Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) 5/2018

PRIME MINISTER’S OFFICE

MEDIA STATEMENT

1. Pada hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat kali yang ke-5 Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).

2. Sebanyak 7 kertas mesyuarat telah dibincangkan yang memfokuskan kepada usaha-usaha melonjakkan lagi imej negara dalam aspek governans, integriti dan anti-rasuah.

3. Keputusan-keputusan penting yang telah dicapai dalam mesyuarat JKKMAR kali ini ialah:

i. Pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (National Anti-Corruption Plan – NACP) yang akan dilancarkan pada Januari 2019 bagi memantapkan sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan mengenai governans, integriti dan antirasuah;

ii. Pensijilan ISO 37001 Anti-Bribery Management System akan digunapakai secara menyeluruh di setiap kementerian, agensi, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berisiko tinggi bagi mencegah rasuah dan membina budaya integriti. Usaha ini akan menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang mendapat pensijilan ISO 37001 dalam sektor awam;

iii. Dasar penglibatan politik di kalangan penjawat awam ditambah baik agar tidak menimbulkan kesukaran untuk melaksanakan tugas rasmi secara adil dan saksama;

iv. Pewujudan kod etika perkhidmatan awam, keperluan untuk menandatangani akuan pematuhan kepada semua penjawat awam dan mengkaji semula peraturan pusingan kerja agar etika perkhidmatan awam terus diperkasakan;

v. Pengukuhan tadbir urus korporat di mana satu garis panduan akan dikeluarkan mengenai “Corporate Liabilities and Adequate Procedures” bagi semua syarikat dan juga penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM mulai Januari 2020 yang meliputi kesalahan yang  dilakukan oleh organisasi komersil;

vi. Kajian terperinci sedang dibuat terhadap cadangan pemisahan fungsi Pendakwa Raya daripada fungsi Peguam Negara. Ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan; dan

vii. Penambahbaikan terhadap bidang kuasa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memastikan tiada campur tangan luar.

4. Semenjak penubuhan JKKMAR 6 bulan yang lalu, Jawatankuasa ini telah mencapai 60 inisiatif bagi menambahbaik proses dan sistem tadbir urus, integriti dan anti-rasuah. Usaha-usaha ini akan dipantau oleh GIACC bagi memastikan pelaksanaannya oleh kementerian-kementerian terbabit agar Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukan kerana rasuah.

5. Selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah, Kerajaan telah mengambil langkah untuk memantap dan memperkukuhkan integriti dan governans korporat bagi Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) melalui Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2018 iaitu Penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU) di semua Government-Linked Companies – GLC, Syarikat-Syarikat Yang Dimiliki Oleh Kementerian dan Agensi Kerajaan termasuk di bawah Kerajaan Negeri yang telah dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2018.

6. IGU diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Syarikat manakala pelaksanaan dan pelaporan fungsi teras dikawal selia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). GLC diberikan tempoh pelaksanaan (grace period) selama 2 tahun dari tarikh arahan ini  berkuat kuasa untuk menubuhkan IGU.

JABATAN PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
21 NOVEMBER 2018

Similar Posts:

353 total views, 5 views today

Share:
Scroll to top