Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA KONVENSYEN ORANG ASLI KEBANGSAAN 2019

22 APRIL 2019 (ISNIN), JAM 9.00 PAGI BERTEMPAT DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

  1. Alhamdulillah. Saya merasa amat bersyukur kerana kita dapat bersama-sama berhimpun di Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 yang julung-julung kalinya diadakan.
  2. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk merakam ucapan tahniah dan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) kerana telah berjaya menganjurkan Konvensyen ini yang saya yakin memberi makna yang besar kepada komuniti Orang Asli dan komuniti-komuniti lain di Malaysia.
  3. Penghargaan yang lebih besar dan penting yang ingin saya rakam ialah kepada semua Tok Batin dan Penghulu Orang Asli yang hadir untuk bersama-sama Kerajaan menentukan hala tuju yang boleh memberi manfaat dan kesejahteraan kepada komuniti Orang Asli. Pastinya saya juga sangat berterima kasih kepada ahli-ahli akademik, wakil-wakil pertubuhan bukan Kerajaan berkaitan Orang Asli, orang perseorangan dan tidak lupa kepada agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan Konvensyen ini.
  4. Apabila berlaku perubahan Kerajaan setelah pilihanraya ke-14, ianya menjadi titik permulaan kepada usaha-usaha pembaikan serta meletak Negara kembali ke landasan yang betul.
  5. Usaha-usaha ini diharap akan dapat mencapai hasil dimana kesilapan yang lalu akan diperbetulkan, kekurangan yang lepas diperlengkapkan dan dimana mampu, permintaan kita penuhi.
  6. Ini janji-janji kita dan usaha untuk menunai janji, kita anggap sebagai satu amanah yang seberapa daya perlu kita langsaikan selagi kita berupaya. Ada yang telah kita tunaikan dan masih ada yang belum dan mungkin akan mengambil sedikit masa lagi.
  7. Pastinya salah satu janji kita berkaitan dengan kesejahteraan rakyat memberi tumpuan khas kepada komuniti Orang Asli. Semenjak berlaku peralihan Kerajaan Persekutuan perbincangan, perancangan serta gerak kerja terhadap usaha-usaha pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli diberi penekanan seperti yang dijanjikan.
  8. Janji ini termaktub di dalam Janji 38 di dalam Manifesto Pakatan Harapan iaitu untuk Membela Nasib Orang Asal. Kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan rasionalisasi agensi dan jabatan persekutuan yang turut melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Langkah ini meletak Jabatan Kemajuan Orang Asli, yang sebelum ini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah seliaan YB Senator P. Waythamoorthy selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap masyarakat Orang Asli.
  9. Perpindahan ini bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta menetapkan hala tuju dan fungsi yang bersesuaian dengan peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab terhadap masyarakat Orang Asli.
  10. Beberapa langkah yang dirasakan perlu untuk menaik taraf serta memperkasakan Jabatan Kemajuan Orang Asli sedang dipertimbangkan dengan teliti supaya Jabatan ini lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab memaju, menaik taraf serta menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli.
  11. Langkah-langkah ini adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan janji dan melaksanakan perubahan demi kepentingan dan kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.
  12. Namun, Kerajaan tidak dapat melaksana dan menjayakan semua program yang dirancang tanpa sokongan dan kerjasama dari seluruh masyarakat Orang Asli.
  13. Kerana itu, konvensyen ini menjadi amat penting kerana ia memberi peluang untuk kedua-dua pihak – pelaksana dasar dan golongan sasaran menyuarakan pendapat.
  14. Adakalanya dasar yang baik, jika tidak diberi penerangan yang jelas, tidak akan diterima dengan baik atau menimbulkan penentangan. Maka konvensyen sebegini memberi peluang untuk penerangan yang lebih jelas untuk dasar-dasar sedemikian.
  15. Secara khusus, saya menyeru kepada semua yang hadir hari ini, terutamanya Batin-batin dan Penghulu-penghulu Orang Asli dapat menyuarakan pendapat dan pandangan supaya kita dapat memahami masalah dengan tepat dan seterusnya berusaha bersama untuk menjayakan program, dasar dan polisi yang bertujuan membantu menjayakan masyarakat Orang Asli.
  16. Konvensyen ini bertujuan untuk berbincang dan membahas mengenai isu-isu utama berkaitan masyarakat Orang Asli seperti tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastuktur dan kebudayaan. Seperti yang saya nyatakan tadi, perbincangan ini diharapkan dapat menghasilkan resolusi terbaik yang akan dijadikan garis panduan kepada Kerajaan dalam merangka program-program pembangunan dan juga kebajikan masyarakat Orang Asli.
  17. Pembabitan semua pihak yang mempunyai kepentingan dan keperihatinan dalam isu ini terutamanya masyarakat Orang Asli yang diwakili oleh Batin dan Penghulu adalah secara langsung memberi kita peluang membincang perkara yang mungkin dahulu kita ketepikan kerana agak sulit dan kompleks.
  18. Apabila kita dapat berbincang secara terbuka dan teratur, keputusan yang dicapai pasti mendapat penerimaan yang lebih baik.
  19. Jika konvensyen ini dapat bersidang dengan telus saya juga yakin perasaan percaya-mempercayai di antara pihak Kerajaan dan masyarakat Orang Asli dapat kita perteguhkan.
  20. Ingin juga saya nyatakan di sini, bahawa setiap gerak kerja dan usaha pembangunan yang sedang dilaksana dan akan dilaksana oleh Kerajaan adalah sejajar dengan Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia (PBHAM).
  21. Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan setiap program pembangunan dan kebajikan yang dirancang akan memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli dengan tidak mengenepikan kepentingan dan memelihara perkara-perkara asas berkaitan mereka melalui prinsip berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT).
  22. Ini amat penting bagi Kerajaan agar setiap dasar yang akan dibangunkan kelak telah mengambil kira kepentingan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada 18 suku kaum.
  23. Pembangunan infrastruktur dilihat sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf hidup dan sosioekonomi sesebuah masyarakat. Oleh itu, Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan penekanan terhadap projek-projek pembangunan di perkampungan Orang Asli. Projek pembangunan ini melibatkan bekalan elektrik dan air terawat, pembinaan jalan serta pembangunan perumahan.
  24. Mengikut statistik masa kini, Kerajaan telah menyediakan kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik (80 peratus), bekalan air (79 peratus) dan sebanyak 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) daripada keseluruhan 853 buah perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia. Kerajaan komited dengan projek pembangunan ini dan diharapkan kesemua kemudahan tersebut akan disediakan sepenuhnya 100 peratus, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
  25. Selain itu, Kerajaan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli melalui penjanaan pendapatan yang tetap dan stabil. Beberapa strategi melalui program-program tertentu telah dirangka untuk memperkasa usahawan Orang Asli agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan. Program-program ini akan diintegrasikan bersama projek ekonomi sedia ada melalui latihan dan bimbingan bertujuan membangunkan eko-pelancongan atau agro pelancongan Orang Asli.
  26. Saya yakin sektor eko-pelancongan atau agro pelancongan Orang Asli mampu membangunkan ekonomi masyarakat Orang Asli melalui penyediaan peluang pekerjaan yang secara langsung akan dapat menambah pendapatan kepada pembuat kraftangan, pengeluar produk hiliran berasaskan hutan dan seterusnya menggalakkan masyarakat terutamanya golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.
  27. Usaha meningkatkan tahap pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli masih menjadi agenda utama Kerajaan. Usaha ini perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak melalui penambahan infrastruktur pendidikan dan penerapan terhadap kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan. Kesedaran dan perubahan ini perlu bermula di peringkat rumah lagi iaitu dari kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli.
  28. Percayalah bahawa bidang pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan seseorang, tetapi ia juga dapat membantu kita untuk meningkat keyakinan diri serta menghapus sikap rendah diri selain membolehkan kita bersaing setanding dengan masyarakat lain.
  29. Saya dimaklumkan sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar Orang Asli yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam pelbagai jurusan. Selain itu juga, terdapat pelajar-pelajar Orang Asli yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti luar negara pada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Jumlah ini memberi isyarat kepada Kerajaan bahawa masyarakat Orang Asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan.
  30. Kerajaan akan terus memastikan agar sasaran setiap Orang Asli menerima pendidikan secara formal dicapai. Bagi tujuan itu, Kerajaan akan terus membantu pelajar Orang Asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli. Kerajaan akan mempertimbang setiap cadangan penambahbaikan yang dicadang, tetapi ia hendaklah bergantung kepada kemampuan semasa Kerajaan.
  31. Pencapaian tinggi dikalangan pelajar Orang Asli turut menghantar isyarat bahawa masyarakat Orang Asli sudah bersedia dan mempunyai pemimpin dan cerdik pandai untuk tampil ke hadapan untuk memain peranan yang lebih besar dan utama di dalam merangka hala tuju masyarakat Orang Asli dan Negara.
  32. Pencapaian mereka yang amat menggalakkan pasti terhasil dari kegigihan dan kerja kuat mereka sendiri. Tetapi ia juga memberi galakan kepada Kerajaan bahawa dasar-dasar yang diperkenal telah juga berjaya membantu menghasil pelajar cemerlang tersebut.
  33. Sebelum saya akhiri ucapan saya besarlah harapan saya agar semua yang hadir di konvensyen ini akan dapat bersama-sama mencapai resolusi yang boleh terus memajukan masyarakat Orang Asli. Amat penting juga jika konvensyen ini dapat membantu kita memahami masalah-masalah Orang Asli dan pendekatan serta tindakan untuk menanganinya.
  34. Sesungguhnya Konvensyen ini amatlah penting bagi Kerajaan, Orang Asli dan lain-lain anggota masyarakat Malaysia memahami masalah yang dihadapi oleh Orang Asli dan menentu cara-cara mengatasinya.
  35. Dengan lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’, saya rasmikan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019.
    Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

450 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + two =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top