Ucapan Sempena Sambutan Hari Pekerja 2019

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI PEKERJA 2019
TEMA: “PEKERJA AMANAH ASPIRASI NEGARA”
PADA 1 MEI 2019 (RABU), JAM 11.30 PAGI, BERTEMPAT DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC) , PUTRAJAYA

  1. Alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada hari ini bagi menjayakan Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2019. Syabas kepada pihak kesatuan sekerja dan pihak majikan atas komitmen tinggi bagi bersama-sama menjayakan sambutan Hari Pekerja 2019 khusus kepada lebih 14 juta warga pekerja dalam sektor awam dan swasta.
  2. Pekerja Amanah Aspirasi Negara” adalah tema Hari Pekerja pada tahun ini. Tema ini menekankan bagaimana kita rakyat Malaysia khususnya warga pekerja perlu melaksanakan kerja dan tanggungjawab dengan prinsip amanah dan integriti bagi memacu kemakmuran Negara dengan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.
  3. Hubungan tripartisme yang baik antara Kerajaan, pekerja dan majikan menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Sungguhpun ada ketikanya kita mungkin bercanggah pendapat, akhirnya penyelesaian “win-win” atau menang-menang tercapai dan ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan Negara.
  4. Dasar Kerajaan hari ini adalah untuk memberi keutamaan kepada pekerja warganegara Malaysia untuk mendapat peluang pekerjaan. Kerajaan sedar mengenai kadar pengangguran di kalangan belia dan golongan muda serta memahami akan kepentingan untuk memperkasa tenaga kerja dan bakat (talent) tempatan. Ianya juga harus melibatkan semua golongan masyarakat termasuklah mempertingkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
  5. Dalam era Internet of Things (IoT), portal JobsMalaysia versi 2.0 yang baharu, yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia telah menawarkan platform mencari pekerjaan yang lebih fleksibel kepada rakyat untuk meningkatkan penempatan pekerjaan dan mengurangkan ‘mismatch’. Rakyat juga boleh mendapat perkhidmatan JobsMalaysia melalui penganjuran karnival kerjaya yang diadakan secara berkala dari semasa ke semasa.
  6. Jabatan Tenaga Kerja telah berjaya menempatkan 48,372 siswazah dan 122,868 bukan siswazah dalam pelbagai sektor pekerjaan melalui pelbagai aktiviti seperti Karnival Kerjaya, Client Account, Temuduga Terbuka, Program Kerjasama Antara Agensi, Program Penempatan Golongan Khas dan sebagainya.
  7. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan agensi-agensi dibawahnya seperti Talent Corporation (TalentCorp) & Pembangunan Sumber Manusia Berhad memberi tumpuan kepada warganegara melalui inisiatif-inisiatif berikut:
    (i) menarik dan mengekalkan tenaga kerja wanita dengan menggalakkan para majikan untuk melaksanakan konsep ‘Work-Life Practices’ (WLPs) ke arah keseimbangan yang lebih baik antara integrasi kerja dan kehidupan serta menyediakan persekitaran kerja yang mesra keluarga, atau ‘family-friendly’.
    Bagi tujuan ini Kerajaan telah menyediakan insentif pengecualian cukai pendapatan bagi satu tahun taksiran kepada mereka yang telah kembali bekerja mulai 27 Oktober 2017 sehingga 31 Disember 2020. Sehingga akhir tahun 2018, sebanyak 147 organisasi di Malaysia telah menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif WLPs.
    (ii) Peningkatan kemahiran (upskilling) kepada wanita yang kembali aktif dalam tenaga kerja selepas berhenti bekerja melalui inisiatif ‘Career Comeback Programme (CCP)’.
  8. Selain itu, dari tahun 1993 sehingga 2018, sebanyak RM6.38 billion bayaran geran latihan telah disalurkan kepada majikan tempatan berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan majikan besar yang mencarum levi dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Penyaluran dana ini telah diagihkan untuk melaksanakan 1.2 juta peningkatan (upskilling dan reskilling) latihan bagi pekerja tempatan dari seluruh negara.
  9. Kebajikan warga pekerja yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan Negara amat penting bagi Kerajaan. Antara langkah yang diambil ke arah ini termasuklah penyelarasan kadar upah dan gaji yang setimpal, perlindungan keselamatan sosial serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Selain itu beberapa inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah:
    Pertama: Kerajaan telah melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) pada 19 Februari 2019 sebagai panduan dan penanda aras dalam penyelarasan aras gaji pekerja berdasarkan kelayakan, kemahiran dan produktiviti.
    Kedua: Kerajaan juga telah menyeragamkan perbezaan kadar kenaikan gaji minimum dari RM1,000.00 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak kepada RM1,100.00 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. Keputusan ini dibuat untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan yang telah ditetapkan dalam tempoh 100 hari pemerintahan.
    Ketiga: Penguatkuasaan Undang-undang Perburuhan dengan menekankan perlindungan hak-hak dan kebajikan pekerja seperti:
    (i) memperkenalkan kaedah penarafan tempat pekerjaan berdasarkan tahap pematuhan standard perburuhan antarabangsa;
    (ii) pemeriksaan bersepadu terhadap majikan-majikan melibatkan Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) & Pembangunan Sumber Manusia Berhad termasuk memperkenalkan aplikasi ‘One Visit Policy’ bagi tujuan integrasi data dan laporan;
    (iii) peningkatan pendidikan undang-undang perburuhan melalui media massa; dan
    (iv) menggalakkan penyertaan wanita dan golongan pencari kerja ke dalam pasaran buruh melalui peruntukan anti diskriminasi, peningkatan perlindungan bersalin, waktu kerja anjal dan pra-pekerjaan melalui pindaan Akta Kerja 1955.
    Keempat: Memantap dan menguatkuasakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri meliputi perlindungan Skim Bencana Kerja kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti Grab melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789). Kerajaan bercadang memperluaskan pemakaian Akta ini agar lebih ramai golongan bekerja sendiri mendapat perlindungan daripada risiko kemalangan di tempat kerja sebagaimana pekerja dalam sektor formal. Ini termasuklah golongan nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja, penggiat seni dan lain-lain seumpamanya.
    Kelima: Mempertingkatkan perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja bagi memastikan warga pekerja bertugas dengan selamat, sihat, kondusif dan produktif. Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja telah mewujudkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  10. Kerajaan juga sedar betapa pentingnya usaha-usaha penambahbaikan undang-undang perburuhan dan proses guna tenaga di Negara ini bagi mewujudkan mekanisma terbaik dalam menyelesaikan pertikaian majikan-pekerja dalam keadaan yang harmoni.
  11. Secara umum undang-undang perburuhan yang di dalam proses pindaan meliputi standard minimum pekerjaan, kesatuan sekerja, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang bertujuan untuk menambah baik kebajikan dan perlindungan sosial pekerja tanpa menafikan peranan dan sumbangan para majikan dalam pembangunan Negara. Kementerian Sumber Manusia juga telah meminda Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 pada tahun 2017 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 pada tahun 2018.
  12. Kerajaan mensasarkan peningkatan 1 juta keanggotaan pekerja dalam kesatuan sekerja menjelang 2020. Oleh itu, bagi memastikan pekerja mengetahui hak mereka, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses meminda beberapa lagi undang-undang Perburuhan antaranya Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan Akta Kerja 1955.
  13. Kita sekarang sedang menghadapi Revolusi Perindustrian Ke-empat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu seperti Internet of Things, Big Data, artificial intelligence atau AI, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud computing yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden. Ini secara tidak langsung mengkehendaki sektor industri Negara bergerak seiring dengan transformasi digital untuk ekonomi negara terus kekal berdaya saing.
  14. Industri 4.0 juga akan menjadi pemangkin kepada proses transformasi sistem pendidikan TVET.
  15. Kerajaan turut sedar akan kebimbangan rakyat berhubung kebanjiran pekerja asing dalam negara. Kita telah mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan hanya apabila mereka benar-benar diperlukan oleh sektor-sektor yang kurang sambutan pekerja tempatan seperti sektor jenis 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).
  16. Ingin saya tekankan bahawa dasar Kerajaan amat jelas bahawa keutamaan pekerjaan di Malaysia adalah kepada warganegara.
  17. Tetapi perlu juga saya nyatakan bahawa kehadiran pekerja asing ke dalam Negara kita berpunca dari sikap kita yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun kita sebenarnya mampu melakukannya sendiri.
  18. Maka peluang itu direbut oleh pekerja asing. Akhirnya, mereka akan menjadi kaya dan kita pula kekal atau menjadi miskin.
  19. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucap syabas dan tahniah kepada majikan dan pekerja yang bakal menerima anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja 2019 ini dan diharap mereka yang berjaya akan menjadi contoh kepada warga kerja dan para majikan yang lain.
  20. Akhir kata, saya ucap Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pekerja di Malaysia dan kita bersama-sama hayati tema sambutan Hari Pekerja tahun ini – “Pekerja Amanah Aspirasi Negara” – dan jadikan ianya satu kenyataan.
    Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

886 total views, 5 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − thirteen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top