Ucaptama dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, YAB Perdana Menteri Malaysia bersama Penjawat Awam Negeri Melaka

PRIME MINISTER’S OFFICE

MEDIA STATEMENT

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA UCAPTAMA DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI,
YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA BERSAMA PENJAWAT AWAM NEGERI MELAKA
PADA 10 JUN 2019 (ISNIN), JAM 11.30 PAGI BERTEMPAT DI DEWAN SERI NEGERI,
AYER KEROH, MELAKA.

  1. Terlebih dahulu saya ingin ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana menjemput saya ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka.
  2. Alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada bulan yang mulia ini untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah menjalankan ibadah puasa dalam keadaan tenang dan selesa.
  3. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin saya ucapkan kepada semua hadirin yang hadir pada hari ini.
  4. Bersyukur kita kerana kita juga dapat menikmati serba sedikit rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Bagi yang berkemampuan, ambillah peluang untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang kekurangan.
  5. Nilai dan prinsip yang kita tekankan di bulan Ramadhan dan Syawal itu amat berkait rapat dengan sikap dan tindak tanduk kita sebagai penjawat awam.
  6. Paling utama ialah untuk menahan nafsu. Jika kita kaitkan menahan nafsu itu dengan diri kita ketika menjalankan tangungjawab dan amanah, kita akan sedar antara yang perlu kita bendung adalah – menahan diri dari merasa tamak sehingga melakukan rasuah, menekankan kesabaran supaya kita tidak cepat marah apabila berurusan dengan rakyat, melaksanakan tugas dengan sepenuh hati kerana ianya satu amanah kepada kita.
  7. Begitu juga dengan sikap kita terhadap pekerjaan itu sendiri. Saya bekerja kerana saya percaya ia adalah satu ibadah dan saya terus bekerja, walaupun semasa saya telah bersara dahulu, kerana ibadah tidak ada noktah.
  8. Malahan, jika kita terima kerja yang kita lakukan itu satu amanah dan tanggungjawab serta satu ibadah, maka kita akan bekerja dengan lebih kuat dan mengharap dapat keredhaan dari Allah subhanahu wata’ala.
  9. Sebagai penjawat awam, nilai etika, jati diri dan integriti yang tinggi adalah perkara utama yang perlu kita sama-sama hayati dan amalkan. Walaupun pekerja swasta juga diharap mempunyai nilai yang sama tetapi beban ini lebih diletak di bahu penjawat awam.
  10. Ini kerana penjawat awam bertanggungjawab secara terus terhadap rakyat dan dia adalah pemegang amanah rakyat.
  11. Sekiranya penjawat awam tidak menjaga amanah yang diberikan, maka pincanglah jentera pentadbiran Kerajaan yang akhirnya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada penjawat awam dan menjatuhkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.
  12. Oleh sebab itu, Kerajaan dan rakyat khususnya, mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap penjawat awam agar menjadi jentera pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.
  13. Bagi memastikan dasar Kerajaan diuruskan dengan efisien, penjawat awam perlu ada keazaman untuk baiki dan tingkatkan prestasi agar menjadi lebih cemerlang. Kejayaan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada prestasi setiap pegawai dan prestasi yang unggul oleh jabatan sudah pasti akan meningkatkan kejayaan untuk Kerajaan yang memerintah.
  14. Dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan, kita perlu sentiasa bersedia dan mampu untuk memberi respons serta bertindak dengan cepat dan sempurna. Layanan yang diberikan perlu ikhlas dan mesra agar pelanggan atau rakyat merasa yakin dan percaya dengan keupayaan kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan.
  15. Kita juga perlu peka dan prihatin dengan segala undang-undang, peraturan mahupun pekeliling yang berkuatkuasa terutamanya yang berkaitan dengan bidang tugas kita. Ini adalah untuk mengelakkan daripada membuat keputusan di luar batasan.
  16. Salah satu contoh adalah Panduan Kerja Sektor Awam, Myportfolio yang baru dilancarkan bertujuan untuk pastikan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab dilaksanakan dengan teratur untuk setiap penjawat awam. Ini merupakan usaha berterusan Kerajaan untuk pastikan penyampaian perkhidmatan berada di tahap yang cemerlang.
  17. Saya ingin tekankan bahawa Kerajaan memandang serius isu-isu yang melibatkan gejala rasuah dan salah guna kuasa di dalam perkhidmatan awam. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.
  18. Pelan Antirasuah Nasional ataupun National Anti-Corruption Plan yang komprehensif telah diterbitkan baru-baru ini sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah sama sekali.
  19. Pelan ini dilihat berupaya mengekang budaya rasuah di dalam Negara dan Negeri kita. Usaha ini tidak boleh tercapai dengan mudah dan cepat, tetapi ia harus dimulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti.
  20. Antara langkah yang perlu di ambil bagi menangani amalan rasuah di Negara ini adalah dengan mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan Kerajaan, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, memperkukuh akauntabiliti dan intergriti politik, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mempertingkatkan kredibiliti sistem Perundangan dan Kehakiman.
  21. Penjawat juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk pastikan kita berdaya saing.
  22. Kita sekarang sedang menghadapi Revolusi Perindustrian Ke-empat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi seperti Internet Pelbagai Benda (Internet of Things), Big Data, integrasi sistem dan cloud computing yang akan secara langsung mengubah norma kerja kita.
  23. Lantaran itu, perkhidmatan awam tidak terkecuali dalam arus teknologi ini. Industri 4.0 akan menjadi pemangkin kepada Proses Transformasi Sistem Pentadbiran Kerajaan.
  24. Oleh itu, semua agensi Kerajaan perlu bersama-sama memastikan bahawa penjawat awam tidak ketinggalan sebaliknya akan sentiasa up-to-date dengan kemahiran yang baru melalui pelbagai inisiatif seperti ‘upskilling and reskilling’ sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Kebangsaan Industri 4.0.
  25. Akhir kata, saya berharap penjawat awam semua, khususnya saudara dan saudari yang berkhidmat di Melaka, sedar bahawa tugas yang dilakukan itu adalah sesuatu yang murni jika kita laksana dengan baik. Atas keyakinan ini teruskanlah dengan cemerlang dan InsyaAllah kita akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

    Sekian, Terima kasih.

Similar Posts:

952 total views, 3 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top