Ucapan Sempena Ulangtahun Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM)

UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PENGERUSI PPBM
BERSEMPENA ULANGTAHUN KEDUA
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (PPBM)
DI STADIUM MALAWATI, SHAH ALAM PADA 8 SEPTEMBER 2018 (SABTU)

1. Sekali lagi kita berhimpun di Stadium Malawati ini untuk merayakan tahun ke-2 penubuhan parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

2. Ingin saya akui bahawa parti kita ini adalah parti perkauman. Parti Bumiputera dan Melayu. Kita bukan parti berbilang kaum atau bangsa.

3. Mungkin ada yang berkata parti kita ini rasis, perkauman. Sepatutnya kita juga seperti rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan, dijadikan parti berbilang kaum, atau terbuka kepada semua kaum.

4. Ya, ini mungkin hasrat kita. Tetapi hakikatnya ialah penduduk Malaysia, pengundi Malaysia masih terbahagi kepada berbagai kaum. Masing-masing ingin kekal identiti kaum mereka. Kita belum sampai ke tahap kaum kita sudah dilupakan oleh kita.

5. Ini jelas apabila kita meletak calon. Jika kita ingin menang tentukan calon kita bertanding dalam kawasan yang mana kaum penduduk adalah sama dengan kaum calon kita. Ini kita lihat dilakukan oleh semua parti. Kita belum sampai ke tahap kaum calon tidak dipedulikan.

6. Kita tahu orang Melayu masih kurang senang akan keselamatan dan masa depan mereka jika tidak diwakili oleh wakil sebangsa dengan mereka.

7. Demikian juga kaum lain. Sebab itu kita tidak dapat letak calon Melayu di bandar atau calon Cina atau India di kampung.

8. Walaupun parti berbilang kaum tetapi kaum diambil kira juga apabila meletak calon. Jika tidak ia akan mengundang kekalahan.

9. Hakikatnya ialah kita masih terikat dengan kaum kita. Mungkin pada satu hari, kaum tidak lagi dipedulikan. Tetapi sekarang ia masih dipedulikan.

10. Di waktu parti Bersatu ditubuh kita sedar bahawa untuk mengalah parti perkauman UMNO, hanya parti Melayu sahaja yang boleh berjaya melakukannya.

11. Jika tidak maka parti lawan atau pembangkang akan gagal. Ini adalah kerana orang Melayu tidak percaya nasib mereka akan dibela oleh parti bukan Melayu atau parti campuran kaum.

12. Pendirian orang Melayu ini disebabkan mereka masih ketinggalan dibelakang. Selama 60 tahun UMNO sahaja yang dipercayai oleh mereka akan mempertahan kaum mereka.

13. Demikianlah pendirian mereka, kesetiaan mereka kepada UMNO sehingga mereka tidak nampak perubahan yang telah berlaku dalam sikap kepimpinan UMNO. Mereka tidak nampak atau tidak dapat akui bahawa kepimpinan UMNO tidak lagi berjuang untuk orang Melayu. Mereka tidak nampak dan tidak dapat akui bahawa pimpinan UMNO sudah menyeleweng, sudah lari jauh dari landasan, dari perjuangan UMNO yang sebenar.

14. Mereka tidak nampak pemimpin mereka sudah memperalat UMNO untuk kepentingan diri mereka. Mereka membutakan mata mereka apabila pemimpin mereka mencuri duit rakyat supaya mereka hidup mewah. Mereka tidak faham kerosakan yang dilakukan kepada negara dan kepada masa depan mereka.

15. Mereka dibuai dengan sagu hati yang diberi, dengan wang yang banyak yang ditabur percuma. Mereka tidak sedar maruah mereka, kehormatan diri mereka sudah dimusnah. Mereka tidak sedar yang mereka ditanam dengan jiwa pengemis, yang menanti wang percuma jatuh ke tangan mereka tanpa kerja, tanpa apa-apa sumbangan dari mereka. Mereka sudah jadi orang yang tidak lagi mampu berdiri atas kaki sendiri.

16. Orang yang seperti ini mudah diperkosa oleh sesiapa. Bangsa dan negara pun akan mereka jual untuk mendapat duit yang mudah. Akhirnya akan hilanglah negara, akan hilanglah bangsa mereka.

17. Kerana kesedaran bahawa masa depan kaum tidak lagi dilindungi dan dipelihara oleh parti Melayu UMNO, maka sekumpulan telah keluar UMNO untuk menubuh parti yang boleh mengganti UMNO dan perjuangan asal UMNO.

18. Ya. Memang pun Parti Pribumi Bersatu ini adalah parti Melayu dan Bumiputera. Ia ditubuh kerana parti UMNO tidak dapat diperbaiki, dari dalam. Orang Melayu masih tidak dapat terima parti berbilang kaum. Jika UMNO perlu diganti dengan parti lain, maka parti itu mestilah parti Melayu yang mendapat sokongan orang Melayu.

19. Malangnya Kerajaan pimpinan UMNO telah bertindak untuk mengharamkan parti Bersatu sehari sebelum Parlimen dibubar untuk Pilihan Raya ke-14. Tindakan ini mengelirukan orang Melayu dan mereka tidak dapat memberi sokongan yang penuh kepada Bersatu dalam Pilihan Raya ke-14.

20. Walaupun demikian Bersatu masih menjadi sebahagian dari gabungan Pakatan Harapan yang menang Pilihan Raya ke-14. Bersatu ini adalah sebahagian dari Kerajaan. Ini memberi peluang kepada Bersatu memain peranan dalam usaha membangun orang Melayu supaya bahagian mereka dalam negara ini terpelihara, seperti kaum-kaum lain memelihara kaum mereka.

21. Sesungguhnya dibawah Dasar Ekonomi Baru orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dalam perniagaan dan perusahaan. Dengan itu perbezaan ketara antara ekonomi mereka dengan kaum lain dapatlah dikurangkan sedikit. Kejayaan program ini amatlah kecil dan tidak memuaskan. Namun keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan.

22. Soalnya ialah apakah sebabnya Dasar Ekonomi Baru dengan affirmative actionnya gagal mencapai matlamat.

23. Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh Kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah.

24. Saya berpendapat jika kita soal diri kita dan jika kita dapati ada kesalahan yang dilakukan oleh kita, maka adalah lebih mudah kita betulkan diri kita, daripada meminta orang lain betulkan diri mereka supaya kita dapat nikmat.

25. Jika kita dapat mengaku kita yang bersalah, maka perlu kita betulkan kesalahan kita.

26. Apakah kesalahan kita? Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan. Yang pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain. Bukan sahaja kita tidak kerja keras tetapi kerapkali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita. Kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak. Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik. Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas. Kita lebih suka serah kerja kepada orang lain.

27. Hari ini kita dapati ramai orang asing datang bekerja di negara kita. Kenapa. Kerana kita tidak sanggup bekerja. Pergilah ke tempat kerja dan kita tidak akan bertemu dengan pekerja kita.

28. Ya, memang kerja itu berat. Mungkin kotor dan berbahaya. Kita cuma cari kerja yang ringan, dikilang berhawa dingin. Tetapi disitu pun daya keluaran atau produktiviti kita rendah.

29. Kita cepat menuntut hak. Gaji dan upah perlu tinggi. Tetapi kita kerap membawa M.C. apabila tidak hadir untuk bekerja. Ada sahaja sebab. Pelabur amat tidak suka mengambil kita bekerja. Dan kita marah dan kita lapor kepada Kerajaan.

30. Kerana kita tidak sanggup bekerja maka pekerja asing membanjiri negara kita. Tanpa mereka negara kita tidak dapat dibangun. Jika banjir ini membesar dan mereka tinggal lama dinegara kita, secara tidak langsung atau secara langsung mereka akan memiliki negara kita. Anak dara kita akan berkahwin dengan mereka.

31. Negara kita ini akan jadi lebih berbilang kaum dan kita pun akan undur ke pinggir hutan setelah menjual hartanah kita kepada orang lain.

32. Itu kesan dari keengganan bekerja. Tetapi juga kita kurang beramanah, iaitu tidak berasa bertanggungjawab apabila sesuatu diletak dibawah jagaan kita. Kita janji tetapi dengan mudah kita mungkir janji. Kita tidak segan-segan mengambil barangan atau duit yang bukan milik kita.

33. Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik. Demikian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bukan banyak yang kita diminta bayar balik. Sedikit sahaja. Kita mampu. Kalaupun gaji kita hanya RM2000 sebulan apakah sangat RM100 sebulan – hanya 5%. Tetapi yang dapat lebih dari itu pun tidak bayar. Lokek.

34. Walau apapun alasan yang diberi, hakikatnya kita tidak bayar hutang. Bagi kita ini perkara kecil. Tetapi bagi bangsa kita, ia memburukkan kepercayaan kepada kita. Orang tidak suka bagi pinjaman kepada kita. Bank tidak sanggup memberi hutang kepada orang Melayu kerana percaya mereka tidak akan bayar. Maka bermasalahlah peniaga Melayu, sukar untuk meminjam modal. Maka marahlah kita kepada bank. Janganlah aniaya kita kerana orang lain yang lokek. Tetapi kita sudah terkenal sebagai bangsa yang lokek. Maka terpalitlah juga kita kerana bangsa kita tidak dipercayai.

35. Hutang yang tidak dibayar oleh peminjam PTPTN berjumlah 36 billion Ringgit. Hampir sama dengan jumlah wang 1MDB yang dicuri. Kita tidak berasa malu sedikit pun. Saya sendiri menjadi mangsa. Ramai kawan juga menjadi mangsa.

36. Ada yang pinjam lebih dari keperluan modal. 50% sahaja yang perlu diguna untuk perniagaan umpamanya. Dari untung atas 50% ini kita perlu bayar faedah ke atas 100% yang dihutang. Maka gagallah perniagaan kita.

37. Bahawa bangsa kita Melayu dianggap tidak beramanah tidak memalukan kita. Kita tidak peduli dengan penghinaan ini.

38. Tidak tahu malu juga menyumbang kepada prestasi kita. Ya, kita malu kalau dilihat bogel. Kita tidak berasa malu kerana gagal menjayakan tugas. Oleh itu hasil kerja kita tidak seperti yang diharapkan. Kualiti barangan kita tidak baik pun tidak apa. Dengan sikap ini kita tidak akan berjaya.

39. Apabila ditunjuk hasil kerja kita tidak sebaik hasil kerja orang lain, tanpa segan silu kita hanya berkata itu bangsa lain. Kita sudah akui kita memang begitu. Maka merosotlah kita. Gagallah kita.

40. Budaya, nilai hidup, sifat yang baik dikatakan baik kerana ia baik bagi kita. Kita akan berjaya jika kita miliki dan amal nilai-nilai yang baik. Terdapat banyak nilai hidup yang baik. Tetapi saya sebut disini hanya tiga sahaja. Iaitu rajin, beramanah dan berperasaan malu. Dengan tiga ini sahaja pun kita boleh berjaya, kita boleh bersaing dengan orang lain dan menang dalam persaingan kita. Cubalah.

41. Saya tidak akan lepas perjuangan bangsa kepada kaum lain. Saya telah sebut bahawa kita telah tubuh parti Melayu untuk mengganti UMNO yang sudah diselewengkan.

42. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Parti kita yang berusia hanya dua tahun sudah menjadi Kerajaan dan mendapat kuasa sebagai anggota Kerajaan campuran untuk membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu, bagi mengurangkan jarak ekonomi mereka dengan kaum-kaum lain. Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka.

43. Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan disalahgunakan oleh mereka. Jualan pemberian tidak akan dibenar. Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang. Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan.

44. Kita akan tentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman sahaja akan diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender. CV mereka akan diambil berat, terutama berkenaan tabiat mereka apabila berhutang, termasuk hutang PTPTN.

45. Mereka yang berjaya mendapat lesen, AP, kontrak dan lain-lain mesti laksanakan sendiri. Jika dijual atau dipindah kepada orang lain, samada Melayu atau bukan, maka lesen, AP, kontrak akan dibatalkan. Oleh itu hanya mereka yang mampu melaksana sendiri sahaja perlu memasuki tawaran.

46. Sokongan dari Menteri atau pembesar akan diketepikan. Ini termasuk sokongan oleh Perdana Menteri. Penilaian akan diasaskan kepada kewangan, kecekapan dan pengalaman. Bagi yang belum ada pengalaman, bekerjalah dalam jurusan pilihan dahulu.

47. Tawaran akan dibuka untuk construction, pembinaan infra, perniagaan dan lain-lain tidak lama lagi.

48. Parti Bersatu tidak akan jadi UMNO Najib. Kita tidak akan utama apa diri kita dapat. Keutamaan kita ialah untuk memajukan negara supaya menjadi negara maju. Tumpuan kita ialah agihan nikmat negara maju secara adil dan saksama.

49. Tidak akan ada rampasan hak atau harta sesiapa. Tetapi akan kita ambil kira soal persamaan dan keadilan dalam pembahagian ekonomi semua kaum.

50. Hari ini kita rayakan ulangtahun yang kedua bagi parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sambil meraya kita akan perkuatkan azam kita untuk menjayakan perjuangan kita. Percayalah apabila negara kita ini maju maka semua dari kita akan mengecapi nikmat.

51. Saya seru kepada orang Melayu untuk menyertai perjuangan kita. Hanya kita sahaja yang boleh memperbaiki kedudukan kita.

52. Dengan berpegang kepada nilai-nilai yang mulia, dengan kesanggupan berkorban untuk masa depan, InsyaAllah akan tercapailah matlamat yang telah kita gariskan untuk bangsa, agama dan negara kita.

53. Jangan lupa slogan kita, bercerai roboh, Bersatu teguh. Ini adalah kali terakhir bagi kita orang Melayu dan Bumiputera lain menebus maruah kita.

Terima kasih.

BERSATU.

Similar Posts:

109 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 3 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top