Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional

1. Terlebih dahulu saya ingin ucap terima kasih di atas kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan ke majlis yang bagi saya amat bermakna di dalam kita mahu membina hala-tuju Negara dan sebagai pemegang amanah kepada generasi akan datang.

2. Hari ini adalah satu hari yang bersejarah buat Malaysia kerana buat julung-julung kalinya dalam sejarah negara, kita akan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional ataupun National Anti-Corruption Plan yang komprehensif untuk memerangi gejala rasuah.

3. Seperti yang kita semua maklum, Kerajaan hari ini dipilih di atas kesedaran rakyat yang tidak boleh lagi menerima perbuatan rasuah yang berleluasa dan jelas merosakkan Negara.

4. Rakyat telah bangun secara kolektif dan menggunakan kuasa rakyat untuk menolak Kerajaan yang dahulu. Ianya satu pernyataan tegas bahawa rasuah di kalangan pemimpin Kerajaan dan di kalangan kakitangan awam tidak boleh lagi diterima.

5. Kerajaan yang baharu disandarkan tanggungjawab untuk memastikan rasuah ini dibendung dan pelaku-pelakunya di pertanggungjawabkan.

6. Kerana itu, walaupun Kerajaan baharu telah melakukan tindakan-tindakan untuk membawa ke pengadilan pelakupelaku rasuah yang lalu, langkah-langkah susulan perlu diambil untuk memastikan rasuah yang berleluasa itu tidak akan berulang.

7. Dalam konteks inilah lahirnya Pelan Antirasuah Nasional. Ianya memperlihatkan komitmen kita di dalam memerangi rasuah.

8. Pelan ini juga satu pernyataan yang tegas dari Kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar dan akan kita hukum, manakala perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan dengan tindakan yang lebih tegas.

9. Ia satu bukti bahawa tindakan yang kita ambil terhadap perasuah-perasuah yang lalu bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.

10. Ianya satu tindakan yang diambil kerana kerosakan yang mereka lalukan kepada Negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas.

11. Kerana itu, Pelan Antirasuah Nasional ini hadir sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa depan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah dan ianya satu amalan keji dan menjijikkan.

12. Kita sedia maklum bahawa terdahulu Pelan Integriti Nasional (PIN) telah diperkenalkan dalam tahun 2004 yang memberi fokus kepada pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat.

13. Malangnya Pelan tersebut tidak berupaya menyekat budaya rasuah malahan ianya semakin menjadi-jadi selepas diperkenalkan sehinggalah beberapa tahun yang lalu apabila Negara digelar sebagai sebuah kleptokrasi, satu label yang amat memalukan. Kleptokrasi bermakna sebuah kerajaan yang dipimpin oleh perasuah dan pencuri harta negara yang mengeksploitasi harta negara dan rakyat untuk kepentingan peribadi.

14. Label ini bukan dicipta oleh saya atau Kerajaan yang saya pimpin. Ianya disebar oleh media-media luar negara setelah badan-badan berkuasa dari Negara luar mendapati pemimpin yang lalu telah terbabit di dalam pengubahan wang haram, rasuah dan penipuan secara berleluasa di satu tahap yang belum pernah terjadi sebelum itu.

15. Di atas kesedaran ini, kita berpendapat, kita tidak boleh sekadar mengingatkan rakyat mengenai kesalahan yang telah berlaku dan betapa buruknya kesan kepada Negara.

16. Kita perlu melihat ke hadapan dan mencari jalan memastikan supaya Kerajaan yang baharu dan yang akan datang tidak akan mengulangi perbuatan rasuah tersebut.

17. Adalah tidak mencukupi sekadar meletakkan kesalahan kepada Kerajaan yang dahulu dan menjadikan ia sebagai ingatan.

18. Sekadar niat tidak mahu melakukan rasuah dan janji mulut tidak memadai. Kita memerlukan pelbagai strategi, undangundang serta sekatan-sekatan supaya ia dapat membendung rasuah dan menyukarkan mereka yang ingin melakukannya.

19. Dan jika mereka berjaya melakukannya, kita mesti berupaya mengesan perbuatan itu dengan cepat dan selepas itu memastikan mereka mendapat hukuman yang tegas dan setimpal.

20. Kerana itu, jika ada yang mengatakan bahawa Kerajaan hari ini terlalu fokus kepada salah-laku Kerajaan yang lalu, Pelan Antirasuah Nasional ini adalah gagasan masa depan. Yang perlu berhadapan dengan pelan ini adalah ahli-ahli pentadbiran dari Kerajaan sekarang.

21. Kita amat berharap Pelan ini di dalam lima tahun akan datang akan berupaya mengekang budaya rasuah di dalam negara. Kita tahu ini bukan satu usaha yang akan tercapai dengan mudah dan cepat. Tetapi kita harus mulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti.

22. Pelan ini disediakan melalui satu proses yang mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dalam perjalanan memerangi rasuah. Ianya bersandarkan bukti-bukti empirikal daripada hasil analisis kajian dan data tangkapan serta laporan audit yang terkini. Ianya juga mengambil semangat yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan dan laporan daripada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (Institutional Reforms Committee–IRC).

23. Pelan ini juga mengambil pandangan dan maklum balas daripada semua Ketua Setiausaha kementerian-kementerian, ketua-ketua Jabatan selain perbincangan dengan pelbagai pihak yang difikirkan mampu membantu kita dalam usaha ini.

24. Selain itu, penilaian dan semakan oleh kumpulan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui UNCAC atau United Nations Convention Against Corruption juga kita perolehi.

25. Yang paling penting bagi saya ialah Pelan ini telah menilai risiko rasuah di peringkat akar umbi dan memberi fokus kepada enam (6) bidang yang dikenal pasti sebagai bidang keutamaan yang cenderung kepada rasuah.

26. Bidang-bidang tersebut adalah:

a. Perolehan Awam;
b. Penguatkuasaan undang-undang;
c. Tadbir urus Politik;
d. Tadbir urus korporat;
e. Pentadbiran Sektor Awam dan
f. Yang terakhir adalah dalam bidang Perundangan dan Kehakiman.

27. Enam bidang utama ini sekiranya tidak ditangani, masalah rasuah dalam negara akan menjadi lebih parah daripada apa yang telah kita lihat sebelum ini. Kerana itu kita menekankan pelaksanaan enam strategi untuk enam bidang keutamaan ini:
a. Pertama sekali ialah mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan kerajaan;
b. Kedua, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang;
c. Ketiga, memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik;
d. Keempat, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat;
e. Kelima, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan
f. Yang keenam, mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman.

28. Ini tidak bermakna perkara-perkara lain tidak penting. Kita cuma memberi keutamaan dalam usaha kita memerangi rasuah pada hari ini untuk menentukan enam bidang tumpuan ini kita perbetulkan ke peringkat akar umbinya.

29. Saya difahamkan daripada enam strategi yang telah digariskan dalam Pelan ini, terdapat 115 inisiatif yang telah dirancang dan kesemuanya berhasrat untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah.

30. Kesemua inisiatif ini tidak boleh dilaksanakan oleh saya seorang diri, atau oleh Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional (GIACC) sahaja. Tidak juga ini menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau agensi-agensi lain yang diberi tanggungjawab mengenai governans dan integriti. Ianya adalah tanggungjawab semua pihak. Daripada Perdana Menteri sehinggalah kepada guru-guru di Tadika terutamanya di dalam menanam nilai yang baik dan benci kepada rasuah dikalangan anak-anak kita.

31. Sudah pasti, nilai ini akan lebih bermakna jika kita dapat memperlihatkan diri kita, sebagai Menteri-Menteri Kabinet, Ketua-ketua Menteri, Menteri-Menteri Besar dan lain-lain jawatan yang diamanahkan oleh rakyat sebagai tauladan di dalam mencapai integriti, bebas rasuah, tidak menyalah guna kuasa dan beramanah.

32. Langkah pertama yang kita ambil iaitu untuk mengisytihar harta adalah amat baik kerana rakyat akan tahu berapa nilai kita sebelum memegang jawatan dan selepas dan jika tiba-tiba kekayaan meningkat secara mendadak pasti menimbulkan persoalan dan menarik minat agensi-agensi anti-rasuah.

33. Kita menang pilihanraya yang lalu kerana kita memperjuangkan governans dan integriti. Kita tidak ada pilihan lain selain mengutamakan governans dan integriti. Ini pilihan rakyat dan diamanahkan kepada kerajaan Pakatan Harapan.
34. Sebab itu dalam Pelan Antirasuah Nasional ini kita meletakkan kepentingan kepada pewujudan rang undang-undang berkaitan pembiayaan politik.

35. Dalam Pelan ini kita juga akan memperkenalkan arahan Perdana Menteri dalam pengurusan had bidang kuasa antara Menteri dengan Ketua Setiausaha. Semua ini antara usaha untuk memisahkan pentadbiran kerajaan daripada pengaruh politik. Ini penting sebagai usaha untuk mengelakkan sebarang salah guna kuasa daripada berlaku.

36. Begitu juga saya berharap dengan penjawat awam, terutama ketua-ketua jabatan untuk menentukan apa yang terkandung dalam Pelan ini bukan sahaja dilaksanakan tetapi pastikan mencapai matlamat yang dihasratkan.

37. Semua pihak mempunyai saham dalam menentukan 115 inisiatif yang digariskan dalam pelan ini menjadi kenyataan. Masyarakat sivil khasnya harus mainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan. Sila pantau dan beri maklum balas sekiranya ianya tidak mencapai seperti yang kita harapkan.

38. Pihak media juga punya tanggungjawab yang sangat besar dalam menyampaikan mesej penting kita berhubung dasar negara dalam konteks antirasuah dan membantu rakyat memahami hasrat yang terkandung dalam pelan ini.

39. Semua orang, tidak ada yang terkecuali, mempunyai peranan dalam menjayakan hasrat yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional ini.

40. Apa yang telah berlaku akan kita pastikan tidak berulang – never again.

41. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya melancarkan Pelan Antirasuah Nasional.

Terima kasih.

3 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top