Ucapan di Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN
KALI KE-48 TAHUN 2019
TEMA: “GURU, OBOR HEMAH MENYINARI PERTIWI”
PADA 16 MEI 2019 (KHAMIS) PADA JAM 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI SETIA SPICE CONVENTION CENTRE, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG

  1. Terlebih dahulu saya ingin nyatakan bahawa setiap kali saya dijemput menghadiri sambutan Hari Guru saya merasa sangat tersentuh kerana seperti orang lain, kehidupan saya pada hari ini adalah hasil acuan dari setiap orang guru yang pernah mendidik saya.
  2. Jika saya dianggap berjaya, ia adalah hasil dari didikan baik yang saya terima dari guru-guru saya di samping ibu bapa. Jika ada kekurangan pada diri saya ianya bukanlah kerana ajaran yang tidak cukup dari guru-guru saya tetapi adalah kekurangan dari diri saya yang gagal menerima sepenuhnya ajaran dari guru-guru tersebut.
  3. Di dalam mana-mana tradisi, agama, adat dan budaya, guru-guru diletakkan di kedudukan yang amat tinggi, ada kalanya sebaris dengan ibu-bapa dan penjaga anak-anak kita.
  4. Guru-guru dimuliakan kerana tugasnya amat murni iaitu mendidik anak-anak supaya mereka bersedia untuk melalui cabaran apabila dewasa dan di samping itu, berpegang kepada nilai-nilai murni serta prinsip-prinsip sejagat yang menyeru kepada kebaikan dan menentang kejahatan.
  5. Kerana itu saya merasa amat bertuah dan bersyukur kerana berada di sini pada hari ini. Alhamdulillah, buat ke sekian kalinya, kita dapat bersama-sama berhimpun untuk meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-48. Saya ucap Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara. Apabila seseorang itu bergelar guru atau cikgu, ia akan kekal sepanjang hayatnya. Tidak pernah ada orang yang akan berhenti memanggil gurunya cikgu tidak kira berapa tinggi jawatannya atau sejauh mana dia telah pergi.
  6. Setiap tahun pada 16 Mei, sambutan Hari Guru diadakan dan ia adalah tanda pengiktirafan tertinggi Kerajaan terhadap peranan dan sumbangan guru-guru mendidik anak bangsa untuk memacu kemajuan negara.
  7. Guru adalah secara langsung pemacu perubahan kerana mereka memastikan sistem pendidikan Negara berkemampuan untuk melahirkan generasi baru pengganti kepada generasi terdahulu.
  8. Anak-anak ini seringkali diserahkan ke tangan guru-guru pada usia yang masih muda, di waktu mereka masih mentah dan boleh dicorakkan mengikut acuan pendidik mereka.
  9. Jika guru-guru gagal mendidik, gagal mengisi generasi akan datang dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni, Negara akan menghadapi defisit modal insan.
  10. Dalam lain perkataan, jika guru-guru gagal atau tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, bukan sahaja masa depan anak-anak bangsa akan gelap, masa depan Negara turut kelam.
  11. Begitu besar pengharapan dan amanah yang terletak di bahu guru-guru dan kerana itu mereka menjadi insan terpilih.
  12. Memang benar setiap manusia yang berpelajaran mampu mengajar dan berkongsi pengetahuan dengan pelajarnya. Tetapi untuk menjadi seorang pendidik, seorang guru, ia memerlukan satu tekad bahawa tugasnya itu satu tanggungjawab serta satu amanah yang mana beliau mesti berusaha sedaya mungkin untuk menjadikan muridnya terpelajar, berhati mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni, berakhlak dan bersedia pula untuk berkorban seperti gurunya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
  13. Tema sambutan tahun ini ialah “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi” mencerminkan apa yang telah saya perkatakan tadi. Guru-guru sering menjadi sinar kepada murid-muridnya untuk mereka mencari jalan dan landasan masa depan mereka.
  14. Tema pada tahun ini menggambarkan tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen seorang pendidik dalam menghayati profesion keguruan.
  15. Kerana itu juga, mereka yang bergelar guru mesti seorang yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai teladan kepada murid.
  16. Kerajaan sedar bahawa pendidikan merupakan satu bidang penting dalam membangunkan modal insan demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran masa depan negara. Oleh itu, kita akan terus berusaha untuk memperkukuh agenda pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju dan inklusif.
  17. Komitmen ini dinyatakan dalam Belanjawan 2019 apabila Kementerian Pendidikan Malaysia diberi peruntukan berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan tahun 2019. Peruntukan bantuan pendidikan sebanyak RM2.9 bilion turut disediakan untuk golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.
  18. Kerajaan juga komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kelestarian pendidikan negara setanding dengan negara lain di persada antarabangsa. Perkara ini selaras dengan hasrat pihak UNESCO yang memperjuangkan Education Sustainable Development atau Pembangunan Pendidikan Lestari. Ia bertujuan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal).
  19. Dalam konteks ini, disasarkan menjelang 2030, semua kanak-kanak lelaki dan perempuan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta diberi peluang mengikuti pembelajaran sepanjang hayat. Bagi memastikan semua warganegara mendapat akses pendidikan, kerajaan berusaha menyediakan prasarana dan infrastruktur pendidikan berkualiti demi memenuhi aspirasi sistem dan aspirasi murid.
  20. Menurut Laporan Forum Ekonomi Dunia, Indeks Pendidikan Berkualiti 2018 menunjukkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dari 141 negara di seluruh dunia. Pencapaian ini menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul dan diiktiraf sebagai sebuah negara yang kompetitif dan progresif dalam bidang pendidikan berbanding beberapa negara maju yang lain. Namun begitu, penambahbaikan perlu berterusan dan kita perlu bersedia dan menyediakan murid-murid kita untuk menghadapi perubahan-perubahan disruptif hasil dari teknologi-teknologi baru dan canggih.
  21. Sistem pendidikan negara hari ini yang berhadapan dengan cabaran yang tersebut memerlukan satu anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungannya terus relevan. Ledakan teknologi dan revolusi digital menyaksikan perubahan drastik ke atas persekitaran global. Ini memerlukan usaha kolaboratif daripada semua pihak demi memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan perkembangan teknologi.
  22. Di samping kita mengejar kejayaan akademik, saya ingin tegaskan tiga nilai yang perlu dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia untuk kekal maju serta berjaya dalam sesuatu bidang yang diceburi iaitu sifat rajin, amanah dan berdisiplin. Jika ada tiga nilai ini, kita pasti akan menjadi bangsa yang berjaya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta para guru untuk menerapkan nilai-nilai tersebut di kalangan murid-murid kerana jika penerapan ini di mula pada peringkat awal lagi, ia berkeupayaan menjadi satu budaya.
  23. Kerana itu saya masih menekan kepada Dasar Pandang ke Timur kerana di Negara-negara maju seperti Jepun dan Korea, pencapaian mereka sehingga disegani dunia bukan hanya kerana kemajuan mereka dalam pelbagai bidang, tetapi kerana disiplin, rajin serta amanah dan disemai pula dengan semangat patriotisme.
  24. Kerajaan sedar bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah penting untuk memastikan setiap murid dapat menguasai ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah. Pada masa yang sama, kita harus sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid juga amat penting bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih baik.
  25. Selaras dengan usaha menggalakkan murid-murid menguasai kemahiran dwibahasa, Kementerian melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Inggeris melalui dua program iaitu Program Imersif Tinggi (Highly Immersive Programme) dan Program Dwibahasa (Dual Language Programme).
  26. Pada tahun 2018, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Program Highly Immersive Programme di 10,000 buah sekolah seluruh negara dan pada tahun ini, Highly Immersive Programme diperluas ke semua institusi pendidikan di bawah Kementerian. Program Dual Language Programme pula memberi peluang kepada murid untuk mengguna pakai bahasa Inggeris melalui mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka Bentuk dan Teknologi. Dual Language Programme membolehkan masyarakat Malaysia meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat global sebagaimana dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
    2025.
  27. Negara kita sedang menuju Industri Revolusi 4.0 atau ringkasnya IR 4.0, maka para guru perlu menanamkan minat dan kesedaran untuk mempelajari serta menguasai mata pelajaran yang berasaskan Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Teknologi. Justeru, pendidik perlu terus sensitif terhadap perubahan arus dunia pendidikan yang kini bergerak dengan pantas.
  28. Dalam abad ke-21, senario pendidikan secara global berkembang dengan begitu pesat. Arus globalisasi telah membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia. Bagi memastikan pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kerajaan telah memberi tumpuan khusus kepada program Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).
  29. Pendidikan TVET bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah penting untuk Malaysia menghadapi IR 4.0. Dalam konteks ini, kemampuan graduan dan tenaga pengajar TVET di institusi latihan perindustrian dilihat mampu menghasilkan ciptaan yang belum pernah dihasilkan sebelum ini.
  30. Sistem pendidikan TVET akan terus berperanan sebagai game changer dalam menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta menjadi enjin pembangunan negara. Oleh itu, Kementerian Pendidikan sebagai penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional mestilah terus komited dalam memperkasa kerjasama antara industri dan mempergiat kolaborasi merentas institusi TVET.
  31. Saya menyarankan agar lebih ramai pemain industri utama di Malaysia bergiat aktif dalam membangunkan modal insan dan menyokong pendidikan TVET. Mereka juga diharap membantu untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja terutama graduan dalam bidang TVET.
  32. Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam hal ini, pelbagai program latihan dalam perkhidmatan telah dilaksanakan oleh Kementerian untuk meningkatkan profesion guru selain memastikan guru dan murid mendapat kemudahan yang selesa di sekolah.
  33. Pada tahun 2019, Kerajaan berusaha menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta berbanding RM615 juta pada tahun sebelumnya. Kerajaan turut prihatin dan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan penyelenggaraan sekolah-sekolah daif di Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak.
  34. Selain itu, dalam usaha untuk menjayakan agenda pendidikan negara tidak seharusnya diletakkan semata-mata di bahu guru. Peranan ibu bapa tidak kurang penting bagi menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibu bapa boleh melibatkan diri melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu meningkat prestasi sekolah. Dalam konteks ini, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti boleh memainkan peranan yang proaktif bagi menggalakkan ibu bapa dan sektor swasta untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu guru-guru dalam meningkatkan pencapaian anak-anak kita.
  35. Selain itu, semua dasar kerajaan dalam bidang pendidikan memerlukan sokongan padu para guru di seluruh pelosok negara. Tanpa sokongan guru-guru, agak sukar untuk kita mencapai segala cita-cita murni yang dihasratkan selama ini. Oleh itu, saya amat berharap guru-guru sekalian dapat berdiri teguh bersama Kerajaan dalam menunaikan amanah dan kewajipan bagi melaksanakan setiap dasar ini demi masa depan negara yang tercinta.
  36. Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin ucap syabas dan tahniah kepada penerima anugerah yang terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang ke-48 pada tahun ini. Kepada semua guru-guru di Malaysia, sekali lagi saya ucap Selamat Hari Guru. Teruskan usaha-usaha murni tersebut dan yakinlah ianya satu amanah dan tugas yang mulia. Semoga para guru akan diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan.
    SELAMAT HARI GURU.
    SEKIAN DAN TERIMA KASIH CIKGU.

Similar Posts:

1,937 total views, 14 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + seven =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top