Ucapan Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019

TEKS UCAPAN MENGGULUNG PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2019
OLEH YAB PERDANA MENTERI
9 APRIL 2019 (SELASA)

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang telah saya bentangkan.
  2. Saya telah mendengar dengan teliti sesi perbahasan yang berlangsung dan dapat menyimpulkan bahawa secara umumnya majoriti Ahli Dewan menyokong pindaan yang dicadangkan ini walaupun ada yang menyokong secara bersyarat. Tetapi secara dasarnya pindaan ini diterima baik oleh semua.
  3. Sebagaimana yang telah saya jelaskan, pindaan ini ialah manifestasi langkah pertama Kerajaan Pakatan Harapan menterjemah hasrat rakyat di Negeri Sabah dan Sarawak yang mahukan status Sabah dan Sarawak dikembalikan kepada kedudukan semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Ini selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963.

    Tuan Yang di-Pertua,
  4. Berdasarkan perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebentar tadi, saya dapati Ahli-Ahli Yang Berhormat agak keliru dengan sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya pembentukan Persekutuan Malaysia. Izinkan saya untuk memperjelaskan sedikit sejarah mengenai pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan juga pembentukan Persekutuan Malaysia.
  5. Apa yang Kerajaan bentangkan melalui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini hendaklah difahami dan dihayati dengan mendalam. Kerajaan Persekutuan ingin menjelaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu yang telah dibentuk pada tahun 1957 merupakan satu daripada pihak yang memeterai Perjanjian Malaysia 1963.
  6. Saya ingin mengingatkan kembali ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Negeri-Negeri Tanah Melayu telah dibentuk hasil daripada persetujuan antara Negeri-Negeri Melayu dengan Kerajaan British yang juga bersetuju untuk melepas kedaulatan British ke atas Negeri-Negeri Selat.
  7. Persekutuan Tanah Melayu 1957 lahir daripada persetujuan yang telah dicapai antara Kerajaan British dengan Negeri-Negeri Melayu yang lebih awal telah bersatu
    di bawah Perjanjian Persekutuan 1948. Perjanjian Persekutuan 1948 jika kita masih ingat lagi merupakan hasil daripada perjuangan rakyat di Negeri-Negeri Melayu yang menentang Malayan Union.
  8. Oleh itu, apabila Persekutuan Tanah Melayu 1957 bersetuju untuk bersatu dengan Negeri Sabah dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (Straits Settlements) telah pun mempunyai entiti dan identiti sendiri dan bersedia menerima Sabah dan Sarawak sebagai satu keluarga dalam sebuah Persekutuan Malaysia. Persekutuan Tanah Melayu 1957 juga bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia tanpa melaungkan dan menekan nama dan identiti Persekutuan Tanah Melayu 1957.
    Tuan Yang di Pertua,
  9. Kerajaan berpandangan bahawa selaras dengan Persekutuan Malaysia yang telah terbentuk dan berjalan mengikut landasan dan sistem Federalisme Negara ini, ahli-ahli Yang Berhormat merupakan ahli Parlimen iaitu suatu Badan Perundangan di peringkat Persekutuan yang sebenarnya mewakili kawasan masing-masing untuk kebaikan dan masa depan Persekutuan dan setiap kawasan atau konstituensi mempunyai hak yang sama untuk bersuara dan mewakili semua rakyat dalam konstituensi masing-masing di peringkat Persekutuan.
  10. Sebagai perbandingan kita lihat Negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Amerika Syarikat. Sistem federalisme yang diamalkan di Negara itu adalah berdasarkan Perlembagaan negara itu di mana Negeri-Negeri yang membentuk Amerika Syarikat mempunyai hak dan obligasi sebagai anggota dalam Persekutuan. Hak, kuasa dan obligasi Negeri-Negeri yang merupakan anggota dalam suatu Persekutuan (United States of America) diperuntukkan juga dalam Senarai Persekutuan, Negeri dan Senarai Bersama sebagai mana yang diamalkan di Malaysia tetapi bersesuaian dengan sistem politik dan kompromi yang telah dicapai antara Persekutuan dan Negeri.
  11. Dalam sesuatu Federalisme, kita perlulah menghormati hak dan obligasi setiap rakan kongsi yang membentuk Persekutuan. Oleh itu dalam menghayati konsep equal partnership di negara ini, sekiranya telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa Kerajaaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam sesuatu hal atau perkara maka hak dan kuasa tersebut hendaklah terus dilaksanakan dan terus diberikan kebebasan dan kuasa untuk menjalankan tanggungjawab tersebut demi kemakmuran dan masa depan Negara. Sekiranya pihak Sabah dan Sarawak berhasrat untuk berkongsi kuasa tersebut maka perkara ini haruslah dirundingkan bersama-sama dalam Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.

    Tuan Yang di Pertua,
  12. Izinkan saya untuk mengulas beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen semasa perbahasan tadi.
  13. Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini untuk meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan khususnya YB Kinabatangan, YB Port Dickson, Batang Sadong, YB Ketereh, YB Pontian, YB Santubong, YB Kota Bharu dan banyak lagi dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
  14. Seperti mana yang telah saya sebutkan dalam ucapan pembentangan saya tadi, pindaan ini dibuat sebagai langkah pertama dalam merealisasikan harapan dan aspirasi Kerajaan dan rakyat Negeri Sabah dan Sarawak, di mana pindaan ini adalah untuk menyatakan bahawa perjanjian yang dibuat adalah antara tiga entiti, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kedudukan Persekutuan Tanah Melayu tidak berubah. Sebaliknya ia menjadi sebahagian daripada Kerajaan Malaysia bersama dengan wakil Sabah dan Sarawak.
  15. Kerajaan yang ditubuhkan ini adalah Kerajaan seluruh Malaysia. Ia tidak sama dengan Kerajaan Persekutuan yang asal, walaupun perjanjian antara Negeri-negeri di Semenanjung masih kekal. Select Comittee seperti yang diutarakan oleh YB Kinabatangan, YB Batang Sadong, YB Ayer Hitam, YB Ketereh dan ramai lagi, pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 ini telah dipersetujui dalam Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 dan merupakan langkah pertama yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk merealisasikan harapan dan aspirasi rakyat Negeri Sabah dan Sarawak. Kerajaan Pakatan Harapan berpandangan bahawa rujukan kepada Select Committee mengenai Rang Undang-undang ini adalah tidak perlu memandangkan tujuan pindaan ini adalah amat jelas iaitu untuk memperuntukkan semula peruntukan mengenai negeri-negeri Persekutuan sebagaimana kedudukan peruntukan tersebut semasa Persekutuan Malaysia dibentuk, dengan ubahsuaian yang perlu. Seperti yang telah dijelaskan Kerajaan sedang menjalankan usaha merealisasikan tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak melalui semua perbincangan dan rundingan yang dijalankan dalam initiatif Jawatankuasa khas Kabinet untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
  16. Jika ada tuntutan khusus berkenaan hubungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, ketiga-tiga entiti ini boleh runding menyelesaikan tuntutan dari mana-mana pihak.
  17. Mengenai kebimbangan dan persoalan yang dikemukakan oleh YB Kinabatangan dan YB Pengerang, seperti mana yang telah saya maklumkan, pindaan yang dicadangkan terhadap Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tidak akan mengubah usaha rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sedang diadakan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963. Usaha rundingan tersebut masih akan diteruskan. YB Pengerang juga membangkitkan isu implikasi pindaan ini sama ada ia akan mengubah taraf Negeri Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini, Tuan Yang di-Pertua, seperti yang saya nyatakan tadi pindaan ini akan mengembalikan peruntukan asal dan status Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana Perjanjian Malaysia 1963 dimeterai. Pindaan ini juga tidak akan menjejaskan apa-apa kedudukan sedia ada semua Negeri di Malaysia, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkaitan. Pindaan ini merupakan langkah pertama oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk merealisasikan harapan dan aspirasi rakyat Negeri Sabah dan Sarawak. Pindaan lain yang wajar akan menyusul daripada rundingan yang sedang giat dijalankan.

    Tuan Yang di-Pertua,
  18. Mengenai dengan konsep federalisme yang dibangkitkan oleh YB Pontian dan YB Kinabatangan, Kerajaan telah bersetuju untuk memotong perkara ini dalam Huraian seperti mana yang dipohon seperti yang telah saya nyatakan tadi. Dalam hal ini, konsep federalisme memang telah termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Walau apa pun yang dibahaskan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipatuhi memandangkan ia merupakan undang-undang utama Negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan berteraskan keluhuran Perlembagaan.
  19. YB Pontian juga ada membangkitkan isu mengenai rujukan kepada Majlis Raja-Raja mengenai pindaan ini. Dalam hal ini, ingin saya jelaskan bahawa pindaan ini tidak secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja dan oleh itu, tiada keperluan untuk pindaan ini dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.
  20. Selain itu, YB Pontian, Bintulu dan Keningau ada membangkitkan isu autonomi Sabah dan Sarawak khususnya berkenaan dengan royalti minyak. Seperti yang saya tegaskan tadi, perkara ini merupakan perkara yang masih boleh dibincang dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia dan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
  21. Kerajaan juga mengambil maklum bahawa YB Santubong dan YB Kota Bharu telah membangkitkan isu berkenaan had laut wilayah. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, isu ini sememangnya merupakan antara isu yang sedang dirundingkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan akan terus dirunding.
  22. Selain itu, YB Ketereh dan YB Petrajaya juga ada membangkitkan isu mengenai rujukan pindaan ini kepada Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak atau Consultative Committee yang ditubuhkan di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Dewan yang mulia ini, dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan mengenai keperluan untuk mendapatkan restu Dewan Undangan Negeri Sarawak mengenai keputusan untuk membentangkan rang undang-undang yang melibatkan hal ehwal Sabah dan Sarawak di Parlimen.

    Tuan Yang di-Pertua,
  23. Saya turut mengambil maklum permohonan YB Tumpat agar wakil-wakil negeri lain turut dijemput sebagai anggota dalam perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Dalam hal ini, dalam perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut Kerajaan Persekutuan sentiasa menjaga kepentingan dan hak-hak Negeri-Negeri lain yang sama-sama membentuk Malaysia secara keseluruhan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, YB Tumpat tidak perlulah risau kerana rundingan tersebut dibuat secara adil berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa. Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut akan terus membuat rundingan sehinggalah suatu keputusan yang dapat memuaskan hati semua pihak dapat dicapai.

    Tuan Yang di-Pertua,
  24. Kerajaan juga menerima baik usaha kerajaan terdahulu berunding dengan Negeri Sabah dan Sarawak devolution of authority seperti mana yang dimaklumkan oleh YB Batang Sadong dan juga YB Kimanis. Malangnya, Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi proses devolution tersebut tidak diiktirafkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak sendiri pada masa itu.
  25. Dalam hal ini, Kerajaan juga mengambil maklum hasrat kebanyakan Ahli-Ahli Dewan ini yang turut mahu mempunyai suara dalam Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang ditubuhkan. Oleh yang demikian, Kerajaan tiada halangan agar perkara ini, dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen boleh ditubuhkan untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Ini kerana Kerajaan sedar bahawa tiada Ahli-ahli Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan ini boleh memberikan peluang kepada ahli Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Dalam konteks ini, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan dijemput untuk menjadi salah seorang Ahli tetap dalam Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut. Keahlian Jawantakuasa Khas Parlimen ini akan melibatkan Ahli-ahli Parlimen dari pelbagai komposisi parti dalam Parlimen.
  26. Pada masa yang sama, Kerajaan mengambil maklum daripada Kerajaan Negeri Sarawak bahawa pembentukan Malaysia adalah lanjutan daripada Perjanjian Malaysia 1963, dengan izin (pursuant to the Malaysia Agreement 1963).
  27. Dengan itu, saya memohon sokongan penuh Ahli-ahli Berhormat sekalian untuk rang undang-undang ini diluluskan.
    Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

507 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 10 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top