Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019 oleh YAB Perdana Menteri

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019
Oleh YAB Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Bin Mohamad
1 Syawal 1440 Hijrah

  1. Alhamdulillah esok kita akan bersama-sama menyambut 1 Syawal 1440 Hijrah. Kita bersyukur kerana kita telah berjaya mengamalkan ibadat puasa tanpa sebarang gangguan.
  2. Bukanlah ini satu perkara yang berlaku dimana-mana sahaja. Ramai umat Islam tidak pun dapat berpuasa kerana keadaan di Negara mereka tidak stabil, bahkan mereka terdedah kepada ancaman yang mungkin meragut nyawa mereka. Ramai dari mereka kebuluran dan mungkin menghadapi maut.
  3. Sebaliknya kita di sini pada hari raya akan nikmati makanan dan juadah berlambak-lambak. Rezeki kita mungkin berlipat ganda. Hampir tidak ada pun seorang kita yang tidak dapat rayakan Aidilfitri dengan sempurna.
  4. Sementara kita nikmati semua ini kita harus ingat bahawa nikmat kita hanya terdapat kepada kita kerana titik peluh orang asing yang bekerja untuk kita. Merekalah yang menitik peluh berusaha supaya keperluan kita sampai kepada kita, termasuklah bekalan makanan. Tanpa mereka Negara kita akan terus jadi Negara miskin yang tidak dapat dibangunkan.
  5. Sesungguhnya nikmat yang banyak yang kita terima bukanlah dari hasil usaha kita. Ia adalah hasil usaha orang lain, samada warga atau orang asing. Fikirlah, semasa kita bergembira dengan nasib baik kita, apakah tahap pembangunan Negara kita jika tidak ada orang asing tetapi kita orang Islam sahaja yang tinggal di Negara bertuah ini.
  6. Bersyukur dengan nikmat adalah sesuatu yang dituntut oleh agama kita, agama Islam. Kita sering berdoa meminta perlindungan dari Allah SWT, meminta kita selamat, tidak ada malapetaka menimpa kita, kesempurnaan hidup mati kita.
  7. Kita juga bersembahyang hajat memohon dari Allah SWT segala kebaikan, menukar nasib buruk kita kepada kesejahteraan.
  8. Tetapi kita harus ingat semasa kita berdoa dan bersembahyang hajat bahawa Allah tidak akan makbulkan permohonan kita melainkan kita sendiri berusaha terhadap memperbaiki nasib kita. Tanpa usaha dari kita tidak mungkin kita hidup selesa.
  9. Umat Islam sekarang ini ditindas dimana-mana sahaja. Jika kita pegang kepada kebenaran dan ajaran Islam seperti terdapat dalam Al-Quran, tentu kita akan sedar bahawa malapetaka yang menimpa kita disebabkan kita tolak tunjuk ajar, panduan dan nasihat yang terdapat dalam Al-Quran, wahyu dari Allah SWT.
  10. Kita tahu orang Islam itu adalah bersaudara. Tetapi kita lihat mereka sering bermusuh sehingga ke tahap peperangan sesama mereka. Kita dilarang membunuh, tetapi kita lihat ramai dari kita membunuh dan terbunuh.
  11. Tidak ada suatu yang lebih diutamakan oleh Islam daripada berlaku adil. Berkali-kali disebut dalam Al-Quran apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Tetapi ramai dari kita menghukum tanpa periksa, mengenepikan keadilan.
  12. Kita berpuasa dan kita bendung nafsu kita dengan tidak makan dan minum di siang hari. Kita berjaya selama 30 hari. Tetapi takkanlah hanya bulan puasa sahaja yang kita harus bendung nafsu kita. Tentulah pada masa-masa lain juga kita perlu bendung nafsu kita. Akan rosak dan gagallah orang Islam jika pada masa lain mereka menurut nafsu. Pada masa lain juga kita perlu bersabar.
  13. Sesungguhnya nasib kita orang Islam di Negara ini amatlah baik. Tanpa usaha dari kita pun kita dapat banyak nikmat.
  14. Kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan gembira, dengan senang lenang di Negara bertuah ini. Buat suatu hari kita boleh lupakan segala yang kita rasai dari ibadat puasa. Kita rayakan sepanjang bulan Syawal, mungkin seterusnya. Tetapi kita akan rugi jika kita terus lupa pelajaran yang kita perolehi pada bulan puasa.
  15. Pada hari Raya Aidilfitri, saya ingin pohon ampun dan maaf akan segala yang tidak baik yang telah saya dan Isteri lakukan sepanjang tahun kepada sesiapa.
  16. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 1440 Hijrah.
  17. Sekali lagi Maaf Zahir dan Batin kepada Muslimin dan Muslimat di Malaysia.

Similar Posts:

1,782 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 + five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top