Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2019

TEKS UCAPAN
YAB TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS PERASMIAN
MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA 2019

21 APRIL 2019 (AHAD)
10:00 PAGI – 12:00 TENGAH HARI
PENTAS UTAMA
KHEMAH PAMERAN MSAM
PERKARANGAN AMANJAYA MALL
SUNGAI PETANI, KEDAH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA Saya ucapkan tahniah kepada PNB selaku penganjur minggu Saham Amanah

1. Malaysia yang telah menjemput saya untuk merasmi acara yang bersejarah ini. Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama secara fizikal. Bagaimanapun saya masih anggap acara minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) ini sebagai satu acara tahunan negara yang istimewa. Pelaksanaan program ini bermula semasa saya sebagai Perdana Menteri yang keempat. Ketika itu PNB telah menyambut saranan Kerajaan untuk menjayakan program pendidikan pelaburan di kalangan rakyat dan Minggu Saham Amanah Malaysia yang pertama telah dijayakan pada tahun 2000. Pada ketika itu saya tidaklah sangka akan diberi kesempatan untuk merasmikan Minggu Saham yang ke-20 ini tetapi Alhamdulillah dipanjangkan umur dan dijemput pula oleh PNB. Terima kasih PNB.

2. Bermula dengan 60,000 pengunjung pada edisi pertama penganjurannya, saya difahamkan Minggu Saham ini telah menerima seramai 3.8 juta pengunjung secara kumulatif dan pengunjungnya tidak hanya tertumpu kepada masyarakat bandar, tetapi juga melibatkan ramai warga luar bandar.

PENCAPAIAN PNB

3. Setelah 20 tahun Minggu Saham dianjurkan dan setelah lebih 40 tahun penubuhan PNB, melalui syarikat unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), PNB telah berjaya meningkatkan penglibatan rakyat Malaysia di dalam industri unit amanah negara. Bermula dari dana yang berjumlah RM200 juta dalam tahun 1978, PNB telah berjaya mengumpulkan dan mengembangkan aset di bawah pengurusannya untuk mencecah RM298.5 bilion, sebahagian besarnya melalui 14 produk unit amanah ASNB yang dimiliki oleh lebih 13.8 juta pemegang akaun. Dalam tempoh empat dekad ini juga, PNB telah memberi pulangan dividen kumulatif sebanyak RM187.1 bilion kepada para pelabur.

4. Pencapaian ini merupakan manifestasi profesionalisme PNB dalam menggembleng pelaburan rakyat Malaysia yang setia memberi kepercayaan mereka kepada PNB dan yang tidak mungkin dicapai sekiranya PNB tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh integriti dan amanah. Nilai-nilai yang dipelopori tokoh-tokoh kepimpinan PNB terdahulu saya percaya masih diteruskan oleh kepimpinan dan pengurusan yang sedia ada.

5. Sesungguhnya tanggungjawab PNB amat berat. PNB mendukung harapan dan aspirasi para pelabur yang mengharapkan pulangan pelaburan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Janganlah terleka dan ambil mudah tanggungjawab dan amanah ini. Janganlah salah guna kuasa, kelonggaran tadbir urus, kemerosotan integriti, penyelewengan, rasuah dan ketirisan – sepertimana yang berlaku di institusi-institusi lain – berlaku kepada PNB. Akhirnya Kerajaan terpaksa campur tangan tetapi ini bukan penyelesaian kerana imej yang tercalar, tidak mudah diperbaiki. Keyakinan rakyat khususnya pelabur tidak mudah dikembalikan dan maruah bangsa akan tercalar selamanya.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT PNB

6. Peranan yang didokong PNB bukan hanya terhad kepada kepentingan ekonomi sahaja tetapi meliputi juga kepentingan sosial. Saya gembira yang PNB banyak menjalankan aktiviti tanggunjawab sosial korporat yang memberi impak yang tinggi kepada masyarakat sekeliling. Daripada aktiviti berteraskan pendidikan, hingga kepada penajaan dan pemberian biasiswa, kebajikan dan lain-lain, banyak yang telah disumbangkan oleh PNB yang telah memberi manfaat yang signifikan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

7. Alhamdulillah pada hari ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa PNB telah memperuntukkan sejumlah wang dari Dana Zakat PNB untuk bidang kesihatan bagi tujuan menaik taraf kemudahan kesihatan dalam negara. Ini terutamanya yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang, jantung dan kanser.  Bagi tahun 2019 ini, PNB telah memperuntukkan SATU JUTA RINGGIT untuk menaik taraf kemudahan di Unit  Hemodialisis, Hospital Sultan Abdul Halim, bagi manfaat warga Sungai Petani.

8. Bagi bidang pendidikan pula, PNB telah bersetuju memperuntukkan sejumlah Dana Zakat Perniagaan PNB untuk menaja para pelajar dari golongan kurang berkemampuan seramai 100 orang di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 100 orang lagi di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada setiap tahun. Dengan jumlah 200 pelajar setiap tahun, pelajar-pelajar ini akan ditaja bermula dari Tingkatan 1 hingga 5. Saya percaya, sekiranya mereka ini mendapat keputusan cemerlang dalam SPM serta memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan, PNB akan terus menaja mereka melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negara.

PENUTUP

9. Tema MSAM kali ini, “Pelaburan Untuk Masa Depan” adalah sangat relevan dan tepat. Saya mengalu-alukan penyertaan rakyat Sungai Petani dan seluruh warga Kedah, serta negeri-negeri berdekatan seperti Perlis dan Pulau Pinang, untuk tidak melepaskan peluang berkunjung ke pameran Minggu Saham pada tahun ini. Mudah-mudahan dengan pendedahan dan pengalaman yang diperolehi, orang ramai akan lebih bijak mengurus kewangan dan pelaburan, di samping memahirkan diri dengan penggunaan teknologi dalam urusan kewangan, sepertimana yang akan dipaparkan di tapak pameran Minggu Saham Amanah Malaysia 2019.

10. Saya ucapkan tahniah sekali lagi kepada PNB kerana berjaya menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia buat kali yang ke-20.  Syabas juga diucapkan atas segala pencapaian yang telah dikecapi dan semoga ia menjadi pendorong kepada PNB untuk terus mencapai pelbagai kecemerlangan lagi pada masa hadapan.

11. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia 2019.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

118 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top