Ucapan YAB Perdana Menteri di Majlis Pelancaran MyPortfolio

MAJLIS PELANCARAN MyPORTFOLIO: PANDUAN KERJA SEKTOR AWAM
PADA 14 MEI 2019 (SELASA), 12.10 TENGAHARI BERTEMPAT DI
PEJABAT PERDANA MENTERI,
PUTRAJAYA

1. Alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada hari ini bagi pelancaran myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam.

2. Saya ucap terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) atas usaha yang berterusan untuk pastikan penyampaian perkhidmatan awam berada di tahap yang cemerlang.

3. Saya diberitahu bahawa myPortfolio ini merupakan satu lagi usaha ke arah tersebut dan ia adalah satu instrumen pengurusan strategik untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan.

4. Sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien dapat membantu rakyat berurusan dengan Kerajaan dengan lebih mudah dan telus.

5. Komuniti perniagaan umpamanya, memerlukan perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan tepat supaya kos operasi menjadi lebih rendah dan kompetitif.

6. Manakala, bagi orang awam, mereka sentiasa mengharapkan pihak Kerajaan memberi perkhidmatan yang terbaik bagi memudahkan segala urusan harian mereka.

7. Mengenai myPortfolio sebagai satu Panduan Kerja Sektor Awam, ia merupakan rujukan dalam penyediaan dokumen berkaitan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab yang lebih teratur di peringkat jabatan dan individu.

8. Inisiatif ini ialah bagi memastikan tidak berlaku kelewatan dan kesilapan dalam pelaksanaan tugas dan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti di Jabatan Kerajaan.

9. myPortfolio diperkenal untuk membolehkan tiap seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat di dalam melaksanakan tugasnya. Malah, mereka juga akan tahu parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawai yang lain.

10. Ini akan memudahkan penyelia memantau status pelaksanaan tugas dan mengambil tindakan pembetulan jika berlaku kelewatan.

11. Selain itu, MAMPU turut mengeluarkan Panduan Penetapan Tempoh Masa dalam Carta Alir yang memperincikan lagi pelaksanaan penyediaan carta alir aktiviti utama di jabatan Kerajaan.

12. Setiap langkah dalam proses kerja dinyatakan dengan jelas tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikannya. Carta alir (work flow chart) ini juga perlu dipaparkan di tempat-tempat strategik agensi-agensi Kerajaan agar mudah dilihat oleh orang awam bagi tujuan panduan dan tindakan mereka.

13. Bagi merealisasikan inisiatif ini, myPortfolio hendaklah difahami oleh semua penjawat awam. Komunikasi yang efektif melalui perbincangan, penerangan, dan latihan berterusan akan mewujudkan penerimaan dan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan.

14. Kesemua usaha yang dinyatakan tadi tidak lain dari langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan keberkesanan sistem penyampaian.

15. Apabila ini tercapai maka Kerajaan akan berupaya mewujudkan persekitaran yang mampu menyokong peningkatan daya saing di peringkat global melalui pelbagai dasar mesra perniagaan. Hasilnya, Malaysia telah menunjukkan pencapaian yang boleh membanggakan dalam pengiktirafan antarabangsa.

16. Dalam laporan Ease of Doing Business Report 2019 oleh World Bank, kedudukan Malaysia telah melonjak dari tempat 24 kepada kedudukan ke-15 dalam kalangan 190 buah negara. Kedudukan ini meletakkan Malaysia mengatasi beberapa buah negara maju seperti Perancis (tangga ke-32), Switzerland (tangga ke-38) dan Jepun (tangga ke-39). Kita juga berada pada kedudukan ke-enam di Asia Pasifik selepas New Zealand, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.

17. Kecemerlangan tadbir urus korporat negara dibuktikan dalam laporan oleh CG Watch Report 2018 yang diterbitkan oleh Asian Corporate Governance Association (ACGA). Laporan ini yang berdasarkan kaji selidik melibatkan lebih daripada 1,000 syarikat, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-empat daripada 12 buah negara Asia Pasifik, berbanding tempat ke-enam pada tahun 2016. Pencapaian ini meletakkan negara kita di hadapan Jepun (ke-7), Korea (ke-9) dan China (ke-10).

18. Pencapaian-pencapaian ini amat penting bagi kita kerana ia mengiktiraf Malaysia ialah sebuah negara yang sesuai dan mesra perniagaan. Selain itu ia juga mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mempunyai tadbir urus korporat yang meyakinkan dan cemerlang. Perniagaan bukan sahaja aktiviti yang utama kepada peningkatan kekayaan Negara, tetapi ia juga menaikkan peluang pekerjaan dan cukai untuk dana Kerajaan.

19. Tetapi, pengiktirafan ini tidak statik dan kita juga tidak harus berpuas hati dan berhenti berusaha memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam yang sedia ada.

20. Akhir sekali, saya ingin memperingati semua anggota Kerajaan bahawa sistem atau cara melakukan sesuatu, walau bagaimana baik sekalipun, tidak akan berjaya jika pengamal sistem tidak gunanya dengan jujur, disiplin dan semangat.

21. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

216 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top