Ucapan Sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS LAWATAN DAN SESI MENANAM POKOK SEMPENA HARI BUMI SEDUNIA (EARTH DAY)
PADA 20 APRIL 2019 (SABTU), JAM 9.00 PAGI BERTEMPAT DI TAMAN TUGU, JALAN PARLIMEN,
KUALA LUMPUR

  1. Pertamanya, saya ingin ucap terima kasih kepada pihak Khazanah kerana menjemput saya untuk bersama hadirin sekalian pada pagi ini untuk meraikan Hari Bumi atau dikenali sebagai Earth Day di peringkat antarabangsa.
  2. Hari Bumi sebagaimana yang kita semua tahu adalah acara tahunan yang disambut di seluruh dunia pada 22 April. Ia mula disambut pada tahun 1970 dan ia adalah hari untuk orang ramai meraikan planet Bumi dan menekankan betapa pentingnya untuk kita semua memelihara alam sekitar untuk generasi sekarang dan akan datang.
  3. Mesej Hari Bumi ini amat jelas – di waktu kita berusaha untuk membangun Negara kita tidak harus lupa betapa pentingnya untuk kita mengekal dan memelihara alam semula jadi dan persekitaran kita.
  4. Kesedaran yang ingin diterapkan amat jelas iaitu memelihara alam dan persekitaran semulajadi adalah satu tanggungjawab persendirian dan kolektif, dan tanggungjawab ini perlu berterusan dalam apa keadaan sekalipun.
  5. Kita telah melihat kesan akibat dari pembangunan yang tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata. Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan-bangunan pencakar langit tetapi sungai-sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar.
  6. Dalam lain perkataan, kita akan hanya berjaya menjadi sebuah Negara maju apabila kita berupaya memastikan pembangunan fizikal Negara beriringan dengan pemeliharaan alam semulajadi dan kehijauan kawasan persekitaran.
  7. Pada hari ini kita meraikan Hari Bumi di Taman Tugu, sebuah taman rimba seluas 26.7 hektar yang terletak di tengah-tengah hutan konkrit di bandaraya Kuala Lumpur. Taman Tugu ini wujud sebagai bukti kepada komitmen kita untuk memastikan pembangunan yang seimbang iaitu pembangunan fizikal yang beriringan dengan pemeliharaan alam sekitar.
  8. Saya difahamkan bahawa kira-kira 4,000 batang pokok hutan hujan asli Malaysia telah ditanam di sekitar Taman Tugu ini. Ini adalah tambahan kepada kira-kira 1,000 batang pokok asal di sini yang terpelihara. Kerana itu pemilihan tapak Taman Tugu untuk sambutan Hari Bumi pada tahun ini cukup bermakna dan amat simbolik.
  9. Selain memelihara dan meningkatkan kawasan hijau ini, Projek Taman Tugu, saya juga diberitahu ia turut bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pencinta alam menerusi program pendidikan awam yang dijalankan khususnya pada hujung minggu. Saya turut diberitahu bahawa sejak dibuka kepada orang ramai pada bulan Ogos 2018, Taman Tugu telah berjaya menarik kira-kira 30,000 orang pengunjung dari dalam dan luar Negara.
  10. Pastinya, jika setiap pengunjung yang datang ke Taman Tugu dapat membawa balik mesej yang sama kepada ahli keluarga dan rakan taulan masing-masing mengenai pentingnya memelihara alam sekitar dan mempertahankan kawasan hijau, saya percaya peningkatan kesedaran itu akan akhirnya menjadi sesuatu
    yang spontan dan tidak perlu kepada sebarang kempen dan peringatan.
  11. Kehadiran pada hari ini, terutamanya dari kalangan generasi muda memberi kita keyakinan bahawa usaha kita untuk mempertahankan persekitaran ini tidak sia-sia malahan kesedaran ini akan berkembang di kalangan rakyat.
  12. Atas sebab ini, saya yakin Taman Tugu ini serta lain-lain persekitaran semulajadi yang telah kita pertahankan akan kekal untuk generasi akan datang.
  13. Sebagai penutup saya sekali lagi ingin ucap selamat menyambut Hari Bumi dan semoga kesedaran yang cuba kita terap pada hari ini akan dikongsi oleh semua rakyat Malaysia.
    Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

57 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top