Ucapan Sempena Lawatan Ke Kementerian Pertahanan

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan warga Kementerian Pertahanan pada hari ini. Saya merasa gembira kerana dapat datang kembali ke Kementerian ini setelah begitu lama. Banyak juga kenangan peribadi saya dengan Kementerian ini kerana saya pernah menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 1981 hingga 1986.

2. Mungkin ramai yang hadir pada hari ini belum lahir ataupun masih di bangku sekolah pada ketika itu.

3. Mengimbas kembali, cabaran yang dihadapi Kementerian Pertahanan ketika itu agak berbeza dengan yang dihadapi pada hari ini.

4. Pada waktu itu, ancaman keselamatan yang paling membimbangkan ialah perang gerila yang di lancarkan oleh Parti Komunis Malaya atau PKM yang menyerang tempat-tempat strategik dan juga rakyat kita sehingga usaha-usaha kita untuk membangunkan Negara adakalanya tergugat dan terganggu.

5. Anggota-angota keselamatan kita, termasuk dari angkatan Tentera Malaysia, terpaksa bertugas di “hot spots” ataupun kawasan-kawasan panas untuk mengekang aktiviti keganasan komunis-komunis tersebut.

6. Selain membabitkan kos yang tinggi yang lebih memedihkan ialah ada anggota-anggota kita yang tercedera dan terkorban di dalam operasi-operasi tersebut.

7. Kerana kekacauan dari anasir-anasir komunis ini, kegiatan ekonomi, pergerakan dan pembangunan negara turut terjejas.

8. Namun begitu, setelah kita berjaya menandatangani the Hadyai Accord sebagai perjanjian damai dan perletakan senjata oleh PKM pada tahun 1989, Negara kita dapat menumpukan sepenuh masa dan tenaga kepada usaha-usaha pembangunan dan kebajikan untuk rakyat.

9. Perjanjian itu turut merubah sedikit sebanyak tumpuan anggota bersenjata kita terutamanya dari ATM.

10. Perdamaian dengan komunis itu kekal hingga ke hari ini tetapi kita sekarang menghadapi ancaman yang lebih kompleks dan mencabar pada hari ini. Musuh yang dihadapi tidak kita kenali dan kadang-kadang wujud seperti satu bayangan.

11. Dengan itu, cara pertahanan dan pendekatan yang perlu kita ambil juga perlu kita ubah dan sesuaikan dengan keadaan di hari ini.

12. Ancaman-ancaman juga tidak lagi tertumpu dari dalam Negara semata-mata. Ia datang dari pelbagai sudut dan pihak yang memusuhi kita didorong oleh ideologi dan pegangan yang berlainan.

13. Dalam lain perkataan, globalisasi yang kita kaitkan dengan ekonomi selama ini adalah juga terkait dengan keganasan dan peperangan.

14. Dengan itu juga, Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks. Ancaman berlaku pada setiap masa kerana maklumat pada era globalisasi ini bergerak pantas dan melampaui sempadan.

15. Di era globalisasi ini, setiap perubahan yang berlaku di mana-mana lokasi di dunia ini juga secara langsung dan tidak langsung memberi impak dan pengaruh kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

16. Sebagai contoh, hubungan tegang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia, termasuk di Asia Tenggara dan Malaysia pastinya tidak terkecuali. Hampir kesemua nilai mata wang negara-negara emerging market mendapat tekanan disebabkan oleh faktor-faktor ekonomi dunia, termasuk Ringgit. Fenomena ini telah memberi kesan langsung kepada kedudukan ekonomi Malaysia. Pastinya semua pihak sedar bahawa kestabilan ekonomi berkait rapat dengan kestabilan politik sesebuah negara.

17. Selain itu, di satu sudut, kedudukan strategik Malaysia memberikan ia kelebihan dari segi geopolitik serantau dan dunia. Di sudut yang lain ia mendedahkan Negara kepada pelbagai ancaman-ancaman luar yang membabitkan kuasa-kuasa besar yang boleh menarik kita ke kancah pertelingkahan antara mereka. 

18. Kerana itu, Kementerian Pertahanan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengkaji kesan-kesan dan perkembangan yang sedang berlaku di persada antarabangsa dan membantu Kerajaan untuk mengambil keputusan-keputusan diplomatik yang sesuai dan di masa yang sama menilai apakah kelengkapan yang sesuai dan diperlukan oleh ATM.

19. Yang paling utama ialah di dalam kita berdiplomasi dan berusaha untuk mempunyai hubungan baik dengan semua pihak, ia tidak boleh sehingga kedaulatan Negara kita di cabar atau tergadai.

20. Malaysia perlu kekal sebagai sebuah negara berkecuali yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa dunia, dan pada masa yang sama bersedia bersahabat dengan negara-negara besar dan negara kecil demi kepentingan bersama.

21. Bagi memastikan angkatan tentera kita dapat berfungsi dengan baik, Kerajaan sentiasa memberikan perhatian khusus kepada keperluan peralatan dan kelengkapan persenjataan. Pihak kerajaan akan berusaha memastikan pelan pembangunan ATM dapat direalisasikan bagi melengkapkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia. Antaranya Pelan ARMY For Next Generation, Pelan TLDM 15 to 5 dan Perancangan Capability 2055 atau #CAP55 bagi TUDM.

22. Di dalam taklimat yang disampaikan kepada saya sebentar tadi, Kementerian Pertahanan sedang menyediakan satu Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia. Ia penting bagi memastikan dasar pertahanan negara dapat menangani cabaran semasa dan akan datang. Kertas putih ini akan berperanan memaklumkan kepada parlimen dan rakyat berhubung cabaran semasa Kementerian Pertahanan.

23. Ia akan meningkatkan ketelusan serta kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan, sokongan rakyat terhadap isu dan cabaran baru keselamatan, sekaligus mengajak mereka untuk turut sama menggalas tanggungjawab mempertahankan negara selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH.

24. Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk melakukan perubahan. Maka Kerajaan melaksanakan reformasi tadbir urus bagi meningkatkan ketelusan untuk mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa.

25. Kerajaan bertekad untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti serta membanteras gejala rasuah secara menyeluruh yang melibatkan sektor awam dan swasta. Usaha-usaha ke arah ini sedang dilaksanakan secara berterusan. Sehingga kini, Kerajaan telah merealisasikan sebahagian janji dalam manifesto Pakatan Harapan untuk membebaskan Malaysia daripada isu rasuah dan menentukan tadbir urus yang baik.

26. Dalam hal berkaitan dengan kecekapan tadbir urus dan integriti, suka saya menarik perhatian kepada laporan audit negara, dimana banyak teguran telah diberikan kepada jabatan dan agensi Kerajaan.

27. Teguran ini merangkumi pengurusan program, aktiviti, pembinaan, perolehan, sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi, penyenggaraan dan pengurusan hasil. Kementerian Pertahanan juga tidak terkecuali dari teguran ini.

28. Sehubungan itu, Kementerian diingatkan untuk meningkat dan memantapkan lagi kawalan dalaman pengurusan kewangan agar isu yang dibangkitkan tidak berulang serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius.

29. Kementerian hendaklah mengambil tindakan sewajarnya seperti memastikan pengetahuan dan kemahiran pegawai yang terlibat dalam pengurusan kewangan dipertingkatkan dengan memberi latihan sewajarnya secara berterusan. Ini kerana Kerajaan pada hari ini sangat komited untuk memastikan Malaysia dikenali kerana tadbir urus yang cekap dan budaya integriti yang tinggi.

30. Sebagai penutup saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Tuan Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan atas jemputan lawatan ini dan saya mendoakan kejayaan yang berterusan kepada pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan dalam melaksanakan tanggungjawab yang besar dalam menjaga kedaulatan Negara ini.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

167 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × four =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top