Kenyataan Akhbar Berhubung Menteri Luar Negeri Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong [KLN]

KENYATAAN AKHBAR BERHUBUNG MENTERI LUAR NEGERI MENGHADAP
KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Saya telah dititah untuk menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara pada 12 Mac 2019, untuk menyembah maklum kepada Tuanku akan perkembangan susulan penyertaan Malaysia ke Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dimeterai pada 4 Mac 2019.

Dalam majlis menghadap tersebut, saya telah menyembah maklum perkara-perkara yang seperti berikut, dan Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya saya menerangkan perkara ini kepada orang ramai:

 

Statut Rome
Statut Rome merupakan suatu perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court – ICC). ICC berfungsi sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada di sesuatu Negara Pihak (State Party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti yang terkandung dalam Artikel 5 Statut Rome, iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan. Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome.

 

Kronologi proses ratifikasi Statut Rome

  • Pada 17 Julai 1998, Malaysia telah menandatangani Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court yang mewujudkan Statut Rome;
  • Pada 27 Mei 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) pada ketika itu, telah memaklumkan kesediaan Malaysia untuk menjadi sebahagian dari Negara Pihak ICC, iaitu ketika menghadiri 6th Consultative Assembly of Parliamentarians for the ICC and the Rule of Law di Kampala, Uganda.
  • Pada 11 Jun 2010, YAB Perdana Menteri ketika itu telah memberi halatuju dasar untuk Malaysia menyertai Statut Rome, iaitu lanjutan kepada serangan Israel ke atas kapal kemanusiaan Gaza Freedom Flotilla pada 31 Mei 2010.
  • Pada 18 Mac 2011, Kementerian Luar Negeri telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri supaya Malaysia menandatangani dan menyertai Statut Rome. Susulan perbentangan itu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya Malaysia menyertai Statut tersebut namun ia tidak diteruskan atas reservation oleh Peguam Negara.
  • Pada 5 Ogos 2015, Jemaah Menteri sekali lagi bersetuju supaya Jabatan Peguam Negara membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk menyertai Statut Rome bagi membolehkan Malaysia membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kes penembakan jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 ke ICC. Namun, tiada sebarang tindakan diambil pada ketika itu.
  • Pada 12 Disember 2018, Jemaah Menteri di bawah Pentadbiran Pakatan Harapan, selaras dengan nasihat Peguam Negara, telah bersetuju supaya Malaysia menyertai Statut Rome.
  • Pada 26 Disember 2018, warkah daripada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipersembahkan kepada KDYMM Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bagi memaklumkan akan keputusan Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 tersebut.
  • Pada 15 Februari 2019, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong akan keputusan Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 dan akan warkah daripada YAB Perdana Menteri pada 26 Disember 2018, iaitu tentang Malaysia menyertai Statut Rome.

Lanjutan daripada proses di atas, Malaysia telah menandatangani instrumen penerimaan Statut Rome ICC pada 4 Mac 2019.

Manfaat Penyertaan Malaysia ke Statut Rome
Penyertaan Malaysia ke Statut Rome mencerminkan kesungguhan negara dan meningkatkan imejnya di persada antarabangsa dalam membanteras jenayah antarabangsa yang serius dan membawa mereka yang melakukan jenayah terkutuk seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rome ke muka pengadilan.

Penyertaan Malaysia ini adalah selari dengan dasar ‘Malaysia Baharu’ yang menegakkan prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.

Semasa Perhimpunan Agung PBB yang ke-73 pada September 2018 di New York, YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia konsisten dengan pendirian menentang peperangan dan keganasan. Penyertaan Malaysia dalam Statut Rome membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan menyokong keamanan.

Sebagai Negara Pihak, antara lainnya, Malaysia:

a. Boleh merujuk kepada Pendakwa ICC di bawah Artikel 13(A) Statut Rome mengenai jenayah-jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya perlu;
b. Mempunyai suara dalam Persidangan Tahunan Negara-Negara Pihak; dan
c. Layak mencalonkan rakyatnya sebagai Hakim, Pendakwa dan Pendaftar ICC serta pemegang jawatan-jawatan lain di Pejabat Pendakwa dan Pejabat Pendaftar ICC.

 

Isu-isu Yang Berbangkit Mengenai Kedudukan Yang di-Pertuan Agong
Saya maklum akan kekhuatiran sesetengah pihak bahawa Yang di-Pertuan Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di ICC. Ini merupakan tanggapan yang salah dan dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan atau perlembagaan.

Keputusan menandatangani Statut Rome dipersetujui oleh Jemaah Menteri setelah berpuas hati bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia dan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong adalah dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Artikel 40 (1A) menyatakan “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.” Oleh yang demikian, segala tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Justeru, penyertaan Malaysia ke Statut Rome tidak menjejaskan kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

Tentang Perkara 41 yang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, tetapi ia tidak memberi kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan perang. Perkara ini perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40, iaitu Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugasnya atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong tidak bertanggungjawab untuk empat jenayah terkutuk yang dikenal pasti dalam Artikel 5 Statut Rome. Tanggungjawab undang-undang untuk sebarang pengisytiharan perang dan pelaksanaannya terletak pada Perdana Menteri serta anggota-anggota Jemaah Menteri.

Saya turut menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa dengan menjadi Negara Pihak ICC, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda. Hanya pindaan undang-undang substantif dan prosedur yang perlu dilaksanakan. Yang di-Pertuan Agong tidak akan menerima kesan secara peribadi setelah Malaysia menjadi Negara Pihak kepada ICC.

 

Isu Keperluan merujuk kepada Majlis Raja-Raja
Bagi menjawab tanggapan bahawa penyertaan Malaysia ke ICC memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja, menurut Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Majlis Raja-Raja diperlukan apabila hendak dilakukan pindaan ke atas Perlembagaan dan ini melibatkan 9 perkara yang berikut selaras dengan Perkara 159 (5) dan Perkara 38 (4):

i. Sekatan terhadap kebebasan bercakap melarang persoalan isu-isu sensitif: perkara 10(4);
ii. Pemerolehan Kewarganegaan: Bahagian III;
iii. Keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja: Perkara 38;
iv. Keistimewaan Parlimen dan Keistimewaan dewan undangan: Perkara 63 dan 72;
v. Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri: Perkara 70;
vi. Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri: Perkara 71;
vii. Bahasa kebangsaan: Perkara 152;
viii. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak: Perkara 153; dan
ix. Pindaan Perlembagaan dibawah Perkara 159(5).

Penyertaan Malaysia ke Statut Rome tidak termasuk dalam 9 perkara di atas. Walau bagaimanapun, Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong akan keputusan menyertai Statut Rome ini sebagai menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.

Di samping itu, merujuk kepada Fasal (1) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 39 dengan Fasal (1) dan (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara mengenai menandatangani dan pelaksanaan Instrumen Antarabangsa yang melibatkan hal ehwal luar negeri terletak hak di bawah kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan.

Saya berharap dengan penjelasan ini, maka tidak timbul lagi persoalan-persoalan yang mengelirukan berkaitan perkara ini.

PUTRAJAYA
13 Mac 2019

 

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top
Share via