Ucapan Perasmian Kompleks Pejabat Pertahanan Awam Daerah Langkawi

1. Alhamdulillah, saya dapat bersama dengan warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atau APM dalam Majlis Perasmian Kompleks Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi pada pagi ini.

2. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk merakam ucapan terima kasih kepada APM Langkawi kerana khidmat dan bakti yang dicurahkan kepada penduduk Langkawi dalam masa bencana dan kecemasan.

3. Saya juga ingin ucap tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam yang baharu, Datuk Roslan Bin Wahab di atas perlantikannya.

4. Sekitar awal tahun 1950an, semasa masih remaja, saya pernah menyertai Civil Defence Corps yang berfungsi seperti APM pada hari ini. Tanah Melayu baru pulih dari Perang Dunia Kedua dan saya ditempatkan dalam bahagian Fire Auxiliary Service; dimana saya tidak hanya belajar memadamkan kebakaran tetapi juga belajar mengendalikan bom pembakar atau dipanggil incendiary bomb. Risiko paling besar mengendalikan bom ini adalah apabila ianya tidak meletup maka kami yang berkhidmat di dalam Fire Auxiliary Service itu akan diarah mengambil bom tersebut untuk dimusnahkan. Ianya bukanlah satu pengalaman yang menggembirakan.

5. Tujuan saya berkongsi pengalaman saya yang sedikit di dalam service yang seperti APM ialah saya sedar akan bahaya yang dihadapi oleh ahli-ahli APM apabila menjalankan tugasan mereka. Mungkin bahaya itu tidak dihadapi setiap masa tetapi adakalanya ia akan begitu mencabar.

6. Alhamdulillah, hari ini, saya berpeluang bersama dengan warga APM Langkawi khususnya dan Kedah amnya. Bagi saya APM ini telah menjadi satu tanda aras semangat kesukarelaan di Malaysia.

7. Kerana itu saya menyokong dan ingin menggalak anak-anak muda menyertai APM kerana semangat sukarela ini mampu membentuk sikap yang baik di kalangan anak-anak muda kita.

8. Antara lain sikap bertanggungjawab, tidak mementingkan diri, berani, berdisiplin, setiakawan dan berdikari dapat dipupuk. Ini akan membentuk anak-anak muda yang mempunyai kesedaran dan jati diri dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir buruk, sebaliknya boleh mempengaruhi teman-teman mereka dengan sifat-sifat mulia yang saya nyatakan tadi.

9. Saya amat menghargai segala usaha dan komitmen yang telah diperlihatkan oleh APM di dalam membantu dan meringankan beban rakyat apabila mereka menghadapi kesukaran dan bencana.

10. Sudah pasti, untuk mampu membantu orang yang di dalam kesukaran kita perlulah mempunyai kebolehan dan pengetahuan. Kerana itu saya berharap kepimpinan dan anggota-anggota APM akan terus berusaha menambah ilmu dan kebolehan. Sepertimana kita tahu, cabaran yang kita hadapi itu semakin banyak dan mencabar.

11. Walaupun APM telah bergiat cergas dan wujud sejak tahun 1952 lagi, masih ramai anak-anak muda yang kelihatan tidak berminat untuk menyertainya.

12. Ini berkemungkinan kerana tidak ramai yang sedar akan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh APM di dalam masyarakat. Kerana itu lebih banyak interaksi antara APM dan masyarakat perlu diadakan. Pendedahan yang meluas dapat menarik perhatian rakyat dan anak-anak muda untuk sedar akan pengalaman yang dilalui oleh anggota APM, saya yakin mereka akan tertarik dan berminat untuk menyertainya.

13. Saya juga berharap agar pihak media akan dapat membantu usaha untuk memperluas peranan dan fungsi APM kepada rakyat. Masyarakat perlu sedar di dalam banyak keadaan bencana, samada kebakaran, kemalangan mahupun apabila seseorang individu itu pengsan, APM adalah barisan paling hadapan sebelum agensi-agensi Kerajaan sampai untuk membantu.

14. Jika kita imbau kembali akan beberapa bencana besar yang pernah melanda Negara sejak sebelum kita Merdeka lagi, APM telah memainkan peranan yang besar di dalam membantu kerajaan menangani suasana cemas ketika itu.

15. Kerana itu, Kerajaan tidak pernah berhenti dari terus memberi sokongan dan bantuan samada dalam bentuk kewangan dan dana serta juga peralatan kepada APM.

16. Kita mahu APM mempunyai kelengkapan yang setimpal dengan usaha dan tugasan yang mereka lakukan.

17. Selain itu, APM telah membuktikan bahawa ia salah satu badan yang berjaya menarik keanggotaan pelbagai kaum dan menjadikan ia satu model kerjasama baik di antara kaum di dalam Negara.

18. Dan ini amat penting kerana apabila menghadapi kesukaran, kecemasan dan bencana, kerjasama kaum amat penting terutamanya di dalam membina kembali tempat yang sedang dan telah dilanda bencana.

19. Di dalam konteks Langkawi sahaja, APM telah memain peranan penting membantu Kerajaan dan agensiagensinya menjaga keselamatan dan keselesaan rakyat Langkawi dan pelancong yang datang ke pulau ini.

20. Langkawi juga tidak terlepas menghadapi situasi kecemasan seperti ribut dan banjir yang berlaku di Langkawi pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun lalu; mengakibatkan 288 mangsa daripada 62 buah keluarga terjejas dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Kediaman yang musnah teruk dan kerosakan harta benda yang berlaku dalam sekelip mata. Begitu juga kejadian gondola terkandas di Gunung Raya; kejadian bot terbakar dan feri rosak di laut; peranan yang dimainkan oleh APM di dalam membantu agensi-agensi Kerajaan menangani bencana-bencana ini berupaya menyekat persepsi buruk yang mungkin timbul terhadap industri pelancongan pulau ini.

21. Saya juga mendapat laporan bahawa pencapaian dan kejayaan Pasukan Penyelamat Pantai ataupun Baywatch APM Langkawi amat menggalakkan. Pasukan ini, saya diberitahu telah berjaya mengikut standard antarabangsa dan ini pastinya meyakinkan pengunjung-pengunjung ke pulau ini akan tahap kesediaan penyelamat pantai kita ini. Kita telah melihat di media massa kejayaan pasukan Baywatch APM ini menyelamatkan nyawa pelancong dan penggemar sukan air yang mengalami kecemasan di laut.

22. Tahniah saya ucapkan kepada Pegawai Daerah Langkawi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang begitu komited dan efisyen dalam menguruskan bencana yang berlaku di Pulau Langkawi dan dibantu oleh APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

23. Besarlah harapan saya, dengan Perasmian Kompleks Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi ini, ianya dapat memberikan sumbangan yang besar kepada warga Pulau Langkawi. Semoga kompleks ini dapat digunakan sebaik mungkin dalam melatih dan mempersiapkan penduduk Langkawi dengan ilmu-ilmu pertahanan awam supaya mereka ini dapat menjadi barisan hadapan menangani sebarang kecemasan dan bencana.

24. Selaku Ahli Parlimen Langkawi, saya ingin ucap terima kasih dan selamat maju jaya kepada semua.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini Merasmikan Kompleks Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi pada pagi ini dengan rasminya.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

150 total views, 5 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + 18 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top