Ucapan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada Pelancaran Malaysia Future Leaders School (MFLS)

TEKS UCAPAN OLEH YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA MAJLIS PELANCARAN MALAYSIA FUTURE LEADERS SCHOOL (MFLS) PADA 3 MEI 2019 (JUMAAT), JAM 8.30 MALAM, BERTEMPAT DI DEWAN TUNKU CANSELOR, UNIVERSITI MALAYA

  1. Saya ucap terima kasih kerana menjemput saya ke majlis malam ini bagi merasmikan satu inisiatif baharu dan juga program peringkat nasional iaitu Malaysia Future Leaders School (MFLS).
  2. Bersesuaian dengan nama program ini, ianya diharap akan menjadi platform untuk memupuk ciri-ciri kepimpinan serta nilai-nilai murni dikalangan anak-anak muda yang akan mewarisi kepimpinan Negara.
  3. Sudah pasti, harapan kita Malaysia Future Leaders School ini atau secara ringkasnya MLFS, akan berupaya melahirkan barisan kepimpinan muda bertaraf tinggi yang ada nilai dan jati diri yang teguh dan mampu memimpin dengan telus dan berintegriti.
  4. Sudah pasti juga, kita di Malaysia sedar dan menjadi saksi bagaimana kepimpinan yang tidak berintegriti mampu melakukan kerosakan yang teruk kepada Negara dan mungkin terpaksa ditanggung oleh beberapa generasi kemudian.
  5. Saya ingin menyentuh mengenai peranan nilai hidup di dalam pembangunan masyarakat dan bagaimana ia mampu menentukan kejayaan seseorang, sesuatu bangsa dan sesebuah Negara.
  6. Saya percaya jika kita mempunyai nilai yang baik, yang sesuai dan kita amal sehingga menjadi budaya kita, kita pasti akan berjaya.
  7. Kita akan dapati bahawa yang menentukan kejayaan seseorang ialah nilai yang diamalkan dan menjadi budayanya. Kejayaan bukan bergantung kepada warna kulit, bangsa, cuaca atau persekitaran seseorang.
  8. Dalam lain perkataan, yang menentukan kejayaan ialah nilai hidup yang baik yang dijadikan budaya oleh seseorang atau sesuatu kaum sehingga ia menjadi satu cara hidup atau a way of life bagi sesuatu bangsa.
  9. Kerana itu kita perkenalkan Malaysia Future Leaders School dengan tujuan untuk menyemai nilainilai yang baik kepada anak muda kita pada peringkat awal lagi. Harapan kita penerapan nilai-nilai yang baik ketika mereka masih muda akan dapat mereka hayati dan jadikan budaya kehidupan mereka.
  10. Pada bulan Ogos tahun lalu, seperti tahun-tahun sebelumnya sejak tahun 2003 lagi, saya dijemput untuk menyampaikan syarahan mengenai nilai-nilai murni kepada anak-anak muda Jepun di Japan Future Leaders School (JFLS). Setiap kali saya hadir saya diminta untuk menyampaikan syarahan berkenaan topik-topik tertentu tetapi kesemuanya berkisar mengenai kepimpinan untuk masa depan serta nilai-nilai baik yang diperlukan sebagai seorang pemimpin.
  11. Saya merasa program seumpama itu perlu ada di Malaysia kerana ia mampu membentuk golongan pemimpin pelapis atau future-ready leaders yang akan menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor dan bidang pada masa hadapan. Maka saya telah cadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk wujudkan Malaysia Future Leaders School berdasarkan prinsip Japan Future Leaders School tetapi disesuai dengan landskap dan acuan Malaysia.
  12. Maka pada malam ini kita hadir untuk pelancaran program tersebut. Saya ingin ucap tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan kerana telah berjaya menyahut cadangan tersebut.
  13. Pembentukan minda dan nilai di kalangan anak-anak muda hari ini amat berbeza dari generasi yang lalu. Sumber nilai yang dahulu datang secara tradisional dan konvensional – ibu-bapa, guru-guru, didikan agama serta pembelajaran sivik. Sumbernya dikenali dan kredibiliti mereka agak mudah dinilai.
  14. Hari ini, sumber nilai adalah pelbagai. Selain dari sumber tradisional yang saya perkatakan, perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat membuka pelbagai ruang dan menembusi pemikiran seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi muda yang bagaimana pun, kita perlu sedar bahawa penjajahan membesar dengan fenomena ini.
  15. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa perkembangan inovasi teknologi yang pesat memainkan peranan yang besar dalam membentuk pemikiran anak muda.
  16. Terdapat di kalangan anak muda masa kini yang lebih suka merujuk sesuatu perkara di internet dan media sosial tanpa sebarang keperluan kajian terlebih dahulu. Maka terdapat kecenderungan untuk percaya isu-isu yang dikongsi di media sosial tanpa mengesahkan kesahihan isu tersebut. Selain itu anak-anak muda juga kini lebih asyik dengan permainan atas talian – rata-ratanya boleh menyuntik pengaruh dalam pelbagai rupa dan secara tidak langsung membentuk keperibadian mereka.
  17. Walaupun ada kerisauan terhadap pengaruh besar yang negatif dari kepesatan teknologi terhadap generasi muda, kita tidak boleh mengabaikan kesan positif yang mungkin lebih besar kepada masyarakat keseluruhan.
  18. Apakah yang harus kita lakukan di dalam menangani nilai negatif yang mampu mempengaruhi pemikiran generasi muda kita dan di masa yang sama menerima nilai-nilai positif teknologi moden ini yang mampu mengangkat kehidupan kita kepada tahap yang lebih maju dan berjaya?
  19. Keutuhan jati diri dalam jiwa anak-anak muda kita perlu diperkukuhkan. Kita perlu menyedarkan mereka tentang perlunya disiplin diri yang tinggi dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni sepanjang masa. Sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah dan akan berlaku secara sendiri.
  20. Kerana itu kita menyokong program Malaysia Future Leaders School ini kerana ia mampu mengukuh dan menyerlahkan lagi potensi belia. Saya percaya dan yakin ramai daripada kalangan anak-anak muda Malaysia berpotensi untuk menjadi pemimpin yang hebat. Sekiranya diberi peluang dan digilap dengan cara yang betul, mereka ini akan menjadi aset negara yang tidak ternilai harganya.
  21. Jika Malaysia Future Leaders School diperkenal sebagai salah satu pendekatan untuk menerap nilai murni dan kepimpinan dikalangan anak muda kita, menyediakan mereka untuk menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0 adalah pendekatan kita untuk memastikan keupayaan mereka menangani teknologi moden dan berkeupayaan mengguna teknologi tersebut secara positif dan berkesan.
  22. Kerajaan telah perkenalkan Dasar Pandang ke Timur sejak 1982. Walaupun hampir 37 tahun namun masih relevan hingga hari ini. Jepun dan Korea Selatan merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun, bahkan dalam beberapa bidang mereka jauh lebih maju dari negara Barat. Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dibudayakan bagi mencapai matlamat pembangunan negara.
  23. Resipi kejayaan kedua-dua buah negara ini adalah bersandarkan kepada disiplin, kesetiaan kepada negara, keutamaan kepada kehidupan bermasyarakat, penekanan kepada kualiti dan sentiasa mempraktikkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.
  24. Asas sosial dan kebudayaan menjadi teras pembentukan budaya kerja mereka selain semangat patriotik yang menebal dalam diri. Sebagai contoh, pekerja di Jepun sangat teliti dalam melaksanakan tugas demi menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Budaya “teliti” ini telah sebati dalam kehidupan harian mereka dan bukan hanya dalam urusan kerja sahaja.
  25. Rakyat Jepun juga mempunyai sifat malu yang amat tinggi. Mereka malu jika malas bekerja dan malu jika kerja yang mereka lakukan tidak menjadi. Nilai peribadi ini menunjukkan mereka sentiasa berusaha memastikan kesempurnaan dan kejayaan dalam tugas. Inilah hasil didikan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah diri yang telah diterap sejak kecil lagi.
  26. Kita akan cuba terapkan nilai-nilai ini melalui Malaysia Future Leaders School bagi membentuk pemimpin masa hadapan yang mempunyai nilai keperibadian yang tinggi dari aspek integriti, inklusif, kecemerlangan, kesukarelawanan, tanggungjawab, daya saing dan kemasyarakatan.
  27. Saya harap Malaysia Future Leaders School ini tidak hanya memberi manfaat kepada para pesertanya sahaja tetapi turut dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Apa yang kita corakkan kepada anak muda kita pada hari ini bakal menjamin masa depan negara.
  28. Kita tidak boleh halang perubahan. Tetapi apa yang boleh kita buat adalah melengkapkan diri untuk menghadapi perubahan tersebut dengan positif. Kita perlu ada keyakinan yang tinggi dalam diri bahawa kita boleh berjaya dan menjadi lebih baik daripada yang lain, asalkan kita bekerja keras, tidak berputus asa dan sanggup mengulangi usaha tersebut berkali-kali sehingga kita capai apa yang dihasratkan.
  29. Saya yakin kita mampu melahirkan generasi pemimpin yang bertaraf antarabangsa namun masih mengekalkan adab Timur dan jati diri masing-masing. Saya juga percaya bahawa nilai-nilai kepimpinan yang terbaik bakal melahirkan individu cemerlang dalam pelbagai bidang.
  30. Pelbagai kejayaan lain boleh dicapai di peringkat antarabangsa dan ianya akan bermula dengan pucuk pimpinan masa hadapan yang bakal dicorakkan di platform Malaysia Future Leaders School ini.
  31. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Malaysia Future Leaders School.
    Sekian. Terima kasih.

Similar Posts:

1,279 total views, 3 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top