Ucapan Sempena Makan Malam Malaysia Security Industry Excellence Awards (MSIEA)

Teks Ucapan YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Makan Malam Malaysia Security Industry Excellence Awards (MSIEA) Pada 20 Mac 2019 (Rabu), Jam 8.30 Malam bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC)

  1. Terlebih dahulu saya ingin ucap terima kasih kepada Pengerusi Majlis, Menteri-Menteri Kabinet, para tetamu jemputan, tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada malam ini.
  2. Terima kasih juga kerana menjemput saya untuk bersama-sama meraikan Majlis Makan Malam yang julung kali diadakan sempena “Malaysia Security Industry Excellence Awards” pada malam ini.
  3. Untuk tetamu-tetamu dari luar negara – “To all our guest from abroad, I would like to wish you a very warm welcome. I hope our hospitality will make your stay in Kuala Lumpur and Malaysia memorable.”
  4. Tahniah saya ucapkan kepada Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), yang dahulunya dipanggil Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), dan Asia Pacific Security Association (APSA) Malaysia Chapter, selaku penganjur majlis ini kerana mengadakan acara untuk mengiktiraf pengusaha dan individu yang terlibat di dalam industri keselamatan.
  5. Majlis pengiktirafan sebegini diharap dapat menggalakkan semua yang terbabit di dalam industri ini untuk terus memberikan perkhidmatan keselamatan yang berkualiti kepada pelanggan.
  6. Kerajaan komited untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk masyarakat seperti yang telah digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Dalam hubungan ini, Kerajaan menghargai sumbangan pihak industri keselamatan swasta dan juga persatuan mereka di dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya dapat dipertahankan.
  7. Pada ketika dunia sedang berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan seperti terrorism, jenayah rentas sempadan (cross border crime) dan ancaman keselamatan bukan tradisional (non-traditional security threat), ia memberi cabaran yang tinggi kepada mana-mana Kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyatnya terjamin.
  8. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan awam terutamanya melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  9. Namun cabaran yang dihadapi oleh pihak polis masa kini tidak membolehkannya untuk berada di setiap tempat pada setiap masa. Yang sering diharapkan dari mereka ialah kemampuan datang segera apabila terdapat situasi yang membimbangkan dan setelah jenayah atau kemalangan berlaku.
  10. Ini bermakna, walaupun ada kalanya polis bertindak atas dasar menyekat samada secara preventive atau pre-emptive, dalam banyak keadaan ianya lebih cenderung kepada reactive ataupun bertindak balas apabila sesuatu jenayah atau kemalangan telah berlaku.
  11. Di dalam konteks inilah kehadiran perkhidmatan kawalan keselamatan swasta menjadi relevan dan diperlukan.
  12. Hampir kesemua pengawal keselamatan swasta bertugas dalam ruang lingkup yang statik iaitu mereka mendapat tugasan yang khusus seperti di dalam bank, pusat membeli-belah, bangunan-bangunan swasta dan kawasan-kawasan perumahan dan lain-lain lagi.
  13. Oleh kerana mereka bertugas di tempat yang sama untuk beberapa ketika, mereka menjadi sebahagian dari warga setempat. Ini memberi mereka kelebihan dari segi kepekaan akan keadaan di sekeliling mereka.
  14. Jika ada individu atau keadaan yang mencurigakan mereka akan dapat mengesan ataupun menghidu bahaya yang mungkin menimpa.
  15. Secara langsung mereka menjadi alat untuk pre-emptive strikes atau preventive measures yang perlu dilakukan dengan melaporkan kepada pihak polis yang berkuasa untuk bertindak.
  16. Maka peranan penting yang dimainkan oleh pengawal keselamatan swasta ialah membantu pihak polis di dalam mencegah jenayah melalui penyaluran maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mewujudkan suasana selamat di tempat-tempat jagaan mereka.
  17. Selain dari kepekaan dan pengetahuan setempat yang mereka miliki, industri keselamatan swasta juga memberi perkhidmatan mereka melalui penggunaan teknologi keselamatan seperti sistem penggera (alarm system) dan kamera litar tertutup (CCTV) di samping perkhidmatan kawalan keselamatan tanpa senjata dan bersenjata.
  18. Hampir di mana sahaja tempat yang kita lawati atau premis-premis yang kita masuki untuk menjalankan urusan harian pasti akan ada pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas. Mereka adalah orang pertama yang akan kita jumpa di dalam mana-mana premis dan bangunan dan juga orang terakhir yang akan terus berada di sesuatu tempat untuk menjaga keselamatan ketika semua telah pulang ke rumah.
  19. Dalam lain perkataan, kita banyak bergantung kepada pegawai-pegawai keselamatan untuk menjaga bangunan tempat kita bekerja, perniagaan kita dan harta-benda syarikat dan persendirian.
  20. Bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan keselamatan swasta yang baik, skim latihan yang baik dan berterusan bagi pegawai-pegawai keselamatan adalah sangat penting. Latihan dapat memastikan pegawai keselamatan sentiasa bersedia dan peka dengan cabaran-cabaran keselamatan semasa.
  21. Ia juga penting untuk memastikan disiplin dan rasa tanggungjawab diterapkan kepada mereka. Kerajaan komited untuk mewujudkan lebih ramai pekerja tempatan yang berpengetahuan, berkualiti dan berkemahiran. Antara inisiatif ke arah ini adalah usaha untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran ke arah membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
  22. Begitu juga, kerjasama dengan universiti awam di Malaysia untuk membangunkan program-program pengajian yang khusus bagi pengamal keselamatan di samping dapat menghasilkan warga pengurusan keselamatan yang lebih mahir dan professional.
  23. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan Program Latihan Certified Security Guards (CSG) yang dilaksanakan secara bersama oleh Persatuan Industri Keselamatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan pegawai-pegawai keselamatan swasta.
  24. Industri keselamatan swasta juga mempunyai keupayaan untuk membawa masuk teknologi-teknologi keselamatan yang canggih. Pada masa yang sama, industri keselamatan swasta juga berpotensi untuk menghasilkan produk-produk inovasi keselamatan yang boleh dipasarkan di dalam dan luar negara.
  25. Maka di sinilah letaknya cabaran kepada pengusaha-pengusaha industri keselamatan untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pengusaha dan pada masa yang sama menghasilkan produk keselamatan yang kreatif dan berinovasi.
  26. Saya ingin menekankan pentingnya industri keselamatan swasta di negara ini, di dalam sumbangannya
    kepada ekonomi negara secara langsung atau tidak langsung. Apabila rasa selamat dapat diwujudkan di
    dalam masyarakat, setiap lapisan rakyat dapat meneruskan aktiviti-aktiviti mereka dan ini termasuklah
    perniagaan dan perkhidmatan.
  27. Keyakinan wujudnya keselamatan pasti memberi kemakmuran kepada Negara.
  28. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua ahli Persatuan Industri Keselamatan Malaysia dan Asia Pacific Security Association yang telah memain peranan yang penting dalam menyumbang kepada keselamatan dan ketenteraman Negara.
  29. Tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada malam ini juga kepada semua penerima-penerima anugerah.
    Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

476 total views, 2 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top