Kempen Mengubah Malaysia Dari Sebuah Kleptokrasi Sedunia Menjadi Sebuah Negara Berintegriti Sedunia

Questioned By
Tuan Lim Kit Siang (PH-DAP) [P162 Iskandar Puteri]

The Question
Tuan Lim Kit Siang [Iskandar Puteri] minta Perdana Menteri memaklumkan Dewan yang mulia ini perkembangan kempen mengubah Malaysia dari sebuah kleptokrasi sedunia menjadi sebuah negara berintegriti sedunia terkemuka.

Answered By
YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad (PH-PPBM) [P004 Langkawi]
The Prime Minister of Malaysia

The Answer

Tuan Yang di-Pertua,

1. Seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan sedang berusaha memperbaiki imej Malaysia yang sebelum ini tercemar dan digambarkan sebagai sebuah negara kleptokrasi. Pelbagai usaha sedang diambil untuk Malaysia kembali dikenali sebagai sebuah negara yang berintegriti. Sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kita pastikan Negara ini ditadbir secara bersih dan tidak didasari kepentingan peribadi sehingga menyebabkan kerugian kepada Negara.

2. Atas dasar ini, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri pada 8 Jun 2018. Badan ini telah menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR).

3. Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah telah ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan, pemantauan dan penilaian keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada Kerajaan mahupun swasta. Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah bersidang beberapa kali dan membuat banyak keputusan penting untuk dilaksanakan. Antaranya ialah:

i. Penambahbaikan terhadap dasar pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli Parlimen Kerajaan;

ii. Penambahbaikan terhadap takrifan “Ahli Politik” yang didapati tidak sesuai dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah (ALP) sesebuah syarikat atau GLC;

iii. Penambahbaikan terhadap mekanisme penerimaan hadiah, keraian serta upahan oleh anggota-anggota pentadbiran dan penjawat awam;

iv. Anggota Pentadbiran tidak lagi boleh mengeluarkan surat sokongan;

v. Mengadakan Royal Commission of Inquiry (RCI) bagi menyiasat isu kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur Wang Kelian, Perlis; dan

vi. Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 yang telah saya lancarkan pada 29 Januari 2019.

4. Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar yang telah diputuskan, Kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Anti-Rasuah  di peringkat kebangsaan, kementerian, jabatan, agensi serta peringkat kerajaan negeri. Usaha-usaha ini telah mula mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.

5. Pada tahun 2019 ini, GIACC akan terus memantau semua inisiatif di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah dan Pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak yang positif kepada negara. GIACC juga akan terus mengadakan sesi pertemuan bersemuka dengan mana-mana agensi Kerajaan bagi khidmat nasihat dan membincangkan perkara berkaitan governans, integriti dan antirasuah dari semasa ke semasa agar Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah.

Sekian, terima kasih.



Similar Posts:

213 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − thirteen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top