Pengurangan Penjawat Awam

Questioned By
Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed (BN-UMNO) [P087 Kuala Krau]

The Question
Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan apakah rasional cadangan beliau untuk mengurangkan jumlah penjawat awam dan adakah Kerajaan bercadang menyemak semula tangga gaji Penjawat Awam seperti mana diluluskan kerajaan terdahulu dalam Bajet 2018.

Answered By
YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad (PH-PPBM) [P004 Langkawi]
The Prime Minister of Malaysia

The Answer

Tuan Yang Di Pertua,

1. Apabila saya meletak jawatan pada pada tahun 2003, jumlah anggota perkhidmatan awam hanya sekitar 1 juta. Sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta orang iaitu peningkatan 700,000 orang. Saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar menjadi kebimbangan sejak sekian lama kerana ia meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan sekaligus mengecilkan peruntukan perbelanjaan pembangunan.

2. Sekiranya tidak dikawal, kos perbelanjaan mengurus ini akan memakan sebahagian besar daripada belanjawan negara setiap tahun serta mengakibatkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan berikutan ketidakmampuan Kerajaan berbelanja untuk projek-projek pembangunan yang boleh menjana kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

3. Kerajaan berpendapat jumlah ini boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian perkhidmatan dan punca pendapatan pegawai yang terlibat. Selain itu, pengecilan saiz perkhidmatan awam tidak bermaksud pengurangan peluang pekerjaan. Ini terutamanya apabila berlaku penswastaan.

4. Pada tahun 1983, Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Penswastaan yang telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan negara. Melalui dasar ini, antara lain Kerajaan berjaya mengurangkan bebanan kewangannya, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber secara cekap. Ini dapat dilihat contohnya melalui kejayaan penswastaan Telekom, kakitangan Telekom dipindahkan ke syarikat swasta dan hal itu mengurangkan pekerja dalam kerajaan dan pekerja mendapat pakej gaji yang lebih baik. Kecekapan juga dapat ditingkat yang secara langsung dinikmati rakyat secara keseluruhannya.

5. Kita dapati strategi ini masih relevan bagi menangani isu jumlah anggota perkhidmatan awam yang dilihat terlalu besar dan memberikan implikasi kewangan yang membebankan. Penumpuan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga secara optimum. Ke arah ini, Kerajaan sedar bahawa apabila kita kurangkan saiz maka akan berlaku pula masalah tidak bekerja, dan ini akan menimbulkan masalah sosial. Sebab itu kita perlu bangunkan bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai yang boleh berpindah daripada bekerja dengan Kerajaan kepada kerja dengan swasta. Ini sekaligus akan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam Kerajaan.

6. Kerajaan akan memastikan mereka yang terbabit disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain sebelum pengecilan saiz perkhidmatan dilakukan. Kerajaan akan menyediakan pelan yang holistik bagi menjamin transisi tersebut tidak memberi kesan kepada perjalanan atau pengurusan negara. Sektor awam sewajarnya memfokus kepada penyediaan dasar utama dan menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan dan tidak terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia. Dengan perkembangan teknologi terkini, Kerajaan percaya perkhidmatan awam akan lebih produktif apabila duplikasi dapat dikurangkan, pembaziran dihapuskan, pengagihan sumber dilaksanakan dengan cekap dan guna tenaga diganti dengan penggunaan teknologi maklumat serta komputer.

7. Di samping saiz, peningkatan perbelanjaan Kerajaan berlaku berikutan tindakan pimpinan Kerajaan terdahulu yang cenderong menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk membeli kesetiaan mereka.

8. Kita dapati bahawa kenaikan gaji penjawat awam semata-mata adalah antara faktor kenaikan kos sara hidup. Apabila Kerajaan menaikkan gaji, sektor swasta akan ikut sekali, dan kos semua benda akan naik.

9. Dalam pada kita mengakui kenaikan gaji disambut baik oleh semua penjawat awam, perlu diingat bahawa ia perlu selari dengan peningkatan produktiviti. Penekanan harusnya diberi kepada peningkatan produktiviti dan bukan semata-mata tunduk kepada tekanan atau atas dasar membeli kesetiaan untuk menaikkan gaji. Justeru, Kerajaan sedang menjalankan usaha menyeluruh ke arah peningkatan produktiviti sektor awam melalui pembaikan proses kerja, automasi dan penggunaan teknologi terkini. Gabungan strategi pengurangan saiz perkhidmatan awam dan peningkatan produktiviti ini dijangka mampu menjana lebih banyak pendapatan kepada Negara dan pada ketika itu, Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kenaikan gaji kepada penjawat awam.

Insya-ALLAH.

Sekian, terima kasih.


Similar Posts:

398 total views, 11 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top