Ucapan di Majlis Pelancaran Malaysia Autoshow 2019

MAJLIS PELANCARAN MALAYSIA AUTOSHOW 2019
PADA 11 APRIL 2018 (KHAMIS), 11.00 PAGI BERTEMPAT DI MAEPS, SERDANG

  1. Pertama sekali, saya ingin ucap tahniah kepada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia, atau Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), sebuah agensi di bawah
    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di atas penganjuran Malaysia Autoshow 2019 yang diterima umum sebagai pameran kenderaan terbesar di Malaysia.
  2. Saya difahamkan sebanyak 32 syarikat pengeluar kenderaan (OEM) dan 170 pameran dari 7 negara mengambil bahagian dalam Malaysia Autoshow 2019 kali ini.
  3. Saya juga diberitahu, bahawa pameran yang merupakan kali kelima diadakan dijangka akan berjaya menarik minat seramai hampir 350,000 pengunjung dari dalam dan luar Negara.
  4. Kehadiran sebegini ramai adalah satu pengiktirafan kepada MARii sebagai penganjur dan juga kepada Autoshow ini sendiri iaitu ianya diterima sebagai satu pameran kenderaan yang berprestij dan berupaya terus menarik ramai pengunjung hingga ke edisi yang kelima ini.
  5. Sudah pasti kehadiran mereka bukanlah semata-mata untuk melihat kenderaan-kenderaan yang dipamerkan semata-mata. Di dalam Autoshow yang sebegini besar, sudah tentu ramai
    dikalangan pengunjung menyedari dan memerhati peluang-peluang dan potensi-potensi perniagaan yang wujud.
  6. Dengan tema “Mobility for All” pameran ini saya percaya akan mempamerkan kenderaankenderaan terbaharu dalam pasaran. Saya pasti setiap syarikat yang mempamerkan model-model yang menarik akan turut mengambil peluang untuk memperlihatkan teknologi terbaru dan canggih yang dimiliki oleh kenderaan mereka.
  7. Selain kemajuan teknologi, pastinya, ciri-ciri keselamatan automotif juga akan diperlihatkan.
  8. Saya yakin penganjur Malaysia Autoshow 2019 juga menekankan usaha-usaha dalam menggalakkan tahap penggunaan Kenderaan Cekap Tenaga, atau EEV (Energy Efficient
    Vehicle), kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan. Pameran ini akan memperlihatkan komitmen Kerajaan untuk meletakkan industri automotif Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan kompetitif di peringkat global selaras dengan hasrat Dasar Automotif Nasional.
  9. Perancangan untuk pembangunan industri automotif adalah berdasarkan pendekatan untuk membudayakan Malaysia dengan teknologi-teknologi masa depan yang canggih dan seterusnya menjadikan kita sebagai sebuah Negara industri yang sistematik dan lestari. Pendekatan yang diambil adalah berasaskan teknologi tinggi, yang menumpukan kepada pelaburan strategik dalam pembangunan rantaian bekalan tempatan dan peluang-peluang perniagaan baharu yang bersifat inovatif.
  10. Di samping itu, sektor automotif dapat menjana “spin-off” bagi keseluruhan ekonomi Malaysia agar dapat diselaraskan dengan perkembangan global.
  11. Di Malaysia, terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan, merangkumi jenama nasional dan antarabangsa. Di samping itu, terdapat lebih dari 700 vendor, 53,000 pengedar, penjual dan
    pusat servis, dan juga lebih 700 ribu individu yang bekerja di dalam sektor automotif dan mobiliti.
  12. Pada tahun lepas, berdasarkan statistik oleh Persatuan Automotif Malayia (MAA), penjualan kenderaan adalah sebanyak 598,714 unit. Ini merupakan peningkatan sebanyak 3.8% daripada tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, 62% daripadanya adalah EEV. Dari segi eksport pula, Malaysia telah mengeksport kenderaan berjumlah RM2 billion, dan eksport komponen automotif tempatan telah mencecah RM12 billion.
  13. Berdasarkan pencapaian tersebut, ternyata industri automotif merupakan sebuah industri yang penting kepada negara termasuk pembangunan keseluruhan ekosistem sektor automotif. Saya yakin hasrat Malaysia untuk mewujudkan jenama kereta nasional baharu adalah penting dan ini akan memesatkan lagi pembangunan industri automotif di negara ini.
  14. Projek ini dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi baharu serta tenaga kerja pakar baharu terutama dalam mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terkini.
  15. Di samping itu, penggunaan aplikasi robotik dan Internet of Things (IoT) dalam sektor automotif akan mempunyai spillover effect ataupun kesan limpahan yang akan mampu menggalak pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor-sektor lain seperti pertanian, kesihatan, pertahanan dan lain-lain.
  16. Penjenamaan semula Malaysia Automotive Institute kepada MARii pada Disember 2018 memperlihat komitmen Kerajaan untuk membawa pembangunan industri automotif kepada tahap yang lebih tinggi melalui robotik dan Internet of Things (IoT). Justeru itu, MITI melalui MARii akan menumpu kepada usaha-usaha untuk meningkatkan pelaksanaan teknologi robotik dan IoT dalam sektor automotif seperti smart manufacturing dan Artificial Intelligence yang turut boleh digunapakai dalam pembangunan sektor-sektor lain.
  17. Saya telah melancarkan Dasar Negara mengenai Industri 4.0, iaitu Industry4WRD (Industry forward) pada Oktober 2018 yang lalu. Ia merupakan usaha Kerajaan agar pembangunan industri di Malaysia bergerak selari dengan perkembangan global termasuk Industri 4.0, yang merangka transformasi industri untuk menjadi lebih pintar dan mampan yang akan dipacu oleh people, process dan teknologi. Dasar ini telah menyediakan rangka kerja dalam transformasi digital Malaysia bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan. Oleh itu, pihak industri perlu mengambil peluang ini untuk membawa perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai.
  18. Pada masa ini, MITI sedang menjalankan kajian semula Dasar Automotif Nasional. Dasar baharu yang akan diperkenalkan itu akan meliputi keseluruhan ekosistem automotif dan disokong oleh elemen teknologi baru iaitu Next Generation Vehicle (NXGV), Mobility as a Services (MaaS) dan Revolusi Industri 4.0 termasuk Artificial Intelligence (AI).
  19. Dasar Automotif Nasional yang akan diperkenalkan adalah satu dasar yang holistik yang merangkumi pembangunan industri automotif yang komprehensif seperti pembangunan rantaian bekalan, modal insan, aftermarket dan lain-lain.
  20. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia Autoshow sebagai acara tahunan untuk semua pemain industri sektor automotif di bawah satu bumbung. Saya berharap Malaysia Autoshow akan berkembang menjadi satu acara yang setanding Autoshow antarabangsa yang lain, serta menarik peminat-peminat kenderaan di seluruh pelusuk dunia ke Malaysia.
  21. Saya ucap tahniah kepada semua yang terbabit menjayakan pameran ini. Dengan lafaz “Bismillahirahmannirahim” saya melancarkan Malaysia Autoshow 2019.
  22. Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

312 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen + 12 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top