSAHA : Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019  
PERDANA MENTERI : Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa suatu Rang Undang-Undang bernama Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibacakan kali kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa suatu Rang Undang-Undang bernama Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibacakan kali kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pengasas-pengasas negara kita Malaysia telah pilih demokrasi untuk politik dan pentadbiran negara. Ini bukanlah sistem asli kita. Sistem asli kita ialah sistem Raja berkuasa mutlak (absolute monarchy). Tetapi oleh kerana Raja tanpa sokongan rakyat begitu lemah sehingga terpaksa tanda tangan perjanjian Malayan Union untuk serah negeri-negeri mereka kepada British, maka rakyat telah bangun pada tahun 1946 untuk menebus balik negeri-negeri Melayu. Raja-Raja turut bersama dan bersetuju dengan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

2. Demokrasi memberi kuasa kepada rakyat untuk mentadbir negara mereka sendiri. Adalah dipercayai rakyat tentu bijak dalam pemilihan pemimpin mereka. Mereka tentulah tidak akan pilih orang yang ternampak jelas akan rosakkan negara mereka dan membinasakan mereka. Rakyat pasti akan menggunakan kuasa mereka melalui peti undi dan memilih wakil serta pemimpin mereka berdasarkan kebijaksanaan dan kesedaran politik mereka.

3. Semasa Perlembagaan Negara digubal, pengasas-pengasas negara pada ketika itu berpendapat umur yang sesuai untuk layak mengundi ialah 21 tahun dengan anggapan kematangan seseorang individu itu secara umumnya dicapai pada usia berkenaan. Di mana-mana sahaja di waktu negara mencapai kemerdekaan, umur 21 tahun dianggap sebagai sudah dewasa dan bertanggungjawab.

4. Di samping itu, kita juga berpendapat dalam usaha membina negara yang berteraskan ilmu pengetahuan dan pengalaman, generasi muda sewajarnya menumpukan masa mereka untuk belajar tanpa diganggu polemik politik yang tak kunjung sudah.

5. Justeru, Perlembagaan Persekutuan yang dibuat di masa itu menetapkan umur 21 tahun sebagai hak kelayakan mengundi di sisi undang-undang. Negara telah melalui 14 Pilihan Raya Umum bermula dari Pilihan Raya Umum Pertama pada tahun 1959 sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu. Setelah hampir 60 tahun Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, kelayakan had umur mengundi 21 tahun ini tidak pernah dikaji untuk diturunkan seperti mana yang dilaksanakan di negara-negara lain yang turut mengamalkan sistem demokrasi berperwakilan.

6. Selepas 1970-an, negara-negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Kemudian ia diikuti oleh India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an. Yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah negara Jepun pada tahun 2016.

7. Pada ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di ASEAN serta beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun.

8. Ini bermakna, kesemua negara Komanwel lain yang mengamalkan demokrasi ala Westminster, termasuklah India yang merupakan negara demokrasi terbesar di dunia dengan jumlah pengundi seramai lebih 900 juta orang, telah menetapkan umur 18 tahun sebagai umur kelayakan mengundi.

9. Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, hampir semua negara di Asia telah melaksanakan had umur mengundi 18 tahun. Dan yang terkini beberapa negara di Eropah pula telah mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun seperti Austria dan Scotland.

10. Berikutan perkembangan di seluruh dunia ini, maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun. Langkah ini adalah bagi memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi Negara melalui pilihan raya. Lagipun di zaman sistem persekolahan terbuka kepada semua anak muda, mereka menjadi dewasa lebih awal.

11. Kerajaan telah mengkaji semula umur mengundi dan mendapati secara umumnya kesedaran politik di kalangan belia telah meningkat. Pemikiran serta kematangan mereka juga terlihat lebih ke hadapan, sesuai dengan kemajuan yang dinikmati negara. Mereka ini terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka golongan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat. Kerajaan kini percaya mereka mampu mengimbangi keperluan menuntut ilmu dan kemahiran dengan kesedaran politik serta tanggungjawab mencorakkan masa hadapan negara yang lebih cerah. Kepercayaan yang diberikan ini selaras dengan hasrat Kerajaan melahirkan dengan izin, responsible citizen, iaitu warganegara yang bertanggungjawab.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Kerajaan mengalu-alukan cadangan blok Pembangkang agar golongan belia seawal usia 18 tahun bukan sahaja diberi hak mengundi tetapi turut berpeluang bersuara di Dewan yang Mulia ini, iaitu layak menjadi calon yang apabila dipilih akan berada bersama-sama kita di sini membahaskan undang-undang untuk kebaikan negara.

13. Walaupun had umur kelayakan calon di kebanyakan negara Asia dan ASEAN masih kekal pada usia 21 tahun dan ke atas, tetapi jika dilihat kepada negara-negara di Eropah, Australia dan New Zealand umur kelayakan calon telah diseragamkan dengan had umur mengundi 18 tahun.

14. Oleh yang demikian, selaras dengan amalan demokrasi dunia, Kerajaan bersetuju mencadangkan Malaysia menurunkan had umur mengundi dan had umur calon seawal 18 tahun.

Tuan Yang di-Pertua,

15. Kerajaan atas cadangan barisan pembangkang juga telah bersetuju untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik. Ini akan membolehkan semua warganegara Malaysia apabila berumur 18 tahun layak mendapat hak untuk mengundi. Mereka tidak lagi perlu memohon untuk didaftarkan sebagai pemilih. Ini memudahkan proses kerana rakyat Malaysia memang sudah berdaftar apabila berumur 12 tahun. Dan mengikut daftar ini semua yang meningkat umur kepada 18 tahun berhak mengundi.

16. Kerajaan menjangkakan untuk lima (5) tahun akan datang, sekiranya pendaftaran secara automatik ini dilaksanakan bersekali dengan penurunan had umur mengundi 18 tahun, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih tiap tahun sehingga tahun 2023.

17. Oleh yang demikian, Kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU Ke-14 tahun 2018.

18. Kerajaan telah pun memulakan kerja-kerja awal melalui pelaksanaan inisiatif reformasi pilihan raya yang telah dimulakan sejak Julai 2018 lagi. Kerja-kerja awal ini meliputi kajian dan penelitian ke atas pelaksanaan pendaftaran secara automatik serta keperluan pembangunan proses kerja dan pembangunan sistem. Kerajaan memahami akan keperluan untuk membuat persediaan rapi sebelum pendaftaran pemilih secara automatik ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Oleh yang demikian, SPR memerlukan satu tempoh waktu yang sesuai untuk memastikan kelancaran proses kerja yang berkaitan.

Tuan Yang di-Pertua,

19. Bagi maksud melaksanakan cadangan ketiga-tiga perkara di atas, pindaan kepada Perlembagaan perlu dilaksanakan. Huraian kepada pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah seperti berikut:

i. Fasal 1 Rang Undang-Undang ini memperuntukkan tajuk ringkas Akta yang dicadangkan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa fasal 3 Akta yang dicadangkan. Fasal 2 dan 4 akan mula berkuat kuasa serta-merta pada tarikh berikutan tarikh penyiaran Akta yang dicadangkan dalam Warta menurut seksyen 19 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388].

ii. Fasal 2 Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun.

iii. Fasal 3 Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Subfasal 3(a) bertujuan untuk meminda perenggan (a) Fasal (1) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun. Pindaan ini akan membenarkan lebih ramai warganegara Malaysia untuk mengundi.

Pada masa kini, seseorang dikehendaki untuk memohon bagi pendaftaran sebagai seorang pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya dan tarikh kelayakan dalam perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada tarikh permohonan itu.

Subfasal 3(b) bertujuan untuk meminda takrif “tarikh kelayakan” dalam perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 untuk memberikannya maksud sebagai tarikh seseorang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya.

Dengan pindaan ini, apabila seseorang warganegara mencapai umur lapan belas tahun dan layak untuk mengundi, dia akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.


iv. Fasal 4 Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda seksyen 5 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Undangan daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun serupa seperti pindaan yang dicadangkan kepada Perkara 47 dalam fasal 2.

20. Perincian kepada perkara-perkara berkaitan dengan pindaan ini adalah seperti mana dinyatakan di dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019, seperti mana dalam rang yang telah diedarkan di dalam Dewan Yang Mulia ini untuk tatapan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Tuan Yang di-Pertua,

21. Sekiranya pindaan kepada ketiga-tiga perkara ini diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini, dalam melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan-pindaan tersebut, maka beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat.

22. Bagi membolehkan penurunan had umur calon Dewan Undangan Negeri dilaksanakan, Kerajaan Negeri disaran untuk membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan di dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing. Dewan Yang Mulia ini menyeru dan berkeyakinan penuh bahawa Kerajaan Negeri akan menyokong pindaan ini dan akan turut meminda peruntukan yang berkaitan.

23. Justeru itu, saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, agar sama-sama merealisasikan hasrat kita semua untuk membuka peluang kepada anak-anak muda menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negara.

Tuan Yang di-Pertua,

24. Adalah diharap pengundi-pengundi muda akan mengambil peluang dari pindaan ini untuk lebih arif dalam politik negara dan mengundi dengan penuh tanggungjawab.

25. Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya berperanan memberikan kesedaran proses demokrasi seawal peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah ke institusi pengajian tinggi.

26. SPR memainkan peranan penting melalui Akademi Pilihan Raya yang telah pun memulakan usaha mempromosi kesedaran demokrasi sejak tahun 2007 lagi. SPR akan terus menggandakan usaha ini bersama agensi-agensi kerajaan yang lain, parti-parti politik, NGO, masyarakat sivil dan juga media massa untuk mendaulatkan demokrasi di negara ini.

Tuan Yang di-Pertua,

27. Sesungguhnya kita sebagai manusia sentiasa diuji. Pakatan Harapan yang menerajui Kerajaan kini diuji dengan kuasa dan mandat besar yang diberikan rakyat, manakala blok pembangkang pula sedar akan perlunya mereka tegur Kerajaan jika ada apa-apa yang perlu ditegur.

28. Alhamdulillah, sejak peralihan Kerajaan, negara terus aman dan stabil. Keadaan ini membolehkan kita membuat pindaan undang-undang dan memansuhkan undang-undang yang menindas dalam keadaan yang mengikut undang-undang (rule of law). Kita juga menghargai tindakan bi-partisan yang diutama apabila kebaikan negara terlibat.

29. Saya menyeru agar kita sama-sama pastikan kita lulus pindaan ini dengan memberikan sokongan majoriti lebih dua pertiga (2/3) dan mencipta sejarah baharu Malaysia. Sesungguhnya demokrasi masih hidup di Malaysia, dikuatkan dengan tenaga dan akal fikiran anak muda.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Similar Posts:

652 total views, 14 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 3 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top